Doa anak kecil tidak menangis di waktu malam

Adakah terdapat doa khusus yang boleh diamalkan supaya anak kecil tidak menangis di waktu malam?

Jawapan

Jika ditanyakan mengenai doa khusus yang perlu dibacakan supaya anak kecil tidak menangis, setakat pencarian kami ianya tiada. Namun, keumuman bagi berdoa itu boleh dipraktiskan iaitu berdoalah apa sahaja kepada Allah ﷻ dengan apa-apa lafaz dan bahasa sekalipun dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syara`. Adapun begitu, tetapi yang terbaiknya adalah dengan membacakan doa yang terdapat di dalam Al-Qur’an mahupun hadis Nabi ﷺ.

Boleh jadi bayi menangis di waktu malam disebabkan lapar. Boleh jadi juga kerana sakit dan boleh jadi juga kerana gangguan dari syaitan. Maka yang pertamanya perlulah diketahui akan sebab utamanya terlebih dahulu. Adapun untuk mengelak dari gangguan syaitan, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan. Antaranya:

  • Membaca Surah al-Fatihah dan mengulang-ulanginya (Riwayat al-Bukhari 5736)
  • Membaca Ayat al-Kursi (Riwayat al-Bukhari 4723)
  • Membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Nas.
  • Membaca doa berikut sebanyak 3 kali (Riwayat Ibn Majah 3523)

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ، أَوْ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ

“Dengan nama Allah, aku membacakan doa kepadamu daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepadamu, sama ada daripada kejahatan, iaitu kejahatan mata atau nafsu yang keji. Tuhanlah yang menyembuhkanmu. Dengan nama Allah, aku mendoakanmu.”

  • Doa dan ayat Al-Qur’an di atas boleh dibacakan pada air dan dipercikkan kepada mereka yang sakit. Ini berdasarkan perbuatan Nabi ﷺ kepada Thabit bin Qais (Riwayat Abu Daud 3885)

Amalan ini boleh diamalkan dan insyaAllah dengan izin Allah ﷻ dapat menghilangkan rasa sakit serta gangguan terhadap anak kecil.

Al-Kafi 560

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir