Your cart is currently empty!
Allah ﷻ limpahkan kasih-sayang kepada Nabi Musa dan kasih itu telah ditanamkan ke setiap hati orang
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
وَأَلقَيتُ عَلَيكَ مَحَبَّةً مِنّي وَلِتُصنَعَ عَلىٰ عَيني
Wa alqaitu ‘alaika maḥabbatam minnī, wa lituṣna‘a ‘alā ‘ainī.
“dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.”
Surah Taha Ayat 39
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Ini adalah kisah bagaimana Allah ﷻ telah memberi ilham kepada ibu Nabi Musa untuk menyelamatkan baginda yang masih bayi waktu itu.
أَنِ اقذِفيهِ فِي التّابوتِ فَاقذِفيهِ فِي اليَمِّ فَليُلقِهِ اليَمُّ بِالسّاحِلِ يَأخُذهُ عَدُوٌّ لي وَعَدُوٌّ لَهُ ۚ وَأَلقَيتُ عَلَيكَ مَحَبَّةً مِنّي وَلِتُصنَعَ عَلىٰ عَيني
“Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.”
أَنِ اقْذِفِيهِ فِي التَّابُوتِ
“Letakkanlah anakmu di dalam peti,”
Kalimah اقْذِفِ bukan hanya bermaksud ‘meletakkan’ sahaja atau ‘membuang’. Tapi ‘membuang dengan jauh’. Perkataan itu digunakan untuk menunjukkan betapa emosinya ibu Nabi Musa. Hatinya pada waktu itu tentunya di dalam ketakutan. Kerana waktu itu tentera Firaun telah datang untuk menggeledah rumah-rumah untuk membunuh anak-anak lelaki yang baru lahir.
Bukan senang perbuatan yang hendak dilakukannya. Tapi ianya perlu dilakukan kerana untuk memastikan kelangsungan hidup anaknya yang tercinta itu. Tentulah cinta ibu kepada anaknya sangat tinggi. Sampaikan Allah ﷻ pernah membandingkan kasihNya dengan kasih seorang ibu. Allah ﷻ kata bahawa kasihNya lebih lagi dari kasih seorang ibu.
فَاقْذِفِيهِ فِي الْيَمِّ
“kemudian lepaskanlah peti itu ke laut,”
Kalimah الْيَمِّ bermaksud kawasan air yang besar. Ianya juga boleh dipakai untuk merujuk kepada sungai yang lebar. Dalam ayat yang lain, kita tahu bahawa ibunya melepaskan Nabi Musa dalam Sungai Nil.
Perkataan الْيَمِّ hanya digunakan dalam Qur’an untuk menceritakan kisah Nabi Musa sahaja. Dalam surah-surah lain, apabila Allah ﷻ menyebut tentang laut, Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘bahr’. Selalunya ‘bahr’ digunakan untuk perkara yang menggembirakan. Tetapi Allah ﷻ menggunakan perkataan الْيَمِّ apabila hendak menceritakan perkara yang negatif dan menyedihkan. Seperti dalam kes ini, ianya tentang kesedihan ibunya yang terpaksa melepaskan Musa ke dalam Sungai Nil.
فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ
“maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke tebing,”
Kalimah فَلْيُلْقِهِ bermaksud Allah ﷻ memerintahkan sungai itu untuk membawa Musa ke tempat yang sepatutnya. Iaitu ke tebing yang berdekatan dengan istana Firaun. Semua yang terjadi ini adalah dalam perancangan Allah ﷻ yang teratur.
يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِّي
“supaya dipungut oleh musuhKu;”
Firaun adalah musuh Allah ﷻ kerana dia telah mengaku menjadi tuhan. Tapi Allah ﷻ rancang supaya Nabi Musa dipungut oleh Firaun. Mungkin bukan terus dipungut oleh Firaun sendiri tapi orang suruhannya. Tentulah tentera-tenteranya atau pesuruhnya dulu yang jumpa. Tapi akhirnya telah dibawa kepada Firaun dan Asiah, isteri Firaun.
وَعَدُوٌّ لَّهُ
“dan musuhnya;”
Firaun bukan sahaja musuh Allah ﷻ tetapi dia juga musuh kepada Nabi Musa. Kita faham bagaimana Firaun itu adalah musuh Allah ﷻ. Tapi bagaimana kita faham Firaun juga sebagai musuh kepada Nabi Musa yang masih bayi?
Kita jangan lupa bahawa waktu itu Firaun telah mengarahkan semua bayi lelaki dari Bani Israil dibunuh. Bermakna sewaktu bayi lagi Firaun telah menjadi musuh kepada Nabi Musa.
Atau, ia juga merujuk kepada masa hadapan dimana Firaun akan menjadi musuh kepada Nabi Musa apabila dia menentang Nabi Musa dan mahu membunuhnya.
وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّي
“dan Aku telah tanamkan ke atas engkau perasaan kasih sayang orang terhadapmu;”
Kalimat وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً – Aku telah melimpahkan kasih sayang kepadamu. Ia bermaksud sesiapa sahaja yang melihat bayi Nabi Musa semasa bayi itu akan jatuh cinta kepadanya.
Allah ﷻ menggunakan perkataan أَلْقَيْتُ – AKU yang melimpahkan – jarang Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘Aku’ kecuali dalam keadaan tertentu. Selalunya Allah ﷻ akan gunakan perkataan ‘Kami’. Kalau dalam keadaan bersangatan baru Allah ﷻ akan gunakan kata ganti ‘Aku’. Ini bermakna Allah ﷻ melimpahkan kasih sayang itu dengan banyak sekali.
Sesiapa yang nampak Nabi Musa sahaja akan jatuh cinta. Sampaikan Firaun yang ganas itu pun timbul rasa kasih dan sayang kepada Nabi Musa yang masih bayi itu. Walaupun Firaun telah membunuh beribu-ribu bayi sebelum itu, tapi apabila dia melihat Nabi Musa, dia sendiri telah jatuh cinta.
Bukan sahaja Firaun dan Asiah yang jatuh cinta kepada Nabi Musa tapi semua orang. Bayangkan, tentera-tentera Firaun yang mula-mula jumpa Firaun pun jatuh cinta kepada Nabi Musa itu, sampaikan mereka tidak terus bunuh. Begitu juga apabila Nabi Musa datang kembali ke istana Firaun untuk berdakwah kepadanya, tentera-tentera itu tidak terus bunuh baginda.
Dan walaupun Nabi Musa memberi nasihat kepada Firaun, Firaun tidak pun bunuh baginda. Padahal, kalau orang lain, tentu sudah lama kena bunuh. Tak sempat cakap pun mungkin sudah kena bunuh.
Isteri Firaun bernama Asiah. Dia adalah seorang yang akhirnya telah beriman kepada Nabi Musa. Dialah yang telah berjaya memujuk Firaun untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat. Kerana walaupun Firaun sudah jatuh sayang kepada bayi itu, tapi dia sudah dapat agak bahawa ini tentunya anak dari Bani Israil. Dia tahu ada orang yang telah menghanyutkan anak ini untuk menyelamatkannya dari dibunuh.
Ini menunjukkan kepentingan perhubungan. Kerana Firaun sayang kepada isterinya itu, maka dia telah mengikut saranan isterinya itu. Firaun pula memang tidak ada anak. Diberitakan yang Asiah sebenarnya adalah sepupu Nabi Musa. Firaun telah berkahwin dengan Asiah tapi Firaun tidak boleh tidur dengan Asiah, sebab itu tidak ada anak. Tapi Firaun sangat sayang kepada Asiah.
Asiah telah memujuk Firaun untuk mengambil Nabi Musa sebagai anak. Asiah adalah antara beberapa orang yang telah disebut oleh Nabi Muhammad ﷺ sebagai orang yang akan dimuliakan di akhirat nanti.
وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِي
“dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.”
Dengan takdir Allah ﷻ, Nabi Musa telah hidup di istana Firaun. Makan makanan Firaun. Tapi baginda di bawah pengawasan dan pemerhatian Allah ﷻ sebenarnya.
Kenapakah Allah ﷻ buat perancangan yang teratur begini? Supaya Nabi Musa boleh diasuh dan dilatih di bawah pengawalan Allah ﷻ. Nabi Musa akan diasuh dengan baik sebagai persediaan menjadi Nabi dan Rasul apabila bagnda dewasa kelak. Kalimah صْنَعَ bermaksud dari segi bahasa: membina sesuatu satu persatu.
Musa telah diberi satu latihan yang mantap. Dia dapat tinggal di istana Firaun supaya dia dapat kenal bagaimana keadaan dalam istana dan siapakah pemuka-pemuka di istana. Baginda juga dilatih di istana kerana di istana terdapat pembelajaran lengkap yang diberikan kepada anak-anak orang besar. Sampaikan ada raja-raja dari negara lain pun telah menghantar anak-anak mereka belajar di istana Mesir.
Nabi Musa dalam masa yang sama mendapat latihan dari ibu tirinya, Asiah, dan dari ibu kandungnya sendiri kerana dia juga dapat pulang ke rumah ibunya nanti. Dia juga ada kakak dan abang yang baik dan berilmu yang juga dapat memberi pengajaran kepadanya. Semua ini adalah dalam perancangan Allah ﷻ.
Nota: ada pula ajaran sesat yang mengajar ayat ini adalah ‘ayat pengasih’. Kononnya apabila bersama dengan pasangan, maka baca ayat ini. Dan untuk disayangi masyarakat, baca 3 kali selepas solat.
Ayat ini bukanlah ayat pengasih. Tidak ada apa-apa makna dalam ayat ini yang mengandungi doa supaya orang kasih kepada kita. Kita telah baca maknanya, dan telah baca tafsirnya, tidak ada kena mengena dengan pengasih, bukan? Ia berkenaan orang kasih kepada Nabi Musa, bukannya kasih kepada kita.
Maka, ayat ini tidak menanggung kehendak pengamalnya. Ini macam nak tolak kereta, pakai pen. Apa kena mengena pen dengan tolak kereta? Katakanlah ada orang kereta dia tersadai, dia minta tolong kita tolak. Kita pun berlari ke rumah sebab nak ambil pen sebab nak tolak kereta. Tidakkah bodoh tindakan itu?
Leave a Reply