Ditipu syaitan

Suatu ketika dulu ada kawan sekerja bercerita tentang pengalamannya berjumpa dengan ‘perawat’. Atas sebab apa dia menemui ‘perawat’ tersebut tak pula aku ingat.

Ketika itu kami sedang santai-santai membuat kerja di pejabat sementara menunggu waktu ‘punch out’. Nama kawan aku ni Karim dan sudah tentulah bukan nama sebenar.

Karim merasa kagum dengan kebolehan perawat tersebut. Dia menyangka ‘perawat’ yang ditemuinya tu merupakan perawat Islam yang benar.

“Dia boleh tahu suasana dalam rumah aku walaupun tak pernah datang. Kedudukan bilik, sudut rumah, dapur dan lain-lainlah”, cerita Karim dengan penuh teruja.

Berkerut-kerut dahi aku mendengar ceritanya. Namun aku sudah bersedia dengan satu soalan yang aku akan tanya apabila mendengar cerita-cerita tentang perawat ini,

“Orang tu ada tanya nama ibu kau tak? aku mula menyoal.

“Eh! ada.. kenapa? Macam mana kau tau?” Karim mula kaget dengan soalan aku tu.

“Hurm aku ni ilmu tak tinggi manalah tapi aku ada terbaca satu buku mengenai ilmu hitam yang ditulis oleh Shaikh Wahid Abdul Salam Bali.

Lama dah aku baca buku tu dan antara isi buku yang aku ingat sampai sekarang ialah tanda seseorang perawat itu menggunakan khidmat jin adalah apabila dia bertanyakan nama ibu pesakit”

“Kau tahu tak macam mana so called ustaz ni boleh tahu setiap ceruk rumah kau walau pun dia tak pernah datang?” tanya aku menambah soalan.

“Err entahlah tak tahu pulak aku. Sebab apa ea?”

Aku memandang ke arah mukanya dan berhenti menaip di komputer. Penerangan harus diberikan secara jelas dengan harapan si kawan tidak terjatuh ke dalam lubang yang sama buat kali kedua.

“Kau tahu tak yang setiap dari kita ini sejak lahir lagi dah ada jin Qarin? Qarin ni berada di samping kita sentiasa malah rasulullah saw pun ada Qarin. Namun Qarin yang mendampingi rasulullah saw telah pun masuk Islam atas pertolongan Allah. Perkara ni ada dinyatakan di dalam hadis.”

“Oh! Ya betul tu. Aku pernah dengar”, angguk Karim tanda faham.

“Apabila kau datang berjumpa dengan perawat tu, jin perawat yang berkhidmat akan berinteraksi dengan jin Qarin yang dampingi kau tu.

Ha! Dia akan tanyalah apa-apa info mengenai diri kau tu.”

“Qarin kau tu mestilah tahu serba-serbi perihal diri kau sebab dah berdamping sejak kau lahir lagi”, aku bersyarah lagi panjang lebar dengan aksi lagak gaya tangan seorang pemidato.

“Owh macam tu…”, Karim mengangguk seperti mula memahami penerangan yang aku berikan.

“Agaknya jin dengan member dia tu berdekah tengok muka kau percaya cakap perawat tu”, aku berseloroh dan disambut gelak-tawa kami bersama.

begitulah…

Aku sendiri pernah berpengalaman berjumpa dengan perawat seperti ini suatu ketika dulu. Waktu tu bukanlah diriku yang memerlukan rawatan tetapi arwah ibuku.

Yelah waktu tu kita masih lagi di bangku sekolah dan masih mentah. Ilmu pun masih kurang dan jahil dalam hal-hal sebegini. Ketika itu arwah ibu menderita penyakit kanser dan Parkinson.

Berat badannya menyusut mendadak dan badannya cengkung. Payah untuk berjalan dan segala pergerakan menjadi terbatas.

Kami mendapatkan rawatan di hospital dan dalam masa yang sama ada juga orang-orang di sekeliling kami mencadangkan untuk mendapatkan juga rawatan alternatif dengan perawat-perawat ini.

Orang yang sedang menderita kesakitan dan terdesak menginginkan kesembuhan tentu akan termakan dengan ajakkan sedemikian. Atas nama ‘ikhtiar’ dan ‘ilmu Allah itu luas’, kami pun merelakan diri berjumpa dengan perawat-perawat kaki temberang ini.

Banyak kisah-kisah menarik yang boleh aku kongsikan sepanjang rawatan dengan mereka ini. Tulisan ini akan jadi panjang berjela dan berepisod. Mungkin pada kesempatan yang lain akan aku ceritakan.

Alhamdulillah sekarang aku sudah tidak terpesona lagi dengan ‘keajaiban’ yang ditonjolkan oleh perawat-perawat ini walau kepala mereka berbalut serban melangit tinggi sekali pun.

Hasil didikan dan mengikuti manhaj beragama yang betul yang ditunjukkan oleh asatizah-asatizah sunnah menjadikan aku pandai menepis dan menapis khurafat dan karut-marut yang cuba disadur dengan jenama agama.

Cerita di atas telah aku olah sedikit daripada perbualan demi menjaga sensitiviti.

– Ahmad Albulb (Bukan nama sebenar)

Confessions

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir