Larangan ketika berdoa

Apakah terdapat larangan daripada Nabi ﷺ ketika berdoa?

Jawapan

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah ﷻ kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Allah ﷻ juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa (permohonan) kamu.”

Surah al-Ghafir 60

Berdasarkan kepada soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang menceritakan berkaitan larangan Nabi ﷺ ketika berdoa kepada Allah ﷻ iaitu:

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ، لِيَعْزِمِ المَسْأَلَةَ، فَإِنَّهُ لاَ مُكْرِهَ لَهُ

“Janganlah seseorang kamu berkata: Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, Ya Allah Ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu. Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.” 

Riwayat al-Bukhari 6339 dan Muslim 2679

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kita larangan berdoa dalam keadaan tidak yakin. Imam Ibn Abd al-Bar menyatakan tidak dibenarkan seseorang itu berdoa dengan lafaz tersebut dalam memohon kepada Allah berkaitan hal agama dan dunia dan itu termasuk di dalam ucapan yang mustahil. Adapun Imam al-Nawawi menyatakan hukum bagi orang yang berdoa sedemikian adalah makruh tanzih. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu perlu bersungguh-sungguh dalam berdoa serta dalam masa yang sama mengharapkan agar Allah ﷻ menerima doanya dan janganlah ada rasa putus asa dengan rahmat Allah kerana dia sedang berdoa dengan Yang Maha Pemurah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Batthal (Lihat Fath al-Bari 11/140).

Penutup

Kesimpulannya, seseorang itu perlu ada kesungguhan dalam berdoa kepada Allah ﷻ. Di samping itu, sifat yakin bahawa Allah ﷻ akan menjawab segala doa yang telah kita panjatkan kepada-Nya cuma cara Allah ﷻ menerima doanya adalah dengan pelbagai cara sebagaimana yang telah kami jelaskan dalam artikel sebelum daripada ini. Ini kerana, keyakinan amat perlu dalam berdoa kepada Allah ﷻ:

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ

“Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah ﷻ akan memustajabkannya.”

 Riwayat al-Tirmizi 3479 Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif

Tambahan pula, sifat berbaik sangka dengan Allah ﷻ adalah amat penting dalam berdoa. Akhirnya, semoga Allah ﷻ menggolongkan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang doanya mustajab. Aamiin.

Irsyad Al-Hadith 394

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir