Your cart is currently empty!
Pagar rumah?
Amalan perlindungan seperti ‘memagar’ rumah, Adakah ia dibenarkan atau tidak?
Jawapan
Dalam hal melindungi diri dan rumah daripada gangguan makhluk halus ini, Nabi ﷺ telah mengajar kita beberapa panduan yang boleh diamalkan. Antaranya adalah dengan membacakan surah al-Baqarah dan ayat al-Kursi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.”
Riwayat Muslim 780 dan al-Nasa’ie 10735
Menurut Ibnu Mas’ud pula, kata beliau:
إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ
“Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.”
Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir 8642 dan al-Darimi 3422
Dalam sebuah hadis riwayat daripada Ubai ibn Ka’ab, bahawa beliau mempunyai tempat pengeringan kurma yang di dalamnya berisi kurma yang sedang dijaganya. Beliau kemudian mendapati kurma tersebut berkurangan. Tiba-tiba terdapat seekor binatang sebesar anak yang baru baligh. Dia berkata padanya: “Apakah engkau jin atau manusia?” Dia menjawab: “Aku adalah jin”.
Dalam riwayat ini jin tersebut mengatakan padanya: “Telah sampai berita kepada kami bahawa engkau suka bersedekah. Maka aku ingin mendapat sebahagian daripada makanan yang engkau hendak sedekahkan itu.” Lalu Ubai bin Ka’ab bertanya:
فَمَا الَّذِي يُجِيرُنَا مِنْكُمْ؟ قَالَ : هَذِهِ الآيَةُ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ، ثُمَّ غَدَا أُبَيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَدَقَ الْخَبِيثُ
“Apakah yang dapat melindungi kami daripada gangguanmu?” Jin tersebut berkata: “Ayat ini, iaitu Ayat Kursi.” Keesokan harinya, Ubai menceritakan apa yang dikatakan oleh jin tersebut kepada Nabi ﷺ, maka Nabi ﷺ bersabda: “Jin itu benar.”
Riwayat al-Nasa’ie 10796
Nabi ﷺ juga mengajar kita untuk membaca doa ketika ingin masuk ke dalam rumah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah, Nabi ﷺ bersabda:
إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ
“Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kamu memperoleh tempat menginap’.”
Riwayat Muslim 2018, Abu Daud 3765
Almarhum Dato’ Dr. Haron Din ketika mengulas berkenaan isu memagar rumah dan kediaman, menyebut: “Sebaik-baik cara bagi memagar rumah adalah dengan memperbanyakkan membaca Al-Qur’an dalam rumah itu.” (Lihat Kaedah Merawat Susuk 48)
Selain itu, ibadah-ibadah seperti solat sunat juga perlu dilakukan juga di rumah selain daripada di masjid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar, Nabi ﷺ bersabda:
اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا
“Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu. Jangan jadikan rumah kamu semua seperti kubur.”
Riwayat al-Bukhari 432 dan Muslim 777
Apa yang dimaksudkan dengan solat di sini ialah solat sunat yang dilakukan secara sendiri. Ini sepertimana disebut dalam hadis daripada Zaid bin Thabit, Nabi ﷺ bersabda:
فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ
“Sesungguhnya sebaik-baik solat bagi seseorang adalah di rumahnya, kecuali solat fardhu.”
Riwayat al-Bukhari 7290 dan Muslim 1861
Oleh itu, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dan tempat tinggal dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah ﷻ lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.
Surah al-Taubah 51
Ibn Kathir berkata: Iaitu kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah ﷻ dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim 7/214).
Penutup
Sebagai kesimpulan, Islam membenarkan memagar rumah selagi mana dengan dibacakan ayat-ayat ruqyah daripada Al-Qur’an dan sebagainya yang boleh menjadi pendinding daripada gangguan syaitan.
Berdasarkan nas-nas di atas, jelas bahawa perlindungan diri dan tempat tinggal boleh dilakukan dengan mengamalkan ayat-ayat seperti Surah al-Baqarah dan ayat Kursi sepertimana disebut dalam hadis Nabi ﷻ.
Oleh itu ajaklah ahli keluarga untuk melazimi membaca Al-Qur’an setiap hari serta mengamalkan zikir-zikir yang ma’thur seperti himpunan zikir al-Ma’thurat, Hisnul Muslim dan sebagainya. Mudah-mudahan ia dapat menjadi pelindung diri kita dan ahli keluarga kita daripada sebarang gangguan.
Al-Afkar 71
Leave a Reply