Your cart is currently empty!
Ayat pemecah dan kesuburan
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
أَوَلَم يَرَ الَّذينَ كَفَروا أَنَّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ كانَتا رَتقًا فَفَتَقنٰهُما ۖ وَجَعَلنا مِنَ الماءِ كُلَّ شَيءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلا يُؤمِنونَ
Awalam yaral-lażīna kafarū annas-samāwāti wal-arḍa kānatā ratqan fa fataqnāhumā, wa ja‘alnā minal-mā’i kulla syai’in ḥayy(in), afalā yu’minūn(a).
“Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?”
Surah al-Anbiya Ayat 30
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Dari ayat ini sehingga ke ayat 41 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menyebut Tauhid Kholiqiyah Rububiyyah. Allah lah yang mencipta alam semesta. Kemudian Dia mengatur perubahan waktu malam dan siang. Dia juga yang menghidupkan dan mematikan makhlukNya.
Allah ﷻ manusia dengan kebaikan dan kejahatan sebelum semuanya dikembalikan untuk diberi pembalasan. Maka ayat ini adalah Dalil Aqli.
أَوَلَم يَرَ الَّذينَ كَفَروا أَنَّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ كانَتا رَتقًا
“Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu,”
Tidakkah mereka yang kufur itu lihat dan memikirkan bahawa langit dan bumi itu asalnya bersatu? Iaitu tidak terpisah seperti sekarang.
Kalimah ‘tengok’ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘tahu’ – “tidakkah kamu tahu?”. Ini adalah kerana tidak ada sesiapa pun yang melihat awal kejadian alam ini.
Memanglah kita tidak tahu perkara ini kerana kita tak mampu nak capai maklumat itu kerana ianya berlaku lama sebelum kita sendiri lahir. Maka tujuan Allah ﷻ tanya itu adalah caraNya untuk memberitahu maklumat ini kepada kita.
فَفَتَقنٰهُما
kemudian Kami pisahkan antara keduanya.
Kemudian Allah ﷻ pisahkan antara langit dan bumi itu. Ada yang mengatakan ayat ini menceritakan tentang Teori Big Bang. Dan memang ada persamaan teori itu dan apa yang disebut dalam ayat ini. Ini adalah salah satu mukjizat Qur’an yang mempunyai persamaan dengan pemahaman sains. Ini adalah kerana Qur’an tidak berlawanan dengan sains.
Mengikut Teori Big Bang, alam ini asalnya adalah satu gumpalan (Primary Nebula) dan kemudian ada letupan (Secondary Separation) yang menjadikan galaksi-galaksi. Dan dari galaksi-galaksi itu menjadi bintang, planet, matahari, bulan dan seterusnya. Semua ini adalah dalam takdir Allah ﷻ.
Allah ﷻ memang suruh kita buat kajian tentang alam. Ini menambahkan kefahaman dan iman kita kepada Allah ﷻ. Semoga semakin ramai umat Islam menceburi bidang kajian ini supaya dapat menjelaskan tentang alam ini dari perspektif Islam. Kita memang memerlukan sains ditafsir dalam kaca mata Islam. Kerana Islam tidak berlawanan dengan sains dan apabila kita lihat sains dan Qur’an sama sahaja, ini akan menambahkan keimanan kita.
وَجَعَلنا مِنَ الماءِ كُلَّ شَيءٍ حَيٍّ
“Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup.”
Dan Allah ﷻ menjadikan semua benda yang hidup dari air. Dan memang kajian Sains sekarang pun sudah menerima bahawa asal kejadian semua yang hidup adalah dari air. Kerana itu kalau kajian pada planet selain bumi, yang dicari adalah sumber air kerana jikalau ada sumber air di planet itu, ia menunjukkan bahawa ada kemungkinan ada kehidupan di situ, atau pernah ada kehidupan di situ.
Akan tetapi timbul persoalan kenapa orang-orang yang engkar itu disuruh melihat kejadian alam ini sedangkan mereka tidak boleh lihat pun. Mereka tidak ada kemungkinan untuk mengkajinya. Waktu itu mereka hanya disuruh untuk memikirkan sahaja dari pada mana asal mereka tetapi kita sekarang hidup pada zaman yang dapat lebih memahami ayat ini.
Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia lah yang menjadikan alam ini maka dia sahaja yang boleh menceritakan satu persatu kejadian itu. Maka setelah tahu yang Allah ﷻ yang menjadikan alam ini, maka pujuklah Allah ﷻ dan berdoalah kepada Allah ﷻ sahaja dan mengapa hendak memujuk dan berdoa kepada selain Allah ﷻ?
أَفَلا يُؤمِنونَ
“Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?”
Maka elok kalau untuk lebih memahami ayat-ayat sebegini kita mencari maklumat maklumat sains yang dapat menguatkan lagi fahaman kita tentang alam ini. Dan memang banyak dokumentari yang menceritakan tentang kejadian alam ini dan kita boleh lihat bagaimana pemberita yang memberitahu dokumentari itu sangat takjub dengan alam ini tetapi kita hairan kenapa mereka tidak takjub dengan Allah ﷻ, Tuhan yang menjadikan alam ini?
Leave a Reply