Your cart is currently empty!
Bagaimanakah cara Allah ﷻ menerima doa kita?
Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Allah ﷻ juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Surah al-Ghafir 60
Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah ﷻ menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang Islam (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur 183/24).
Berdasarkan kepada soalan di atas, ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah ﷻ menerima doa hamba-hamba-Nya sehingga mereka menyangka bahawa Allah ﷻ tidak menerima doa mereka. Di sana terdapat sebuah hadith yang membicarakan berkaitan hal ini:
Daripada Abi Said al-Khudri, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahmi, melainkan Allah ﷻ akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin, Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, dan Allah akan menjauhkan darinya kejelekan.”
Riwayat Ahmad 11133 Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah baik.
Antara yang boleh difahami daripada hadith ini adalah ada tiga cara Allah ﷻ menerima doa hamba-Nya iaitu:
- Allah ﷻ akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini oleh hamba tersebut. Adapun bagi cara ini boleh dibahagikan kepada kedua iaitu terus dimustajabkan permintaan tersebut dan juga ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu.
- Allah ﷻ akan menyimpan doa tersebut di Akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut memerlukannya di sana.
- Allah ﷻ akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya.
Tambahan pula, di dalam berdoa ini ada beberapa perkara yang penting sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith Nabi ﷺ. Antaranya ialah, kita perlu yakin bahawa Allah ﷻ mendengar setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya. Hal ini berpandukan kepada sebuah hadith:
Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ
“Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah ﷻ akan memustajabkannya.”
Riwayat al-Tirmizi 3479 Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif
Penutup
Kesimpulannya, Allah ﷻ pasti akan memustajabkan setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya tetapi dengan cara yang berbeza. Sekiranya kita mengetahui akan hal ini, maka tidak akan timbul lagi sangkaan bahawa Allah ﷻ tidak menjawab atau mendengar doa-doa hamba-Nya. Tambahan pula, doa bukanlah sekadar untuk meminta, bahkan ia merupakan satu ibadah serta tanda bagi hamba itu dalam menzahirkan sifat khudhu’ (ketaatan), Tazallul (kehinaan) dan juga iftiqar (keberhajatan) kepada Allah ﷻ. Akhirnya, semoga Allah ﷻ menggolongkan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang doanya mustajab. Aamiin.
Irsyad Al-Hadith 349
Leave a Reply