Syaitan

Kalimah syaitan (شيطان) diambil daripada perkataan syathana (شَطَنَ) yang bermaksud menentang, menyalahi atau ingkar. Menurut Imam Ibnu Kathir pengertian syaitan menurut bahasa bermaksud jauh, iaitu jauh tabiaatnya daripada tabiaat manusia dan juga jauh dengan kefasikannya daripada setiap kebaikan (Lihat Tafsir Ibn Kathir 1/115).

Di samping itu, setiap makhluk samada daripada jin, manusia  dan juga haiwan yang mengingkari perintah Allah ﷻ serta menyeru kepada kejahatan dan jauh daripada segala kebaikan dinamakan syaitan. Berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya”.

Surah al-An’am Ayat 112

Nama-Nama Syaitan

Antara nama-nama syaitan  yang disebut di dalam hadis Nabi ﷺ:

  • Khanzab

Uthman bin Abi al-Asr telah mendatangi Rasulullah ﷺ, lalu beliau berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ . إنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ حَالَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ صَلَاتِيْ وَقِرَاءَتِيْ . يُلَبِّسُهَا عَلَيَّ . فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” ذَاْكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ . فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْهُ . وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلَاثًا ” فَقَالَ : فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَهُ اللهُ عَنِّيْ “

“Wahai Rasulullah ﷺ, aku sering diganggu oleh syaitan dalam solat sehingga bacaanku (bacaan dalam solat) menjadi kacau. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Itu adalah syaitan yang digelar Khanzab maka apabila engkau diganggu, mohonlah perlindungan kepada Allah ﷻ daripadanya. Setelah itu, ludahlah di bahagian kirimu sebanyak tiga kali. Aku pun melakukan hal tersebut, maka sejak dari itu Allah ﷻ telah menghilangkan gangguan tersebut daripadaku”. 

Riwayat Muslim 4083

  • Al-Walahan

Daripada Ubaiy bin Ka’ab, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ لِلْوُضُوْءِ شَيْطَانًا يُقَالُ لَهُ : الْوَلَهَانُ ، فَاتَّقُوْا وَسْوَاسَ الْمَاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada setiap wudhu’ ada seekor syaitan yang bernama al-Walhan maka jauhilah kalian daripada was-was ketiak menggunakan air”. 

Riwayat al-Tirmizi 52. Imam al-Tirmizi mengatakan hadis ini adalah gharib dan sanadnya dhaif (tidak kuat) menurut ahli hadis, kerana kami tidak mengetahui seorang pun yang menyandarkan hadis kecuali Kharijah. Hadis ini juga telah diriwayatkan dari beberapa jalur daripada perkataan al-Hasan dan tidak ada hadis yang sahih daripada Nabi ﷺ dalam bab ini. Tambahan pula, Kharijah riwayatnya tidak kuat disisi ashab kami dan beliau (Kharijah) dihukum sebagai dhaif (lemah) oleh Ibn Mubarak.

  • Qarin

Daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

ما منكُم من أحدٍ إلَّا وقد وُكِّلَ بهِ قرينُهُ منَ الجنِّ . قالوا : وإيَّاكَ يا رسولَ اللَّهِ ؟ قال : وإيَّايَ إلَّا أنَّ اللَّهَ أعانَني علَيهِ فأسلَمَ فلا يأمرُني إلَّا بخيرٍ

“Setiap daripada kamu diutuskan kepadanya Qarin (pendamping) daripada kalangan jin. Mereka berkata: Engkau juga wahai Rasulullah ﷺ? Rasulullah ﷺ bersabda: Aku juga, tetapi Allah ﷻ telah membantuku daripadanya lalu ia (Qarin) masuk Islam. Selain itu, ia juga tidak meyuruhku atau memerintahku melainkan perkara kebaikan”. 

Riwayat Muslim 5034

  • Di sana terdapat nama-nama lain bagi anak-anak kepada iblis tetapi ia tidak mempunyai sandaran yang kukuh. Daripada Imam al-Munawi bahawa Mujahid berkata bagi Iblis lima orang anak dan setiap daripada mereka itu mempunyai tugas tertentu. Mereka adalah:
  • Syibr (شبر) tugasanya adalah membinasakan manusia dan menyeru kepada kejahilan.
  • Al-A’war (الأعور) pula tugasnya menggoda dan menyeru manusia kepada zina.
  • Sauth (سوط) tugasnya menggoda dan menyeru manusia kepada dusta.
  • Dasim (داسم) tugasnya adalah menimbulkan kekecohan dalam keluarga sehingga berlaku permusuhan.
  • Zalanbur (زلنبور) pula merupakan syaitan yang berada di pasar agar belaku penipuan dan juga perkara-perkara yang tidak baik (Lihat Faidh al-Qadir 2/503).

Irsyad Al-Hadith 75

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir