Your cart is currently empty!
Salah guna Asma Allah hanya untuk tujuan tertentu
Mengulang-ulang menyeru Asma’ Allah dan cara tawassul Asma’ Allah yang sepatutnya.
Cara salah dan menyimpang dalam menyeru atau bertawasul dengan asma’ Allah
Selain dari ayat Qur’an, ada yang mengulang-ngulang Asma’ Allah untuk hajat tertentu. Sebagai contoh, ada yang ajar, kalau ada keperluan perlukan pertolongan orang, baca ‘ya Bari’ berkali-kali.
Dari manakah datangnya amalan mengulang-ngulang baca ayat-ayat Qur’an dan Asma’ Allah sebagai usaha untuk mendapatkan sesuatu?
Ini berdasarkan kepada kisah semasa Nabi Ibrahim dibakar dalam api. Riwayat ini sebenarnya tidak sahih. Dikatakan dalam kisah itu, semasa Jibrail menawarkan pertolongan kepada baginda, baginda jawap yang Allah ﷻ lebih tahu apa yang diperlukan olehnya, sampaikan baginda tidak perlu menyatakan apalah keperluannya. Dari kisah ini, ada yang mengeluarkan pendapat yang salah – tidak perlu menyatakan apa keperluan kita, cukuplah sahaja menyebut berkali-kali Asma Allah atau ayat-ayat tertentu itu. Kerana Allah ﷻ sudah tahu apakah dalam hati kita dan apakah yang kita perlukan.
Memang Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati kita dan apa yang kita perlukan, tapi pemahaman mereka itu bersalahan dengan amalan para Nabi dalam berdoa, sebagaimana yang diceritakan dalam Qur’an. Para Nabi seperti Nabi Musa, Nabi Zakariya dan lain-lainnya, menyebut keperluan dan kehendak mereka.
Cara bertawassul dengan asma’Allah ialah dengan menyeru NamaNya yang sesuai dan diikuti dengan hajat orang yang berdoa.
Seperti Allah ﷻ ceritakan doa Nabi Zakariya dalam Surah Maryam Ayat 3 – 7. Dalam ayat-ayat itu, jelas Nabi Zakariya mengadu menceritakan keadaan diri baginda dan kemudian baginda berdoa dengan menjelaskan apakah kehendak baginda.
Beberapa lagi contoh amalan salah menggunakan ayat-ayat Quran dengan mengaitkannya dengan fadhilat tertentu.
Kita tidak boleh mencipta kaedah zikir dan wirid kononnya ada fadhilat tertentu.
Siapakah yang berani mencipta satu kaifiat zikir dan doa dan mengajarkannya pula kepada orang ramai? Bukankah agama ini milik Allah ﷻ dan RasulNya?
Bukanlah kita tidak langsung boleh menggunakan ayat-ayat Qur’an untuk menyatakan permintaan kita kepada Allah ﷻ. Tapi bagaimana? Sebagai contoh, katakanlah kita tidak ada anak. Maka kita bacakan ayat dari Surah Maryam Ayat 3 – 7 dan kemudian pohonlah anak kepada Allah ﷻ. Doa seperti begini: “Ya Allah ya Tuhanku, sepertimana Kau telah berikan anak kepada Nabi Zakariya, kurniakanlah anak kepadaku.”
Itulah cara menggunakan ayat-ayat Qur’an sebagai tawassul. Iaitu kita berbuat amal ibadat dan kemudian kita berdoa. Membaca ayat Qur’an adalah satu ibadat dan kita digalakkan berdoa selepas beribadat.
Semoga ini dapat membantu pemahaman saudara saudari sekelian tentang penggunaan ayat-ayat Al-Qur’an dan semoga ini dapat mengelakkan anda dari terjerumus ke dalam penyalahgunaan ayat-ayat Al-Qur’an.
وَاللّٰهُ اَعْلَمُ بِالصَّواب
Hujjah
Leave a Reply