Ayat pemecah kebuntuan

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Lau anzalnā hāżal-qur’āna ‘alā jabalil lara’aitahū khāsyi‘am mutaṣaddi‘am min khasy-yatillāh(i), wa tilkal-amṡālu naḍribuhā lin-nāsi la‘allahum yatafakkarūn(a).

“Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.”

Surah Hashr Ayat 21

Tafsir

Sekarang Allah ﷻ ajar cara untuk mendapat taqwa, iaitu dengan mempelajari dan mengamalkan apa yang diajar dalam Al-Qur’an. Oleh kerana Al-Qur’an itu amat penting, maka sekarang Allah ﷻ memberitahu tentang kehebatan Al-Qur’an.

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ

“Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini kepada sebuah gunung,”

Al-Qur’an ini amat hebat dan Allah ﷻ buat perbandingan, kalaulah ia diturunkan kepada gunung. Dalam Surah A’raf ada disebut bagaimana Nabi Musa عليه السلام minta untuk lihat wajah Allah ﷻ. Dalam ayat itu diberitahu bagaimana Allah ﷻ telah tajalli (menampakkan diri) pada gunung dan gunung itu hancur dan Nabi Musa عليه السلام pun pengsan.

لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا

“pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah”

Maka, begitulah juga kalau Al-Qur’an ini diturunkan kepada gunung, ia akan pecah juga. Padahal gunung ganang itu kita lihat sekarang tegak dan kukuh, bukan? Tetapi ia pun boleh pecah kalau diturunkan Al-Qur’an kepadanya.

Kalimah ‘khusyuk’ itu bermaksud tidak bergerak, kaku tunduk kerana takut. Kerana itulah dalam solat, apabila kita khusyuk, kita akan tegak sahaja tidak bergerak tubuh kita. Kerana kita sedang mengadap Allah ﷻ dalam keadaan takut kepada Allah ﷻ.

Maka, ia bermaksud hati manusia yang keras pun boleh tunduk kepada Allah ﷻ dengan meneliti ayat-ayat Al-Qur’an yang mengandungi ajaran yang senang diterima oleh akal yang waras. Kerana itu banyak orang yang berubah sikap mereka menjadi mukmin yang baik setelah mereka mengenali Al-Qur’an. Ini kerana Al-Qur’an ini adalah mukjizat yang dapat mengubah hati dan minda manusia.

Kalimah مُّتَصَدِّعًا pula daripada kalimah ص د ع yang bermaksud ‘pecah’. Kerana takut sangat kepada tanggungjawab Al-Qur’an itu, gunung itu akan pecah. Juga bermaksud hati-hati para penentang kebenaran boleh pecah dan jatuh tunduk mengikuti ajaran Al-Qur’an apabila mereka memahami ayat-ayat Al-Qur’an.

Ini kerana hujah-hujah yang digunakan dalam Al-Qur’an adalah mantap dan selesa dengan minda manusia yang waras. Ia juga tidak ada kontradiksi antara ayat-ayatnya yang menjadi hujah bahawa ia pasti datang daripada Allah ﷻ, Tuhan semesta alam. Kerana manusia tidak akan mampu menulisnya.

Namun bukankah gunung itu bukan makhluk bernyawa? Bagaimana ia boleh tunduk dan takut pula? Ini adalah perumpamaan sahaja, iaitu kalau Allah ﷻ beri mereka dengan hati, minda dan perasaan seperti manusia. Kalau mereka ada semua itu, pasti mereka takut dan tunduk. Tetapi mengapa manusia yang memang sudah ada hati, minda dan perasaan tidak tunduk takut kepada Allah ﷻ?

مِّن خَشيَةِ اللهِ

“disebabkan ketakutannya kepada Allah.”

Kenapa gunung itu pecah? Kerana gunung itu takut kepada Allah ﷻ. Lebih-lebih lagi kerana takut tentang hukuman yang Allah ﷻ boleh kenakan kepada mereka. Kerana di dalam Al-Qur’an ada ayat-ayat tentang hukuman dan kerana hebatnya Al-Qur’an yang diturunkan kepadanya. Ini adalah kerana dalam Al-Qur’an itu memberitahu tentang Allah ﷻ dan gunung takut kepada Allah ﷻ.

Gunung takut kalau diberikan dengan tanggungjawab menanggung Al-Qur’an itu dan kerana itu ia akan pecah. Ia tidak akan sanggup seperti yang disebut dalam Surah Ahzab Ayat 72:

إِنّا عَرَضنَا الأَمانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالجِبالِ فَأَبَينَ أَن يَحمِلنَها وَأَشفَقنَ مِنها وَحَمَلَهَا الإِنسٰنُ ۖ إِنَّهُ كانَ ظَلومًا جَهولًا

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,”

Akan tetapi mungkin timbul persoalan: kenapa Al-Qur’an yang kita selalu dengar dan malah dibaca seharian ini tidak memberi kesan dan rasa apa-apa kepada kita? Kenapa hati kita tidak pecah dan tidak menangis?

Kita tidak menangis dan tidak terkesan kerana kita pun tidak sedar kehebatan Al-Qur’an ini. Kita lalai tentang perkara ini. Tambahan pula kebanyakan daripada kita tidak faham pun apa yang kita baca, maka selamba sahaja kita baca ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Oleh kerana itu, Al-Qur’an mahu mengingatkan manusia dalam ayat ini tentang diri kita sendiri yang jauh daripada Al-Qur’an dan tidak menghargainya. Al-Qur’an ada bersama kita, tetapi kita tidak sedar apa yang kita ada ini. Oleh kerana jauh daripada Al-Qur’an, maka kita tidak sedar tentang kebesarannya dan kehebatannya.

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

“Dan itulah perumpamaan-perumpamaan yang Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.”

Inilah salah satu misalan yang Allah ﷻ berikan kepada kita untuk beri kita faham tentang kehebatan Al-Qur’an ini. Bayangkan, sekeras-keras dan sebesar-besar gunung itu pun boleh tunduk dan terkesan dengan Al-Qur’an. Tetapi, bagaimana dengan kita manusia? Ramai yang buat tidak kisah sahaja, baca ayat-ayat Al-Qur’an itu biasa-biasa sahaja.

Allah ﷻ berikan cara perbandingan atau misalan ini supaya kita dapat faham. Inilah salah satu daripada cara pembelajaran yang digunakan oleh Allah ﷻ untuk mengajar kita. Memang cara perbandingan seperti ini memberi kesan kepada mereka yang memahaminya.

Begitu malang sekali kita ini apabila kita tidak memandang Al-Qur’an ini sebagai yang sepatutnya. Lihatlah apa yang sepatutnya sikap kita terhadap Al-Qur’an.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Allah ﷻ berfirman, “Seandainya Aku turunkan Al-Qur’an ini kepada gunung untuk dipikulnya, nescaya akan terpecah belahlah dan tunduk kerana beratnya Al-Qur’an dan kerana takut kepada Allah.” Maka Allah ﷻ memerintahkan kepada manusia apabila diturunkan kepada mereka Al-Qur’an, hendaklah mereka menerimanya dengan takut yang sangat (kepada Allah ﷻ) dan tunduk. Kemudian Allah ﷻ berfirman: “Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berpikir.” (Surah al-Hasyr Ayat 21)

Dan peringatan ini bukan kepada orang mukmin sahaja tetapi kepada keseluruhan manusia. Oleh kerana orang bukan Islam tidak kenal dengan Al-Qur’an, maka kitalah yang kena sampaikan ajaran Al-Qur’an ini kepada mereka.

Mungkin ada yang hairan, bagaimana pula gunung yang kaku itu boleh kenal Al-Qur’an pula? Jangan kita sangka yang makhluk tidak bernyawa ini tidak ada apa-apa. Kita sahaja tidak nampak hal itu kerana kita hidup di alam dunia yang biasa sahaja.

Di dalam sebuah hadis mutawatir telah disebutkan bahawa ketika dibuatkan untuk Rasulullah ﷺ sebuah mimbar, dan sebelumnya bila Nabi ﷺ berkhutbah baginda selalu berdiri di sebelah salah satu daripada batang pohon kurma yang menjadi tiang-tiang masjid.

Setelah mimbar diletakkan pada yang pertama kali, lalu Nabi ﷺ datang untuk berkhutbah, maka baginda melewati batang kurma itu menuju ke mimbarnya, dan ketika itu batang kurma tersebut menangis dan merintih sebagaimana anak-anak merintih kerana rindu kepada zikir dan wahyu yang biasa ia dengar di sisinya, maka Nabi ﷺ mendiamkannya.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنهما ـ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقُومُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ إِلَى شَجَرَةٍ أَوْ نَخْلَةٍ، فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنَ الأَنْصَارِ ـ أَوْ رَجُلٌ ـ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَجْعَلُ لَكَ مِنْبَرًا قَالَ ‏”‏ إِنْ شِئْتُمْ ‏”‏‏.‏ فَجَعَلُوا لَهُ مِنْبَرًا، فَلَمَّا كَانَ يَوْمُ الْجُمُعَةِ دُفِعَ إِلَى الْمِنْبَرِ، فَصَاحَتِ النَّخْلَةُ صِيَاحَ الصَّبِيِّ، ثُمَّ نَزَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَضَمَّهُ إِلَيْهِ تَئِنُّ أَنِينَ الصَّبِيِّ، الَّذِي يُسَكَّنُ، قَالَ ‏”‏ كَانَتْ تَبْكِي عَلَى مَا كَانَتْ تَسْمَعُ مِنَ الذِّكْرِ عِنْدَهَا ‏

Daripada Jabir, Nabi ﷺ biasanya berdiri berkhutbah pada hari Jumaat di sebatang pokok kurma. Seorang wanita atau lelaki Ansar berkata: Ya Rasulullah, bolehkah kami buatkan untuk mu mimbar. Baginda menjawab: Boleh, jika kalian mahu. Lalu mereka membuatkan untuk baginda mimbar. Apabila tibanya hari Jumaat, baginda pun naik ke mimbar tersebut. Lalu pokok kurma itu mengeluarkan bunyi seperti bunyi bayi. Kemudian baginda pun turun dari mimbar lalu pergi memeluk pokok kurma seperti sedang menenangkan yang sedang menangis. Baginda bersabda: Ia menangis kerana (tidak dapat mendengar lagi) apa yang biasa ia dengar daripada peringatan berhampirannya.

Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, Bab ‘Alamat an-Nubuwwah 3584

Menurut sebahagian riwayat hadith ini, disebutkan bahawa Al-Hasan Al-Basri sesudah mengetengahkan hadith ini mengatakan, “Kalian seharusnya lebih merindukan Rasulullah ﷺ daripada batang kurma itu.”

Demikianlah bunyi ayat yang mulia ini, bahawa apabila gunung-gunung yang merupakan benda mati, seandainya ia mendengar Kalamullah dan memahaminya, nescaya tunduklah ia dan berpecah belahlah ia kerana takut kepada Allah ﷻ. Maka bagaimanakah dengan kalian (manusia), padahal kalian telah mendengarnya dan memahaminya? Dalam ayat lain telah disebutkan melalui firman-Nya:

{وَلَوْ أَنَّ قُرْآنًا سُيِّرَتْ بِهِ الْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ الأرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ الْمَوْتَى} الْآيَةَ

Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentulah kitab itu adalah Al-Qur’an, Surah ar-Ra’d Ayat 31) hingga akhir ayat.

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ ۖ هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

Huwallāhul-lażī lā ilāha illā huw(a), ‘ālimul-gaibi wasy-syahādah(ti), huwar-raḥmānur-raḥīm(u).

“Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”

Surah Hashr Ayat 22

Tafsir

Ini adalah Dakwa Surah ini. Seperti yang kita mungkin sudah perasan, dalam surah-surah musabbihaat ini Allah ﷻ hendak mengingatkan manusia tentang Diri-Nya. Maka di hujung surah ini ada banyak asma’-Nya yang disebut-sebut supaya kita kenal Dia dengan lebih mendalam lagi.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang kehebatan Al-Qur’an dan tanggungjawab menanggung Al-Qur’an. Sekarang Allah ﷻ beritahu kepada kita siapakah yang telah menurunkan Al-Qur’an itu kepada kita. Ia bukan daripada manusia, tetapi daripada Allah ﷻ dan sekarang Allah ﷻ tekankan yang Dialah yang menurunkan Al-Qur’an itu, maka kenalah kita ambil peduli.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang kehebatan Al-Qur’an dan tanggungjawab menanggung Al-Qur’an. Sekarang Allah ﷻ beritahu kepada kita siapakah yang telah menurunkan Al-Qur’an itu kepada kita. Ia bukan daripada manusia, tetapi daripada Allah ﷻ dan sekarang Allah ﷻ tekankan yang Dialah yang menurunkan Al-Qur’an itu, maka kenalah kita ambil peduli.

Allah ﷻ menyebut tentang Tauhid. Inilah Kesimpulan Wahyu – Hanya Allah ﷻ sahaja ilah yang satu, tidak ada ilah yang lain. Hanya sembah Allah ﷻ sahaja, doa kepada Dia sahaja. Maka jangan jadikan selain Allah ﷻ sebagai ilah kerana itu semua tidak layak menjadi ilah.

Allah ﷻlah sahaja tempat pengharapan. Maka kena faham maksud ilah ini, barulah dapat memahami syahadah yang kita bacakan setiap hari. Ringkasnya, ilah adalah tempat sandaran hati kita, tempat kita berharap. Dan kerana kita berharap kepadanya, kita berdoa kepadanya. Ini hanya boleh dilakukan kepada Allah ﷻ sahaja. Maka kalau kita meminta kepada selain Allah ﷻ, maka kita telah melakukan syirik. Walaupun kita tidak menjadikannya tuhan pun.

Maka jikalau kita berharap kepada Nabi, wali, malaikat atau jin, maka itu pun sudah syirik. Itu telah menjadikan mereka sebagai ilah selain Allah ﷻ. Malangnya ramai yang tidak faham tentang hal ini dan telah melakukan syirik tanpa mereka sedari.

عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

“Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata,”

Selepas menyebut tentang kalimah tauhid, Allah ﷻ menyebut sifat-sifat-Nya. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu dan ada ilmu ghaib. Manusia tidak ada ilmu ghaib melainkan yang diberitahu sahaja. Dan ini adalah satu salah faham dalam masyarakat yang kata ada manusia yang tahu ilmu ghaib.

Ini adalah fahaman syirik kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang ada ilmu ghaib. Yang manusia ada ilmu ghaib itu adalah kerana Allah ﷻ beri sedikit pengetahuan kepada para Nabi. Namun setakat yang diberitahu itu sahaja. Tidaklah manusia atau mana-mana makhluk tahu semua ilmu ghaib.

Allah ﷻ tentu sekali nampak yang zahir juga. Kita pun ada juga nampak yang zahir, tetapi itu pun tidaklah semuanya.

Maka Allah ﷻ tahu segala-galanya dan Allah ﷻ tidak perlu sesiapa pun untuk memberitahu kepada-Nya. Kalau kita ada maklumat apa-apa, kita memerlukan orang untuk memberitahu kepada kita, bukan? Namun tidak dengan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tahu dari mula lagi, malah sebelum ia terjadi lagi Allah ﷻ sudah tahu.

هُوَ الرَّحمٰنُ الرَّحيمُ

“Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”

Dua sifat Allah ﷻ yang selalu sebut-sebut adalah sifat Rahman dan Raheem ini. Kita sudah bincangkan dalam tafsir Surah Fatihah dengan panjang lebar. Begitu banyak sekali nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada makhluk kerana Allah ﷻ kasih dan penyayang kepada makhluk-Nya.

Sebelum ini telah diberitahu yang Allah ﷻ segala-galanya; termasuklah diri kita. Walaupun Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang diri kita luar dan dalam, tetapi Allah ﷻ masih tetap sayang kepada kita kerana kita hamba-Nya.

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ المَلِكُ القُدّوسُ السَّلٰمُ المُؤمِنُ المُهَيمِنُ العَزيزُ الجَبّارُ المُتَكَبِّرُ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

Huwallāhul-lażī lā ilāha illā huw(a), al-malikul-quddūsus-salāmul-mu’minul-muhaiminul-‘azīzul-jabbārul-mutakabbir(u), subḥānallāhi ‘ammā yusyrikūn(a).

“Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.”

Surah Hashr Ayat 23

Tafsir

هُوَ اللهُ الَّذي لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

“Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia,”

Allah ﷻ ulang lagi kalimah tauhid seperti dalam ayat yang sebelum ini sebagai penekanan. Ini kerana ia adalah amat penting. Kerana salah faham tentang ilah inilah yang menyebabkan banyak kesyirikan yang terjadi dalam masyarakat.

هُوَ المَلِكُ

“Dialah Raja”

Allah ﷻ sebenar-benar Raja yang memiliki segala-galanya. Dialah sahaja al-Malikul Muluk. Walaupun manusia ada yang jadi raja di dunia, tetapi tidaklah sama kedudukan itu dengan Allah ﷻ. Allah ﷻlah yang sebenar-benar Raja.

Raja di dunia itu adalah kerana Allah ﷻ sahaja yang benarkan orang itu jadi raja. Namun tidaklah dia berkuasa penuh sedangkan Allah ﷻ berkuasa penuh. Allah ﷻ bebas untuk mengurus dan mentadbir alam ini tanpa ada sekatan apa-apa pun.

القُدّوسُ

“Yang Maha Suci,”

Ini adalah kalimah dalam bentuk mubalaghah. Allah ﷻ yang Maha Suci daripada kekurangan atau keburukan. Tidak mungkin kita boleh memikirkan perkara yang buruk tentang Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ tidak jahat, tidak menjelekkan. Allah ﷻ Maha Suci dan Allah ﷻ sahaja yang boleh menyucikan kita.

Ada pendapat lain mengatakan yang Allah ﷻ nama ini menjadi isyarat bahawa tidak akan menzalimi hamba-Nya.

السَّلٰمُ

“Yang Maha Sejahtera,”

Allah ﷻ tidak mungkin mengalami kepayahan atau kesusahan kerana Allah ﷻ sentiasa sejahtera. Iaitu Maha sejahtera daripada segala bentuk cela dan kekurangan, kerana kesempurnaan Dzat, sifat, dan perbuatan-Nya.

المُؤمِنُ

Yang Mengurniakan Keamanan,

Maksud ‘mukmin’ adalah yang memberikan keamanan. Iaitu keamanan daripada ketakutan. Allah ﷻ yang memberi keselamatan kepada manusia, yang memberi perlindungan kepada makhluk-Nya.

Ia juga bermaksud selamat daripada kezaliman-Nya kerana Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim. Makhluk-Nya selamat daripada takut Allah ﷻ berlaku zalim kepada mereka, tidak memberikan hak-hak mereka, tidak membalas kebaikan yang dilakukan semasa di dunia, tidak menepati janji-Nya.

Ada juga yang mentafsirkan maksudnya ‘memberi iman’. Maksudnya Allah ﷻ sahaja yang boleh beri iman kepada manusia. Hidayah iman itu milik Allah ﷻ dan bukan kita boleh beri kepada orang lain, termasuklah yang di bawah kita seperti anak-anak kita sendiri. Kita boleh sampaikan sahaja dakwah iman tetapi untuk memberi orang itu beriman, itu adalah dalam kuasa takluk Allah ﷻ.

Pendapat lain mengatakan ia bermaksud Allah ﷻ membenarkan para Rasul-Nya dengan memberikan mereka mukjizat. Mukjizat diberikan kepada Para Nabi sebagai tanda bahawa mereka itu adalah utusan Allah ﷻ. Ini kerana mereka membawa berita yang besar dan menentang golongan yang ramai. Maka mereka dibekalkan dengan mukjizat sebagai bukti bahawa mereka itu benar-benar seorang Rasul.

المُهَيمِنُ

“Yang Maha Memelihara,”

Kalimah المُهَيمِنُ berasal daripada katadasar ه م ن yang bermaksud meletakkan sesuatu di dalam dompet, ketua sesuatu pertubuhan, yang mengetuai dan menguruskan perbendaharaan, tentera atau manusia. Oleh itu, kalimah Muhaimin ada tiga maksud dari segi bahasa:

  1. Penjaga dan pengawal.
  2. Pemerhati yang memerhatikan segala yang dilakukan oleh orang lain.
  3. Seorang yang mengambil kedudukan untuk memenuhi keperluan orang lain.

Ketiga-tiga sifat ini boleh digunakan dalam konteks ayat ini. Oleh itu Allah ﷻlah yang menjaga dan memelihara semua makhluk-Nya; Dia memerhatikan segala kelakuan dan perbuatan kita semua; Dia juga yang bertanggungjawab memberikan segala keperluan kita. Tanpa-Nya kita tidak mungkin dapat hidup dan terus hidup.

Dan kalau kita sambungkan daripada sifat sebelum ini, ia mengajar kita yang Allah ﷻ sahaja yang ada kuasa untuk menjaga manusia supaya tidak sesat selepas diberikan dengan iman. Sudahlah Dia yang beri iman, hendak mengekalkan iman itu juga dalam kuasa-Nya.

العَزيزُ

“Yang Maha Perkasa,”

Allah ﷻ maha berkuasa dan tidak dapat dikalahkan oleh sesiapa pun. Tidak ada sesiapa pun yang berani angkat muka dengan Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ boleh beri apa sahaja azab kepada manusia kalau mereka menentang kebenaran dan tidak mahu beriman.

الجَبّارُ

“Yang Maha Kuasa,”

Kalimah ‘jabbar’ bermaksud yang membetulkan sesuatu dengan menggunakan kekuatan. Ini adalah seperti membetulkan tulang yang terkehel supaya masuk semula di tempatnya. Maka ini mengajar kita yang kadang-kadang Allah ﷻ menggunakan kekerasan untuk membetulkan kita.

Qatadah رحمه الله mengatakan bahawa makna al-jabbar ialah Tuhan Yang menundukkan makhluk-Nya menurut apa yang dikehendaki-Nya. Ibnu Jarir رحمه الله mengatakan, al-jabbar ertinya Tuhan Yang memperbaiki urusan-urusan makhluk-Nya. Yang mengatur mereka sesuai dengan apa yang menjadi kemaslahatan bagi mereka.

Kerana itu ada orang yang setelah ditimpa musibah dan masalah yang besar, barulah dia menjadi orang yang baik. Semoga kita bukanlah jenis orang menunggu dikenakan dengan azab barulah hendak menjadi baik. Kerana perit kalau diingatkan dengan musibah. Maka hendaklah kita ingat dan taat kepada Allah ﷻ dalam keadaan senang.

المُتَكَبِّرُ

“Yang Memiliki segala Keagungan,”

Allah ﷻ sahaja yang ada kebesaran. Maka kita tidak boleh takabbur. Allah ﷻ sahaja yang layak membesarkan Diri-Nya. Kita ini tidak ada apa-apa sebenarnya. Segala apa yang kita ada adalah daripada Allah ﷻ. Maka kenapa hendak sombong dan berasa besar diri?

Allah ﷻ tidak suka kepada makhluk yang kibr, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam sebuah hadith sahih (hadith Qudsi) yang mengatakan:

“العَظَمة إِزَارِي، وَالْكِبْرِيَاءُ رِدَائِي، فَمَنْ نَازَعَنِي وَاحِدًا مِنْهُمَا عَذَّبته”

Kebesaran adalah (bagaikan) kain-Ku dan Keagungan adalah (bagaikan) selendang-Ku; maka barang siapa yang menyaingi-Ku pada salah satu daripada keduanya, nescaya Kuazab dia.

Oleh itu, sifat kibr adalah satu sifat buruk kalau ia ada pada makhluk kerana makhluk tidak ada apa-apa yang hendak disombongkan; tetapi bagi Allah ﷻ, sifat ini adalah layak bagi Dia, jadi tidak salah kalau Allah ﷻ bersifat mutakabbir.

سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يُشرِكونَ

“Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.”

Ramai manusia yang mengatakan perkara yang salah tentang Allah ﷻ. Antaranya, ada manusia yang kata Allah ﷻ ada anak, Allah ﷻ ada sekutu dalam pentadbiran alam ini, Allah ﷻ memerlukan wasilah dalam doa, dan macam-macam lagi fahaman salah dan syirik.

Allah ﷻ memberitahu yang Dia suci daripada segala salah faham itu.

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ البارِئُ المُصَوِّرُ ۖ لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Huwallāhul-khāliqul-bāri’ul-muṣawwiru lahul-asmā’ul-ḥusnā, yusabbiḥu lahū mā fis-samāwāti wal-arḍ(i), wa huwal-‘azīzul-ḥakīm(u).

“Dialah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul Husna. Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Surah Hashr Ayat 24

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

هُوَ اللهُ الخٰلِقُ

“Dialah Allah Yang Menciptakan,”

Allah ﷻ sahaja yang menciptakan sesuatu yang tidak ada kepada ada. Tidak ada sesiapa selain Allah ﷻ yang boleh melakukannya. Musyrikin Mekah pun kenal Allah ﷻ dan tahu bahawa pencipta itu hanya Allah ﷻ sahaja.

البارِئُ

“Yang Mengadakan,”

Allah ﷻ yang mengadakan sesuatu yang tidak ada kepada ada. Selepas Allah ﷻ rancang untuk menjadikan sesuatu, Allah ﷻ akan menjadikannya. al-Bari’ adalah daripada katadasar ب ر ئ yang bermaksud ‘putus’ atau ‘bebas’. Maksudnya Allah ﷻ menjadikan makhluk bebas daripada kekurangan.

Maknanya Allah ﷻ merealisasikan apa yang telah direncanakan dan ditetapkan ke alam wujud dan alam nyata. Tiada seorang pun yang merencanakan sesuatu dapat melaksanakan dan merealisasikannya selain hanya Allah ﷻ.

المُصَوِّرُ

“Yang Membentuk Rupa,”

Segala rupabentuk adalah dalam kehendak Allah ﷻ. Segala bentuk dalam alam ini tidaklah terjadi sendiri tetapi ia telah ditentukan oleh Allah ﷻ untuk jadi sebegitu rupa.

Allah ﷻ yang menjadikan kita dalam rupa kita sekarang ini. Maka tidak boleh hendak marahkan Allah ﷻ dan kritik kerja Allah ﷻ. Kalau kita tidak cantik, maka jangan marah ketidakcantikan kita itu. Kerana kalau kita marah, bermaksud kita kutuk Allah ﷻ yang menjadikan rupa kita begitu.

Tiga kalimah awal yang menceritakan sifat Allah ﷻ ini adalah tentang kejadian dalam tiga bentuk atau proses:

Pertama, Allah ﷻ sebagai al-Khaaliq. Ini adalah sifat perancang. Ini adalah seperti arkitek yang sebelum menjadikan sesuatu bangunan, ia akan merancang bagaimana bentuk bangunan itu.

Kedua, pada peringkat kejadian ini kalau diumpamakan seperti pembinaan bangunan, ia seperti menjadikan tapak, menaikkan dinding dan membentuk bangunan itu sehingga ia terbina.

Ketiga, pada peringkat memberi bentuk yang sempurna kepada kejadian itu seperti mengemaskan bentuk bangunan sampai menjadi sempurna.

Namun tidaklah kita samakan penciptaan manusia dan Allah ﷻ. Dalam manusia mencipta dan menjadikan sesuatu, tentulah ada contoh sebelumnya. Akan tetapi Allah menjadikan alam ini tidak ada contohnya. Allah ﷻ cipta sendiri.

لَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ

Yang Mempunyai Nama yang Terbaik

Nama-nama Allah ﷻ itu adalah dalam bentuk terbaik. Allah ﷻ sahaja ada yang nama yang memberi kesan apabila diseru. Nama-nama lain tidak memberi kesan apabila diseru. Ini adalah kerana nama-nama Allah ﷻ itu memang benar dan bertepatan dengan Dia.

Sebagai contoh, kalau seorang lelaki bernama Rahman, tidaklah bermakna itu seorang yang pemurah. Tetapi apabila dikatakan Allah ﷻ itu ar-Rahman, memang Allah ﷻ bersifat Maha Pemurah. Maka kita gunakan nama-nama Allah ﷻ ini untuk kita menyeru-Nya dalam doa kita.

Nama-nama itu semua al-husna, iaitu terbaik. Tidak ada nama yang memburukkan Allah ﷻ. Nama-nama itu melambangkan kesempurnaan Allah ﷻ.

Asmaul Husna adalah salah satu perkara yang rapat dengan masyarakat kita. Selalu ia dinyanyikan oleh anak-anak kecil malah orang tua turut menghafalnya. Sebenarnya tidak ditemukan hadith yang sahih yang menyebutkan dan mengumpulkan sembilan puluh sembilan Al-Asmâ-ul-Husna. Adapun hadith yang diriwayatkan di dalam Sunan At-Tirmidzi, Mustadrak Al-Hakim dan yang lainnya, para ulama’ mendhaifkannya.

At-Tirmidzi setelah menyebutkan hadîth yang terdapat di dalamnya Al-Asmâ-ul-Husna tersebut, beliau mengatakan, “Hadîth ini gharîb…hadîth ini diriwayatkan dengan jalan lain daripada Abu Hurairah dan kami tidak mengetahui pada sebahagian besar riwayat-riwayat tersebut yang menyebutkan nama-nama ini kecuali di hadîth ini…”

Banyak orang yang menyangka bahawa Allah ﷻ hanya memiliki sembilan puluh sembilan nama, dengan dalil yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

( إِنَّ ِلِِلهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلَّا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّة )

“Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama/seratus dikurangi satu. Barangsiapa yang dapat menghitung atau menghafalnya maka dia akan masuk syurga.”

Riwayat Bukhâri 2736 dan Muslim 6/2677

Ihshâ’ (menghitung/menghapal) Al-Asmâ-il-Husnâ di dalam hadîth tersebut memiliki empat tingkatan, iaitu:

  1. Menghitung dan menghafal nama-nama tersebut.
  2. Memahami makna yang terkandung di dalamnya.
  3. Berdoa dengan menggunakan nama-nama tersebut, seperti: Ya Razzâq (Yang Maha Memberi Rezeki)! Berilah aku rezeki, Ya Ghafûr (Yang Maha Pengampun)! Ampunilah dosa-dosaku.
  4. Menyembah Allah dengan seluruh kandungan nama-nama tersebut. Jika kita tahu bahawa Allah Ar-Rahîm (Maha Pemberi Rahmat), maka kita selalu mengharapkan rahmat atau kasih sayang-Nya. Jika kita tahu bahawa Allah Al-Ghafûr (Maha Pemberi Ampun), maka kita selalu memohon ampun kepadanya. Jika kita tahu bahawa Allah As-Samî’ (Maha Mendengar), maka kita selalu menjaga perkataan kita, jangan sampai membuat Dia marah. Jika kita tahu bahawa Allah Al-Bashîr (Yang Maha Melihat), maka kita selalu menjaga perbuatan kita agar tidak mengerjakan sesuatu yang tidak diredhainya.

Benarkah Allah hanya ada 99 nama sahaja? Padahal, Allah ﷻ memiliki banyak nama yang tidak kita ketahui dan disembunyikan di sisi-Nya. Sebagaimana Rasulullah ﷺ pernah berdoa,

…أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ …

“… Aku memohon dengan seluruh nama yang Engkau miliki, yang Engkau menamakan diri-Mu dengannya, yang Engkau ajarkan kepada salah seorang daripada makhluk-Mu, yang Engkau turunkan di dalam Kitab-Mu atau yang Engkau sembunyikan di ilmu ghaib di sisi-Mu…”

Riwayat Ahmad 3712, Al-Hâkim 1877 dan yang lainnya. Syaikh Al-Albâni berkata di ash-Shahîhah 199 “Hadîth ini sahîh.”

Hadith di atas sangat jelas menyatakan bahawa nama Allah ﷻ tidak hanya sembilan puluh sembilan, kerana ada nama-nama yang disembunyikan di sisi-Nya. Maka apabila Allah ﷻ kata Dia ada 99 nama, tidaklah bermaksud tepat 99 nama. Ini sebagaimana ada orang yang kata dia ada ‘seratus ringgit untuk disedekahkan’. Tidaklah itu bermaksud dia hanya ada seratus ringgit itu sahaja, tetapi seratus ringgit itulah yang dia niatkan untuk disedekahkan.

Maka, Allah ﷻ ada lebih lagi daripada 99 nama dan bilangan itu tidak terkira. Cuma Allah ﷻ hadkan, kalau beramal dengan 99 nama itu, maka itu akan memasukkan orang yang mengamalkannya ke dalam syurga.

Bilangan nama Allah ﷻ ini tidak disepakati. Al-Qurthubi berkata, “Telah kami sebutkan bahawa nama-nama Allah ada yang telah disepakati oleh para ulama dan ada yang masih diperselisihkan. Yang kami dapatkan di buku-buku para imam kami, (nama-nama tersebut) mencapai lebih daripada dua ratus nama.”

يُسَبِّحُ لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

“Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi.”

Surah ini dimulai dengna tasbih dan diakhiri dengan tasbih sama seperti permulaannya. 10 surah yang kita sedang baca sekarang dinamakan Surah-surah Musabbihaat kerana ada tasbih di dalam surah-surah itu.

Allah ﷻ menekankan tentang tasbih dan memberitahu bahawa semua makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya. Maka Allah hendak perli di dalam surah-surah ini: mana tasbih kamu? Kenapa kamu tidak bertasbih?

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

“Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Allah ﷻ bersifat al-Aziz bermaksud Allah ﷻ boleh mengenakan azab kepada mana-mana makhluk dengan apa-apa cara pun dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang-Nya.

Namun dalam masa yang sama Allah ﷻ juga bersifat al-Hakeem. Maksudnya tidaklah Allah ﷻ terus beri azab kepada manusia setiap kali manusia buat salah. Allah ﷻ beri tangguh kepada manusia untuk mengubah sifat mereka. Dan ini adalah kerana Allah ﷻ bersifat al-Hakeem. Semua perbuatan Allah ﷻ itu adalah di atas kebijaksanaan-Nya.

Sekian ayat-ayat tentang sifat Allah ﷻ. Ketiga-tiga ayat ini adalah antara wirid-wirid yang boleh diamalkan.

Surah Hashr Ayat 21 – 24

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir