Penyembuh sakit sihir dan saka 2/2

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Setelah 3 tahun, aku kembali semula. Kepada sesiapa pernah baca confession Penyembuh Sakit Sihir dan Saka, ini adalah sambungannya.

Maaf kerana mengambil masa yang terlalu lama untuk menulis. Aku pernah bagitahu nak sambung bagaimana cara untuk kenalpasti gangguan jenis sihir dan saka dulu.

Baiklah kali ni aku akan explain. Sebelum tu bagi yang belum tahu aku adalah seorang wanita yang berusia akhir 20’an dan mengalami kemelut konflik pertarungan dengan saka sudah hampir 15 tahun.

Pertama sekali buat yang tanya adakah aku sudah sembuh atau tidak jawapannya adalah aku hampir sembuh secara total dan berjaya membuang keseluruhan saka yang ada kecuali beberapa ekor yang berupa kepala atau ketua.

Disebabkan saka yang ada pada aku agak banyak dan dah lama bertapak, jadi proses pembuangannya juga memerlukan masa yang lama dan agak rumit. Kes aku agak berlainan disebabkan aku menggunakan pendekatan ‘rawatan mandiri’.

Kepada yang berubat dengan perawat teruskan juga. Both membantu. Ingat perawat hanya membantu 40% dan yang selebihnya 60% adalah dari usaha kita sendiri.

Aku nak cerita tentang jin ifrit sebab ketua saka yang aku maksudkan bernama jin ifrit. Jin ini pernah berkhidmat dengan raja Sulaiman pada suatu ketika dahulu. Semasa zaman Rasulullah saw, jin ini pernah datang kepada Nabi dan ingin menghalang Rasulullah saw ketika perjalanannya semasa peristiwa israk mikraj.

Jibrail telah menumpaskannya dengan bacaan yang dipanggil (taawuz jibrail) sehingga terpadam obornya dan akhirnya dia tak dapat mengejar nabi. Korang boleh google kalau nak tahu cerita ni dengan lebih lanjut.

Ifrit adalah jin kafir yang sangat angkuh, degil, sombong dan tak nak tunduk kepada Allah. Ifrit juga adalah agen dajjal. Dia ditugaskan untuk sesatkan manusia dan hancurkan anak cucu Adam. Sungguh, gangguan ifrit adalah ujian paling besar dalam hidupku.

Siapa yang pernah diganggu jin ifrit akan tahu betapa sakit nak menghadapinya. Mungkin juga saka ini jenis jin otai. Aku generasi yang keberapa pun tak tahulah tapi yang aku tahu dia jin yang berusia dan telah hidup lama.

Di akhir zaman serangan jin lebih dasyat menggangu manusia. Kalau jin lain aku tak heran sangat tapi dengan ifrit aku sangatlah bertarung.

Gangguan yang aku alami sebenarnya telah merangkumi seluruh badan dan sangat kritikal sebab mereka dah kacau seluruh sistem tubuh aku terutamanya otak. Dengan kadar gangguan teruk ni sepatutnya aku dah jadi gila tapi aku bersyukur Allah masih kurniakan kewarasan pada aku.

Aku yakin tak kisahlah apa juga pangkat jin tersebut atau beratus tahun sekalipun umur mereka namun dengan TAUHID dan keyakinan yang tinggi pada Allah, pasti kita boleh menumpaskannya juga. Amin

Mesti ada yang cakap tak kan kau lemah dari jin? Tidak, aku tahu aku ada kelebihan yang tersendiri kerana manusia dicipta dengan sebaik-baik kejadian cuma disebabkan jin ini dah terlalu lama bertapa dalam badan aku dia macam tak boleh terima hakikat sihirnya makin lemah.

Dia dah lama bersarang dalam badan aku jadi aku perlukan masa yang lama juga untuk buang sarang-sarang jin ini yang biasa akan keluar melalui muntah buih.

Jadi aku perlu sabar dan memerlukan langkah demi langkah untuk selesaikan satu persatu sehinggalah ia berjaya keluar kesemuanya sekali dari jasad aku.

Bila semuanya keluar, akulah orang paling bahagia dalam dunia. Dulu aku cepat sangat letih dan tak bersemangat, bila sarang sarang jin keluar, aku jadi tersangat produktif dan positif. Aku rasa tenang setenang tenangnya, otak aku kosong sangat, badan aku ringan macam nak melayang.

Tiada bisikan halus didengari dan tiada hasutan dalam hati aku. Hati rasa sangat cerah dan cahaya Allah pun masuk. Aku ibarat keluar dari dimensi gelap gelita menuju dimensi yang aku tak boleh explain bestnya macam mana. Aku rasa seperti reborn. Ibarat mati hidup semula.

Like dia punya perubahan tu macam ketara gila. Cth semalam terlantar sakit tapi keesokan harinya aku boleh jadi aktif sampai 3 fold.

Perubahan ini biasa berlaku disertai dengan amalan. Means, nak buang saka aku ada kaedah tersendiri dan amalan yang aku buat biasanya agak heavy (disini aku tak boleh nak share semua amalan aku sebab setiap orang tak sama kemampuan).

Yang penting amalan yang dibuat mendapat pengesahan dari guru dan bukan search dari google. Tapi aku tetap akan bagi juga amalan-amalan yang aku rasa semua orang boleh buat tak kira sakit atau sihat. INGAT, amalan haruslah ISTIQAMAH. Kalau kita tak istiqamah, jin senang nak datang balik. Simple je konsep dia.

Ketahuilah perbezaan badan yang dihuni saka or tanpa saka ibarat langit dan bumi. Bila semua saka keluar, kita tak akan mimpi pelik-pelik.

Cara kita melihat alam juga berbeza. Bila hati kita dibersihkan, kita akan nampak dunia di luar terlalu tenat. Kita nampak dunia sedang melalui proses gulung tikar sebab jin dan syaitan serta konco-konconya sekarang sedang bertungkus lumus membuat pecutan terakhir untuk sesatkan manusia di akhir zaman.

Tapi sayangnya ada beberapa ekor jin masih berdegil dan selalu datang pada aku. Bila mereka datang semula, aku rasa diri aku yang lama.

Yang hidup dalam kegelapan dan terkapai-kapai mencari jalan untuk survive. Ibarat terpaksa restart balik pakai GPS ke destinasi yang aku kena kuncikan diri dengan pendinding yang membuatkan mereka tak boleh ganggu.

Kala ini aku kena cari balik ubat melalui Al-quran dan sunnah. Aku kena cari balik penyelesaian dengan kod-kod yang ada di dalam Al-quran dan penghayatan kepada nilai sunnah Rasulullah saw.

Pertama sekali aku nak remind kepada orang yang nak berubat dari gangguan jin sihir dan saka. First korang kena set dalam minda hanya Allah Taala je yang boleh sembuhkan kau hatta amalan pun tak boleh kalau Allah tak izinkan.

Kau pergilah merawat satu Malaysia, berjumpalah beratus-ratus perawat, bacalah Al-Quran 30 juzuk kalau Allah tak izinkan tetap tak ada yang boleh menyembuhkan kita. Allah bagi ujian ni sebab dia nak tengok sejauh mana TAUHID dan keyakinan kita padanya.

Allah nak tengok sejauh mana kita ikhlas nak kembali pada dia. Jangan hanya kerana kita nak sembuh, baru kita buat ibadah. Datanglah kepada Allah dengan rasa rendah diri dan hina. Sembahlah Allah kerana kita adalah hambanya bukan kerana nak sembuh, bukan kerana nak itu atau nak ini.

Aku ulang lagi sekali, yes orang yang menghadapi sihir dan saka adalah insan yang sangat terpilih sebab apa aku cakap terpilih. Sebab Allah pilih kau untuk ingat pada Dia. Untuk rapat dengan Dia disaat orang lain lalai dengan hal hal keduniaan. Kalau Allah tak bagi ujian ni mungkin kau tak akan buat u-turn dan kembali pada Dia.

Kesakitan ni boleh jadi asbab kau mencari hidayah dan diberi hidayah olehNYa. Disebabkan kita rasa tersepit, kita tak tahu kemana harus kita tuju, lalu kita kembali kepadaNya sebab Tuhan rindukan kita. Kau sebenarnya dalam perhatian Allah. Allah rindukan rintihan kau.

Tuhan nak tengok kau merayu dan mengharap hanya pada Dia dan bukan manusia. Sejauh mana bila kau diuji dan kau tak putus asa bahkan kau sentiasa berbaik sangka padaNya.

Tuhan akan turunkan rahmat di setiap episod kesakitan yang dirasai. Ingat setiap kesusahan bersama kesenangan. Maknanya setiap kali kita sakit ada kebaikan akan menyusuli sejurus selepas itu.

Sedikit demi sedikit Allah akan tunjukkan jalan dan kau akan nampak bagaimana permainan syaitan ni cuba nak sesatkan kita dengan cara yang terpaling halus yang tak terjangka. Allah akan ajarkan kau macam mana nak hadapi mereka.

Mungkin kau tak sembuh 100% tapi Allah bagi kau kekuatan untuk berhadapan dengan setiap situasi dengan tenang. Ambil masa untuk renung apa yang keluar masuk dalam fikiran dan hati kau. Semua ada petanda dari Allah.

Kau kena tahu objektif iblis/syaitan/jin ganggu kita tujuannya hanya satu iaitu supaya mensyirikkan Allah (nauzubillah) dan bersama-sama mereka memasuki neraka yang kekal abadi. Definisi syirik ni sangat luas ya.

Syirik tak bermaksud seperti sembah bulan, api, sembah matahari, sembah bintang, mengatakan Tuhan ada anak lah etc. Itu memang sah-sah lah kita tak akan buat sebab ia jelas terang menyalahi akidah yang dipanggil syirik jali. Syaitan pun bijak dia tahu kau tak akan buat semua tu.

Syirik yang dimaksudkan disini adalah syirik khafi (tersembunyi) contoh ujub, riak, sombong, takbur, sum’ah. Cth bila kau mulai persoalkan takdir Tuhan kenapa uji aku macam ni? Sebenarnya secara psikologi dah membuahkan bibit-bibit syirik bila dia tak jawab doa kita dan kita mulai mempertikaikan kewujudan Tuhan.

AWAS! Kita kena sentiasa perhati permainan syaitan ni yang akan berbisik pada kita dengan pelbagai tipu daya. Ni salah satu contohnya.

Boleh jadi berjuta cara dan taktik licik dia guna untuk memperdayakan kita sebab tu kita kena sentiasa berwaspada dengan syaitan.

Caranya mungkin pelbagai tapi tujuannya tetap sama iaitu nak batalkan akidah orang Islam. Ingat balik kisah Bashishah iaitu seorang wali yang hidupnya seorang alim tapi akhirnya mati dalam keadaan kufur sebab kena kelentong dengan syaitan di akhir hayat dia.

Cukup dengan satu anggukan saja dia dah jatuh kafir. Sebab tu sentiasalah jaga akidah dan keimanan kita pada Allah. Ia adalah satu-satunya perkara yang paling bernilai dalam hidup kita. Lazimilah taubat dan sentiasa perbaharui syahadah setiap hari hatta dalam solat pun 5x sehari kita akan menyebut syahadah.

Jangan tinggal baca Surah Al-Kahfi sepuluh ayat pertama dan terakhir. Ayat ni adalah ubat khusus nak lindungi diri kita dari fitnah akhir zaman iaitu fitnah akidah, ilmu, harta dan pemimpin.

Senjata utama di akhir zaman juga adalah makrifatullah iaitu mengenal Allah dengan kefahaman yang sebenar berserta hidayah. Ambillah masa untuk belajar ilmu fardhu ain. Janganlah nak berdalih cakap tak ada masa. Sebenarnya masa tu ada je cuma kita kena cari. Sentiasa update 3 disiplin ilmu wajib iaitu ilmu tasawuf, akidah dan syariat.

Kalau tak ada masa juga dahulukan ilmu tasawuf dan ilmu akidah kerana akidah tanpa tasawuf itu tempang, tasawuf tanpa akidah itu sesat. Sentiasa hadiri kuliah dan berguru dengan cara yang betul dan sentiasa berada dalam landasan ilmu yang betul.

Kita tak nak beramal di akhir zaman macam hadis Nabi cakap iaitu seorang abid yang jahil iaitu ahli ibadah yang melakukan ibadah tapi tak betul ibadahnya. Kita juga tak nak jadi seorang alim yang fasik. Tapi kalau tanya diantara abid yang jahil dan alim yang fasik cuba teka siapa lagi better?

Iaitu alim yang fasik. Cthnya alim yang fasik ni dia mungkin tak beramal tapi pegangan akidah dia betul jadi dia masih lagi boleh terselamat tapi kalau abid yang jahil ni dia tak faham sebab dia beribadah and at the end of the day dia mudah terpedaya dengan syaitan. You get the point kan.

Sebab itulah penting untuk tanamkan dulu akidah yang betul and then barulah syariat mengikutinya. Ha gitu. Tapi janganlah pula claim diri beriman tapi tak solat pulak tetap ke neraka juga.

Kita kena jadi true muslim. Masuk Islam secara keseluruhan. Amal ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Rasulullah saw berpandukan akidah ahli sunnah wal jamaah as-syaarah al-maturidiah.

Ok back to the story. Ingat ujian hebat, ganjarannya juga pasti hebat. Mana tak nya, ketahuilah orang yang menghadapi gangguan ini biasanya diuji dari setiap sudut hidup dalam mereka baik pekerjaan, pelajaran, kekeluargaan, kesihatan (mental/fizikal), jodoh. Pendek kata semuanya.

Mereka akan mengalami masalah dari seluruh aspek kehidupan. Cth, orang benci kau tiba-tiba, kau bergaduh dengan orang tiba-tiba, kau selalu ada masalah dengan bos di tempat kerja, susah nak dapat jodoh walaupun dah berusia, rezeki sempit walau dah berusaha, sakit misteri, rasa hidup terhalang dan susah nak majukan diri dan pelbagai lagi 1001 ujian dan badai yang lain.

Kau akan rasa kenapalah hidup aku bermasalah? Kenapa aku teruk sangat? Wait, kau kena sedar kau tak teruk, kau tak bermasalah tapi masalah yang diwujudkan atas diri kau. Kau mungkin tak dapat kawal apa yang berlaku tapi kau boleh kawal respond terhadap apa yang berlaku.

Disinilah kau akan belajar erti sabar, erti redha, dan erti syukur. Kau kena ingat Allah dah beritahu dalam quran tipu daya syaitan itu lemah dan mereka tak ada kuasa pun ke atas kita dan sihir tak dapat beri mudarat melainkan dengan izin Allah.

“Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.” -Surah An-Nisa ayat 76

Kau kena faham saka itu adalah perjanjian diantara jin dengan datuk nenek moyang kita dahulu. Kebiasaannya saka adalah sihir yang kuat atau tahap kritikal. Serangannya terlalu halus sehinggakan ramai tak sedar diri mereka dihuni oleh jin saka. Dulu aku pernah cakap aku mengalami sihir dan saka memang betul.

Sihir dari tempat lain yang masuk ke dalam laluan yang sama disebabkan laluan saka yang dah lama ada dalam jasad. Cuma sihir tahap awal tak terlalu sakit sebagaimana sakitnya gangguan saka. Kena selalu berjaga dengan weak point kita sebab jin akan selalu attack pada weak point kita.

Dalam confession sebelum ni aku pernah bagitahu amalan menghadapi gangguan jin cuma kali ni aku akan bagitahu kaedah yang paling berkesan pada aku.

1) Banyak beribadah dan berdamping dengan Allah. Pastikan ibadah kita ikhlas (mukhlisin). kena rajinkan diri bangun malam dan kerjakan solat sunat taubat, solat tahajud, solat hajat, solat witir dan apa-apa solat sunat terutama solat taubat kalau boleh buat setiap hari.

Orang yang ada saka secara tak langsung jin-jin ini dah banyak pengaruhi hidup mereka termasuk campur tangan dalam urusan harian dan soal membuat keputusan jadi sentiasa bersihkan hati dengan taubat.

2) Sentiasa berzikir kepada Allah guna kaedah zikir hati dan mulut seiring. Kena tetapkan bilangan berapa. Kalau 1000x sehari, make sure tiap-tiap hari buat 1000x. Jangan tambah dan jangan kurangkan angka sebab zikir tu akan jadi seperti kunci yang akan membuka pintu hikmah.

3) Bismillah 5. Tekap pada bahagian badan yang sakit (biasanya tempat yg selalu sakit jin tertumpu pada kawasan tu) cth tempat utama dia duduk seperti saraf tunjang, otak, jantung, perut, sendi-sendi utama.

4) Kena kuat semangat. Tak boleh lalai walau sesaat. Minda kena sentiasa berjaga untuk elak bisikan dan hasutan jin. Orang ada saka ni akan selalu dengar bisikan jadi sentiasa lazimi istiazah.

5) Baca ikrar pemutusan saka setiap hari (Surah At-Taubah ayat 1).. Saka ni biasa akan memperbaharui ikrar perjanjian dalam mimpi walaupun dah putuskan incase dia datang balik kena putuskan lagi dan lagi sampailah dia lemah dan keluar dari jasad.

Walaupun kita terima tanpa kerelaan tapi sihir akhir zaman ni dasyat dia akan masukkan doktrin dalam otak buat kita terima tanpa sedar jadi kena belajar teknik putuskan perjanjian. Kena pakai hati yang paling dalam apabila buat kaedah ni.

6) Memperbanyakkan amalan hati seperti merenungi kebesaran Allah, muhasabah diri, bercakap dengan Allah dlm hati. Mengingati perjuangan Rasulullah. Create story baik baik dalam fikiran.

7) Baca selawat tafrijiyyah 7x sehari selepas subuh dan 1000x selawat sehari paling minimum

Yang lain-lain adalah kena selalu buat proses tazkiyatul-al-nafs maksudnya proses pembersihan hati yang mana kena buat setiap hari secara konsisten.

Jangan ada langsung dalam hati penyakit 4 serangkai yang aku sebut diatas tadi, hubbun-dunya, dengki, prasangka buruk, tak puas hati dengan orang, menyampah dengan orang dan pelbagai lagi dan sentiasalah memaafkan orang dan berbaik sangka dengan orang.

Memang payah tapi kena belajar untuk buat. Kalau rasa hati macam kotor balik sebab masuk virus penyakit hati reset semula dengan selawat atau zikir. Dalam confession sebelum ni aku pernah explain.

Saka yang ada pada aku terlalu banyak sampai dah beranak pinak. Kenapa susah sangat nak buang saka? Sebab saka tu dah sebati. Aku dapat tahu aku ada saka bila dia dah bertapa dalam jasad aku selama 10 tahun means dalam masa 10 tahun tu aku tak tahu pun aku ada saka.

Dia tak nak lepaskan aku disebabkan dia dah terlalu selesa. Tapi nak tak nak aku tetap kena buang sebab bila mereka duduk dalam badan aku akan jadi sakit. Aku tak ada pilihan melainkan untuk lawan kesakitan tu supaya badan aku boleh berfungsi dengan normal.

Walaupun orang cakap susah nak buangnya tapi aku tetap yakin walau separah mana keadaan seseorang, pasti ada penyelesaiannya. Pasti sembuh kalau Tuhan berkehendakkan. Tiada yang mustahil bagiNya.

Saka keturunan biasanya akan ganggu semua orang dalam ahli keluarga. Kalau yang diganggu tahap kritikal dia akan bersarang dalam badan dan kalau gangguan biasa mungkin sekadar gangguan luaran tapi biasanya dia akan ganggu the whole family dengan wujudkan sentimen, perbalahan, permusuhan sesama keluarga.

Macam mana nak tahu? Biasanya orang yang ada saka jugak yang akan sedar benda ni dan tahu dirinya dan ahli keluarganya sedang diganggu oleh saka. Maksud aku hanya orang yang dah ada tapak dalam badan dia boleh sense dan scan sama ada orang sekeliling sedang diganggu oleh jin jugak or tak.

Kebiasaannya pesakit yang menghadapi gangguan sihir/saka yang datang melalui mimpi di malam hari pasti akan rasa sakit keesokan harinya bergantung kepada jenis mimpi yang dilalui (strength jin berbeza).

Jika sihir meresap masuk ke dalam diri (bergantung pada mimpi) pesakit akan rasa sakit sama ada mereka sedar atau tak sedar. Kalau jin hanya memandang sahaja tanpa menyentuh boleh jadi kita adalah sasaran mereka dan mereka sedang mengancam kita.

Contohnya malam tadi kita mimpi sekian sekian keesokan tu pasti kita akan dihantui dengan jin yang sama yang ganggu kita melalui mimpi malam tadi. Jadi sila perhatikan betul-betul mimpi apa yang korang alami kerana ia boleh jadi petanda penting.

Mimpi saka (100% benar)

Please take note. Kaedah pengesanan ini hanya berkesan jika anda mengalaminya hampir setiap masa. Pendek kata mimpi yang dialami adalah mimpi yang sama yang berlaku berulang-ulang kali.

Berulang-ulang kali tu maksud aku adalah hampir setiap malam. Kalau sekali sekali korang tak perlu risau. Mimpi yang aku maksudkan adalah tanda ada pendamping yang menempel dengan dengan anda.

1. Mimpi air. Tak kisahlah anda tenggelam di dalam air. Anda nampak bah atau tsunami. Anda kehausan dan rasa memerlukan air. Anda berenang di dalam air. Apa sahaja yang berkaitan dengan air adalah petanda saka.

Jin air adalah antara gangguannya paling kuat. Aku tak cakap dia kuat okey aku kata gangguan dia kuat. Ifrit biasa suka menjelma dalam bentuk air. Ifrit ni level dia boleh kawal fikiran kita jin lain belum tentu. Jadi jangan ambil mudah kalau anda mimpi air sentiasa.

2. Mimpi arwah terutamanya keluarga. Kadang-kadang dia menjelma dalam bentuk arwah orang lain. Menandakan dia nak buat perjanjian dengan kau. Ok, mungkin ada salah sangka yang mimpi arwah mak ayah tak baik ke. Itu aku tak tahu.

Maksud aku mimpi arwah yang menakutkan. Dia sentuh kau. Dia datang dalam keadaan mengerikan. Mendekati kau. Dan biasanya berlaku di kawasan kampung. Kalau dalam gambaran mimpi kau bertemu arwah keluarga di kampung itu adalah kemungkinan besar saka.

Kalau mimpi berulang kali jangan pandang remeh. Kau akan sakit tinggal kau nak sedar atau tak sedar je. Kalau kau sedar cepat-cepat lah bawa berubat.

Berlainan dengan sihir, kalau sihir biasanya seseorang akan nampak mayat, berjalan di kawasan perkuburan. Ini perbezaan ketara saka (keturunan) dan sihir (dihantar orang)

3. Mimpi dikelilingi kanak-kanak. Tanda jin nak berdamping dengan kau. Dia nak bersembang dan mendekati kau. Lumrah manusia sukakan kanak-kanak jadi jin akan menjelma dalam bentuk kanak-kanak.

4. Mimpi najis, berada di tempat kotor. Kalau kau nampak najis dalam tandas atau kau berada di tandas ni adalah petanda buruk. Sihir tu mungkin dah resap dalam badan. Sama juga kalau nampak benda tajam dan ketajaman benda tu mencederakan kau bererti sihir tu dah masuk dalam badan. Nak tak nak kena rawat sebelum terlambat.

5. Mimpi ulang alik buat sesuatu perkara tak menjadi. Tanda saka ISIM. ISIM adalah gangguan kejiwaan dan boleh menjadikan seseorang itu gila dan memerlukan rawatan khusus bagi mereka yang melaluinya.

ISIM adalah jin yang mengganggu jiwa kerana amalan salah yang dilakukan oleh seseorang. Amalan salah tu tak semestinya kau yang buat tapi diperturunkan kepada kau melalui datuk nenek moyang.

Maksudnya Moyang-moyang dululah yang buat amalan salah contoh nak dapatkan kekebalan silat jadi mereka buat perjanjian dengan saka.

Antara amalan khusus untuk rawat ISIM adalah proses pembersihan hati means hati tu nak kena jaga hingga bersih barulah rasa ringan nak buat ibadah cth solat sunat atau zikir.

6. Mimpi yang lain biasa kita dah biasa dengar contohnya ada orang datang dekat dan bagi barang, mimpi darah, jatuh dari tempat tinggi, dikejar binatang buas, orang tua wajah hodoh, seseorang bersembang.

7. Mimpi simpang, jalan raya, kampung, merayau di halaman rumah (seluruh sudut rumah lama/kampung) juga petanda saka

Rasanya ini sahaja explanation aku pada kali ni. Kalau ada masa aku akan buat part 3 dan aku akan explain bagaimana nak tahu simptom diri bersaka terutama yang dah sampai tahap gangguan kejiwaan.

Maybe di google ada banyak info yang ditulis tapi penulisan aku berlainan sebab aku tulis berdasarkan pengalaman aku sendiri dan aku cuba detailkan sebaik mungkin.

Mostly point yang disampaikan adalah point yang jarang dijumpai sebab aku nak sampaikan ilmu yang fresh dan nak tolong masyarakat sedar hakikat ini. Ingat alam ghaib is exist and mentioned in quran dan wajib kita beriman.

Dan apa yang aku explain juga sebenarnya hanya 1% or less dari apa yang aku lalui sebab orang yang diuji dengan gangguan misteri is actually inexplicable and undescribable. Yang mana boleh describe actually cuma nak meluah. Bukan nak raih simpati cuma dah redakan hati je.

Kepada yang tak alami gangguan misteri jangan sesekali perkecilkan apa yang sedang dilalui oleh orang lain. Kita tak akan faham kesakitan yang ditanggung seseorang melainkan bila kita sendiri berada pada kedudukan mereka.

Kalau kita tak dapat nak redakan kesakitan mereka sekurang-kurangnya janganlah tambah lagi penderitaan mereka dengan kata-kata kesat seperti kau lemah sebab tu setan ganggu kau. Cukup sekadar mendoakan kami, itu sudah cukup bermakna bagi kami yang lalui ujian ini.

Aku tahu diluar sana ramai yang sakit. Jangan putus asa. Teruskanlah berubat dan berikhtiar dengan cara yang betul semoga ada sinar kebahagiaan bagi kita suatu masa nanti jika tidak didunia semoga kita mengecapinya disyurga. Aamiin YRA.

– Rabiatul Adawiyah (Bukan nama sebenar)

Confessions

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir