Roh bunian masuk badan manusia!

Baru-baru ni, ada seorang pengamal perubatan alternatif/bomoh/tok dukun (saya tak tahu nak bagi gelaran apa) cakap dekat kakak saya yang anak perempuannya separuh manusia, separuh bunian. Dia minta kami sekeluarga berubat untuk pisahkan roh bunian dari badan anak saudara saya. Boleh ke kejadian macam ni berlaku? Kalau ikut logik akal, kami susah nak percaya. Tapi bila dia takutkan kami dengan kemungkinan bunian akan amik anak saudara saya bawak ke alam dia, kami jadi risau. Dari segi akidah, saya risau kalau kami percaya, mendatangkan khurafat.

Jawapan

Antara perkara syirik yang sering terjadi adalah syirik dalam perkara ghaibiyyat. Termasuk dalam perkara ghaibiyyat itu adalah percaya dengan kewujudan jin. Dalam masyarakat Melayu, jin dikenali dengan pelbagai nama. Ini menyebabkan sesetengah orang beranggapan jin itu tidak wujud sebaliknya yang wujud adalah nama-nama seperti hantu, bunian, penunggu, jembalang, khadam, saka dan lain-lain. Akibatnya istilah jin semakin diabaikan sedangkan istilah yang sering digunakan oleh Al-Qur’an untuk merujuk kepada semua itu adalah jin.

Walaupun terdapat istilah lain seperti iblis dan syaitan, namun iblis dan syaitan juga termasuk di kalangan jin. Firman Allah ﷻ,

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. dia adalah daripada golongan jin.”

Surah al-Kahfi 50

Bertitik tolak dari sini, apabila kita membicarakan apa sahaja yang ada kaitan dengan jin, kita hendaklah kembali kepada prinsip beriman kepada yang ghaib. Ini bermakna, kita dituntut untuk mempercayai kewujudan perkara tersebut sekadar yang disebutkan oleh nas dan tidak melampau sehingga ke tahap melakukan syirik, khurafat dan tahyul.

Berdasarkan persoalan yang diajukan, jika benar terdapat gangguan kepada anak perempuan tersebut, ia berkemungkinan berpunca daripada kerasukan jin. Kerasukan jin ialah kecelaruan yang menimpa akal manusia sehingga tidak dapat menyedari apa yang diucap, menghubungkan apa yang telah diucapkan dengan apa yang akan diucapkan. Orang yang terkena hal ini akan kehilangan ingatan seakan-akan gangguan pada saraf otak. Gangguan akal ini akan diiringi dengan ketidaktentuan pada gerakan-gerakan orang yang kerasukan sehingga berjalan terhuyung hayang dan tidak dapat mengendalikan dirinya. Di antara simptom kerasukan ialah kekacaun dalam ucapan, perbuatan dan fikiran (Lihat ‘Alam al-Jin fi Dhaw’ al-Kitab wa al-Sunnah 252).

Kerasukan jin merupakan sesuatu yang harus berlaku berdasarkan banyak dalil. Antaranya firman Allah ﷻ:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

Dalam memahami ayat ini, Imam al-Qurtubi mengatakan di dalam ayat ini terdapat dalil atas kesalahan orang yang mengingkari kerasukan jin dan mengatakan bahawa hal tersebut merupakan pengaruh tabiat (Lihat Tafsir al-Qurtubi 3/355).

Manakala dakwaan yang mengatakan bahawa seseorang itu separuh jin dan separuh manusia, ia merupakan suatu telahan terhadap perkara yang ghaib. Lebih dibimbangi jika ia berpunca daripada ramalan-ramalan para dukun dan bomoh yang berdamping dengan jin. Sedangkan hal ini amat ditegah oleh Nabi ﷺ sebagaimana terkandung dalam beberapa hadithnya. Antaranya adalah sabda Rasulullah ﷺ:

“مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ يَوْمًا”

“Barangsiapa mendatangi ‘arraaf (dukun) dan bertanya kepadanya akan sesuatu, tidak akan diterima salatnya selama empat puluh malam”.

Riwayat Muslim 125

Pada riwayat yang lain Baginda ﷺ bersabda,

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Barangsiapa mendatangi kahin atau arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (Al Qur’an).”

Riwayat Ahmad 9536

Ibnul Athir menjelaskan bahawa ‘arraaf (peramal) adalah ahli nujum yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib padahal hanya Allah ﷻ yang mengetahui persoalan ghaib (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar 3/442). Tukang ramal ini termasuk dalam kategori kahin (dukun).

Al-Baghawi pula menerangkan: ‘Arraaf adalah orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara tertentu dengan cara-cara tertentu yang dipakai sebagai petunjuk akan barang hilang atau tempat hilangnya barang dan semisalnya. Sedangkan kahin adalah orang yang memberitahu akan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada masa akan datang. Dan pendapat lain mengatakan kahin adalah orang yang mengetahui apa yang ada di dalam hati (mengetahui isi hati/membaca fikiran) (Lihat Syarh al-Sunnah 12/182).

Kedua-dua hadith ini terkandung ancaman Nabi ﷺ terhadap dua jenis manusia. Pertama, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun dengan niat hanya untuk bertanya. Kedua, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun untuk bertanya lalu mempercayainya. Masing-masing berada dalam keadaan yang berbeza dan baginda Rasulullah ﷺ juga menjelaskan tentang akibatnya yang juga berbeza.

Kesimpulannya, jika benar terdapat gangguan kepada anak perempuan tersebut, ia berkemungkinan berpunca daripada kerasukan jin. Tiada istilah separuh manusia dan separuh jin seperti yang didakwa. Dibimbangi bomoh yang membuat dakwaan tersebut termasuk dalam golongan yang mendampingi jin dengan mengamalkan ajaran-ajaran yang bertentangan akidah.

Akhirnya, kami menasihatkan agar gangguan-gangguan yang berpunca daripada jin seperti ini dirujuk kepada perawat pengubatan Islam yang thiqah lagi dipercayai dari segi ilmu dan amalan serta tidak terlibat dengan ajaran atau amalan-amalan yang meragukan.  

Al-Afkar 20

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir