Your cart is currently empty!
Doa ketika kilat atau petir
Apakah terdapat doa yang khusus daripada Nabi ﷺ apabila mendengar bunyi kilat atau petir?
Jawapan
Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah Apakah terdapat doa yang khusus daripada Nabi ﷺ apabila mendengar bunyi kilat atau petir? kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita.
Berdasarkan soalan di atas, di sini kami menukilkan beberapa riwayat yang menunjukkan sebahagian bacaan yang dibaca apabila mendengar guruh atau kilat. Antaranya:
- Daripada Abdullah bin Umar berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَمِعَ الرَّعْدَ وَالصَّوَاعِقَ قَالَ: اللَّهُمَّ لَا تَقْتُلْنَا بِصَعْقِكَ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ
“Apabila Rasulullah ﷺ mendengar guruh atau kilat, Baginda akan berkata: “Ya Allah! Janganlah Engkau membunuh kami dengan kemarahanmu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu serta ampunilah kami sebelum daripada itu.”
Riwayat al-Tirmizi 3450 menilai hadith ini sebagai gharib dan tidak diketahui akan hadith ini melainkan melalui jalur ini sahaja
- Daripada Abdullah bin Zubair, beliau meninggalkan percakapan apabila mendengar petir dengan berkata:
سُبْحَانَ الَّذِي {يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ} ثُمَّ يَقُولُ: إِنَّ هَذَا لَوَعِيدٌ شَدِيدٌ لِأَهْلِ الْأَرْضِ
“Maha suci Allah yang Dialah juga yang disucikan oleh guruh dan para malaikat dengan bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya.” Kemudian beliau berkata lagi: “Sesungguhnya ini adalah peringatan yang keras untuk penduduk bumi.”
Riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’ 1801. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad 724
Imam al-Nawawi berkata bahawa disunatkan bagi orang yang mendengar guruh (petir) agar mengucapkan tasbih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab 5/93).
Tambahan pula, kilat atau petir merupakan salah satu daripada tanda kerahmatan serya kebesaran Allah ﷻ kerana ia mampu menggerunkan jiwa dan hati dengan kekuatannya. Lebih-lebih lagi ketika manusia sedang tidur dalam keadaan yang lena dan tenang, apabila terdengar bunyi petir ini akan menggerunkan hati serta menyebabkannya bergerak ketika berada di atas katil (Lihat al-Raudhah al-Bahiyyah 203).
Penutup
Kesimpulannya, memang terdapat doa yang disunatkan untuk membacanya ketika mendengar guruh, kilat atau petir. Tambahan pula, ini juga termasuk di dalam peringatan atau amaran daripada Allah ﷻ kepada kita semua. Disebabkan itu, kita dituntut untuk sentiasa berdoa atau ingat kepada-Nya dalam setiap keadaan agar kita dijauhkan daripada segala bala bencana. Akhirnya, semoga Allah ﷻ menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya terselamat daripada bala bencana atau musibah. Aamiin.
Irsyad Al-Hadith 402
Leave a Reply