Surah al-Kaafiroon Ayat 1 – 6 (Golongan kafir)

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

قُل يا أَيُّهَا الكافِرونَ

Qul yā ayyuhal-kāfirūn(a).

“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir,”

Surah al-Kaafiroon Ayat 1

لا أَعبُدُ ما تَعبُدونَ

Lā a‘budu mā ta‘budūn(a).

“Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.”

Surah al-Kaafiroon Ayat 2

وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ

Wa lā antum ‘ābidūna mā a‘bud(u).

“Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah.’

Surah al-Kaafiroon Ayat 3

وَلا أَنا عابِدٌ ما عَبَدتُم

Wa lā ana ‘ābidum mā ‘abattum.

“Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah,”

Surah al-Kaafiroon Ayat 4

وَلا أَنتُم عابِدونَ ما أَعبُدُ

Wa lā antum ‘ābidūna mā a‘bud(u).

“dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah.”

Surah al-Kaafiroon Ayat 5

لَكُم دينُكُم وَلِيَ دينِ

Lakum dīnukum wa liya dīn(i).

“Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku.”

Surah al-Kaafiroon Ayat 6

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir (ringkas)

Pengenalan

Surah ini sukar untuk ditafsirkan kerana walaupun ianya pendek sahaja, tapi ia mengandungi banyak pengajaran di dalamnya. Tidaklah nampak mudah sahaja. Tapi, kita cuba juga untuk mudahkan supaya kita dapat memahaminya sedikit sebanyak, in shaa Allah.

Surah ini adalah untuk memutuskan hubungan dengan orang kafir Mekah. Mereka memang ada agama, tapi agama yang salah. Tidak boleh hendak ikut apa yang mereka lakukan. Jadi, Allah ﷻ ajar kita bagaimana berurusan dengan mereka – mereka mesti ikut kita dan kita tidak boleh ikut mereka. Kalau setelah dakwah mereka masih tidak mahu ikut, maka mestilah tinggalkan mereka dengan apa yang mereka lakukan itu. Tidak ada jalan tengah, tidak ada kompromi dengan mereka.

Sebelum itu, mari kita lihat kaitan surah ini dengan Surah al-Kauthar:

Dalam surah al-Kauthar, orang kafir telah menghina Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda telah mengalami kematian anak lelakinya – mereka mengatakan keturunan baginda terputus. Allah ﷻ jawab dalam surah itu bahawa mereka sebenarnya yang akan terputus, bukannya baginda.

Perbuatan mereka membenci Nabi itu adalah amat buruk sekali dan sekarang dalam surah al-Kaafiroon ini Allah ﷻ memberitahu kita yang mereka membenci Nabi Muhammad ﷺ itu adalah kafir sebenarnya. Mereka berkata yang Nabi Muhammad ﷺ abtar, tapi Allah ﷻ balas dengan berkata yang mereka itu kafir. Ada beberapa perkara tentang panggilan ini yang kita perlu bincangkan.

1. Penghinaan mereka terhadap Rasulullah itu tidak ada nilai kerana itu adalah kata-kata mereka sahaja. Mereka berkata bahawa ajaran baginda akan terputus kerana baginda tidak ada anak lelaki dan itu tidak terbukti – agama Islam terus berkembang.

Sedangkan panggilan ‘kafir’ kepada mereka itu datangnya daripada Allah ﷻ dan itu adalah kebenaran. Kutuklah Nabi Muhammad ﷺ bagaimana juga, baginda tetap mulia.

2. Semasa mereka menghina baginda, ianya bukanlah atas akhlak buruk baginda kerana mereka memang tidak ada apa-apa hujah untuk mengutuk akhlak baginda kerana akhlak baginda adalah terbaik. Tapi, apabila Allah ﷻ kutuk mereka dengan gelaran ‘kafir’ itu, ianya adalah berkait dengan sifat mereka yang buruk.

Itu memang kesalahan mereka yang mereka lakukan dan memang layak mereka diberikan dengan gelaran itu. Sedangkan yang mereka kutuk Nabi Muhammad ﷺ itu, itu bukanlah salah baginda.

3. Kaitan seterusnya dengan surah al-Kawthar, kita telah belajar bagaimana mereka yang memusuhi Nabi Muhammad ﷺ itu dikira sebagai شانِئَ dan ianya adalah jenis musuh yang paling teruk sekali. Allah ﷻ telah memberitahu perangai mereka dan apa yang ada dalam hati mereka. Mereka itulah yang kufur sebenarnya.

Mereka telah didakwah bertahun-tahun dengan cara yang sebaik-baiknya, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman. Malah mereka menghina dan menyakitkan hati Nabi ﷺ. Dalam Surah Al-Kawthar mereka digelar sebagai شانِئَ dan dalam surah al-Kaafiroon ini, mereka digelar sebagai ‘kafir’.

Tapi, mereka memang kuat dan berkuasa waktu itu kerana bilangan mereka yang ramai. Mereka hendak halang Nabi ﷺ dan para sahabat dari berdakwah, nampaknya tidak berjaya. Maka, mereka menyangka yang dengan kedudukan mereka, mereka boleh buat kompromi dengan baginda.

Mereka tawarkan kepada baginda untuk berkongsi – tahun ini kita amalkan tauhid, tahun depan kita amalkan syirik pula, tukar-tukar. Dalam masa yang sama juga, mereka tawarkan kekayaan dan kedudukan kepada baginda asalkan baginda memberhentikan dakwah baginda. Itulah tawaran mereka yang terakhir sekali.

Mereka buat tawaran itu kerana mereka sudah agak yang baginda tidak akan meninggalkan dakwah baginda. Begitu juga dengan para sahabat yang lain. Jadi, mereka fikir dengan mendalam. Maka, itulah jalan penyelesaian yang mereka rasa boleh mereka ambil. Mereka cuba hendak mengambil hati Nabi ﷺ. Dalam surah al-Qalam 9 Allah ﷻ ada berfirman:

وَدّوا لَو تُدهِنُ فَيُدهِنونَ

“Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu).”

Ini juga adalah taktik syaitan. Kalau syaitan tidak dapat mengkufurkan kita sepenuhnya, mereka akan cuba ubah kita supaya ambil sedikit perkara yang salah supaya tidak sepenuhnya Islam. Sedang Allah ﷻ telah berfirman dalam surah al-Baqarah 208

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.”

Kita hendaklah mengambil dan mengamalkan Islam 100%. Jangan termakan dengan bisikan syaitan – maka, jangan ada kompromi. Kalau kita sudah kompromi sikit, maka nanti syaitan akan bisikkan lagi untuk ambil lagi perkara lain – akhirnya boleh jadi kafir terus.

Oleh itu, ambil sebahagian sahaja hukum Islam adalah mengikut jejak langkah syaitan sebenarnya. Salah satu cara syaitan adalah supaya kita menolak sebahagian sahaja dari ajaran Islam – tidak perlu sepenuhnya. Inilah bahayanya kompromi yang kita harus jaga dan berhati-hati. Hendak kompromi boleh, tapi lihat terlebih dahulu dalam hal apa. Kalau dalam hal tauhid, langsung tidak boleh.

Ini seumpama empangan yang ada retak. Retak itu kecil sahaja, tapi lama-lama ia akan membesar dan menyebabkan keseluruhan empangan itu pecah. Adakah kita mahu jadi seperti itu?

Nabi Muhammad ﷺ tidak melayan langsung kompromi mereka itu. Dalam surah al-Kawthar sebelum ini, telah disebut dengan nikmat-nikmat yang diberikan dan dijanjikan kepada baginda. Maka dengan janji itu, tidak ada apa lagi yang Musyrikin Mekah itu boleh tawarkan kepada baginda. Baginda ada yang lebih baik lagi dari apa yang mereka dapat tawarkan. Jadi , baginda tidak melayan tawaran mereka itu. Baginda tidak boleh disogok langsung.

Tambahan pula, baginda telah dijanjikan dengan kejayaan. Allah ﷻ beritahu dalam surah al-Kawthar itu juga yang orang musyrikin itulah nanti yang akan terputus. Maksudnya, mereka akan mengalami kekalahan nanti. Jadi, baginda tidak dapat diancam dengan apa-apa pun. Baginda sudah tahu yang baginda akan menang.

Oleh itu, baginda tidak ada masalah untuk memanggil mereka dengan gelaran al-Kaafiroon walaupun panggilan itu mengundang marah mereka. Baginda tidak perlu takut dengan reaksi mereka. Mereka mungkin mahu menyerang baginda selepas itu, tapi mereka tidak akan menang.

Surah al-Kaafiroon Ayat 1 -5

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir