Salah guna ayat Al-Qur’an hanya untuk halau jin dan syaitan

Satu masalah yang timbul adalah diganggu jin syaitan. Dan ramai yang menggunakan potongan-potongan ayat untuk menghalau jin dan syaitan itu. Atau mereka akan mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai ‘pendinding’ dari jin syaitan.

Sebelum kita melakukan amalan-amalan menghalau jin dan mendinding dari jin menggunakan sumber-sumber yang tidak sahih, kita kena tanya dahulu, kenapa seseorang itu kena kacau dengan syaitan sampai meracau-racau?

Jin dan syaitan boleh mengganggu anak Adam kerana ada masalah dengan tauhid dalam diri mereka. Untuk mengelak dari diganggu jin, kita perlu mempunyai akidah yang benar, tauhid yang mantap dan tidak melakukan syirik. Untuk mendapatkan semua itu, perlulah dia belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Pertama sekali, seseorang itu perlu diajar syahadah supaya kemas tauhidnya dan faham apakah sunnah. Kerana dalam syahadah itu diajar tentang dua perkara itu: Tauhid dan Sunnah.

Yang selalu kena kacau adalah kerana ada masalah dengan tauhid. Kerana kalau tauhid kita kemas, insya-Allah akan dilindungi. Allah ﷻ berfirman dalam Surah ar- Rad Ayat 11 :

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِّن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.”

Ayat ini dalil bahawa ada malaikat jaga kita siang dan malam. Kalau kita masalah dengan tauhid, malaikat akan tinggalkan dan itu memberi peluang kepada jin syaitan untuk mengganggu kita. Tambahan pula kalau seseorang itu tidak melakukan amal ibadat yang wajib.

Sepatutnya kita baca ayat Qur’an dengan faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ kepada kita. Kita kena baca, faham dan amal apakah yang kita bacakan. Selalunya, yang membaca potongan ayat tertentu, tidak tahu pun apa yang mereka baca. Kalau mereka tahu, mungkin mereka tidak akan buat kerana mereka boleh lihat sendiri yang tidak ada doa pun dalam ayat itu. Ianya hanya Allah ﷻ memberitahu ajaran-ajaran yang sepatutnya kita ambil panduan dan bukan dibaca berulang-ulang sebagai asbab untuk mendapatkan hajat kepada sesuatu.

Bukanlah kita tidak langsung boleh menggunakan ayat-ayat Qur’an untuk menyatakan permintaan kita kepada Allah ﷻ. Tapi bagaimana? Sebagai contoh, katakanlah kita tidak ada anak. Maka kita bacakan ayat dari Surah Maryam Ayat 3 – 7 dan kemudian pohonlah anak kepada Allah ﷻ. Doa seperti begini: “Ya Allah ya Tuhanku, sepertimana Kau telah berikan anak kepada Nabi Zakariya, kurniakanlah anak kepadaku.”

Itulah cara menggunakan ayat-ayat Qur’an sebagai tawassul. Iaitu kita berbuat amal ibadat dan kemudian kita berdoa. Membaca ayat Qur’an adalah satu ibadat dan kita digalakkan berdoa selepas beribadat.

Semoga ini dapat membantu pemahaman saudara saudari sekelian tentang penggunaan ayat-ayat Al-Qur’an dan semoga ini dapat mengelakkan anda dari terjerumus ke dalam penyalahgunaan ayat-ayat Al-Qur’an.

وَاللّٰهُ اَعْلَمُ بِالصَّواب

Hujjah

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir