Your cart is currently empty!
Kelebihan 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ ۚ كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۖ غُفرانَكَ رَبَّنا وَإِلَيكَ المَصيرُ
Āmanar-rasūlu bimā unzila ilaihi mir rabbihī wal-mu’minūn(a), kullun āmana billāhi wa malā’ikatihī wa kutubihī wa rusulih(ī), lā nufarriqu baina aḥadim mir rusulih(ī), wa qālū sami‘nā wa aṭa‘nā, gufrānaka rabbanā wa ilaikal-maṣīr(u).
“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.
Surah Baqarah Ayat 285
Tafsir
Dalam hadis ada disebut bahawa dua ayat terakhir Surah Baqarah ini telah diberikan kepada Nabi ﷺ semasa baginda mi’raj bertemu Allah ﷻ. Maka ia adalah ayat yang amat penting sekali sampaikan diberikan kepada baginda semasa pertemuan dengan Allah ﷻ.
Ayat ini adalah Ayat Tabshir. Ia adalah tentang golongan yang Allah ﷻ beri janji kepada mereka kerana mereka beriman. Beriman yang bagaimana?
ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ
“Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya,”
Nabi Muhammad ﷺ sendiri percaya kepada wahyu yang diturunkan kepadanya. Nabi ﷺ kenalah percaya terlebih dahulu sebelum baginda sampaikan kepada orang lain.
Kita mungkin rasa yang baginda terus sahaja percaya kepada wahyu yang diberikan kepada baginda, tetapi bayangkan keadaan Nabi ﷺ pada waktu itu. Apa yang baginda terima adalah amat berlawanan dengan fahaman masyarakat ketika itu sampaikan ramai yang menuduh baginda gila.
Baginda pun begitu terkejut pada mulanya. Ingat kembali peristiwa bagaimana takutnya baginda sehingga menggigil kesejukan ketika pertama kali menerima wahyu. Tiba sahaja di rumah baginda perlu diselimutkan dan ditenangkan oleh isteri tercinta baginda, Khadijah.
Oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ percaya kepada kerasulannyalah yang menyebabkan baginda sanggup menghadapi segala tentangan dan cabaran dalam menyampaikan agama ini. Sekiranya baginda tidak yakin, tentulah baginda tidak sanggup.
وَالمُؤمِنونَ
“dan juga orang-orang yang beriman;”
Begitu juga mukmin yang sempurna iman, beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada baginda. Iman yang kita mahu adalah ‘iman mujmal’, iaitu menerima belaka wahyu yang disampaikan.
Allah ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘Orang Mukmin’. Maknanya, kita juga disebut dalam ayat ini jikalau kita ini adalah orang mukmin. Bayangkan kita disebut di Langit Ketujuh semasa Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Allah ﷻ.
كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ
“semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya.”
Sebelum ini disebut iman secara umum, sekarang disebut secara tafsili, disebut satu persatu perkara yang perlu diimani. Daripada susunan ayat ini, kita boleh susun – Allah ﷻ beri wahyu, disampaikan melalui malaikat, dalam kitab dan kepada rasul. Itulah proses bagaimana wahyu disampaikan kepada kita.
Disebut dalam ayat ini perkara-perkara yang penting untuk diimani. Kita telah percaya kepada Allah ﷻ. Bagaimana percaya kepada malaikat? Antaranya, kita percaya yang Malaikat itu hanyalah hamba Allah ﷻ, bukan wakil Allah ﷻ. Oleh itu, tidak boleh puja Malaikat, tidak boleh minta pertolongan kepada malaikat dan tidak boleh seru malaikat.
Kita percaya bahawa semua kitab itu daripada Allah ﷻ tetapi yang kena kita ikuti adalah Al-Qur’an sahaja. Maksudnya, bukanlah kita kena terima ajaran-ajaran yang dibawa oleh kitab-kitab lain.
Surah ini bermula dengan iman dan sekarang lihatlah yang ia juga ditutup dengan topik tentang iman juga.
لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ
“Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.
Maksud ayat ini adalah semua rasul kita terima. Kita terima semua Nabi-Nabi itu adalah utusan Allah ﷻ juga tetapi kepada Nabi Muhammad ﷺ, kita ikut sepenuhnya syari’at baginda.
Oleh itu, kita hendaklah ada hubungan dengan hadis. Mesti mempelajari hadis-hadis Nabi. Tidak boleh bezakan mana-mana rasul. Jangan jadi seperti Yahudi yang menolak Nabi Isa dan jangan jadi seperti Nasara yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi.
وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا
“Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat”
Inilah yang perlu kita lakukan: Dengar wahyu dan ikut apa yang disampaikan dalam wahyu itu. Kalau setakat dengar sahaja, tetapi tidak taat, tidak ikut, juga langsung tidak berguna. Berapa ramaikah dalam kalangan kita tahu tentang kewajipan yang perlu mereka lakukan, tetapi mereka tidak melakukannya? Semoga kita tidak menjadi orang yang sebegitu.
Dalam ayat ini, orang beriman dengar dan taat. Bandingkan dengan Yahudi yang dengar, tetapi mereka tidak taat. Maka kalau kita tidak taat setelah mendengar kewajipan, maka samalah kita dengan orang-orang Yahudi itu.
Ini juga mengajar kita yang kita mestilah mendengar wahyu Allah ﷻ – mestil belajar. Orang kita selalu kata mereka taat, tetapi apa yang mereka hendak taat, kalau wahyu itu sendiri mereka belum belajar lagi? Maka, kenalah kita pergi ke kuliah agama dan mempelajari wahyu Allah ﷻ ini. Hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an, belajar syarah hadith-hadith kerana hadith adalah wahyu daripada Allah ﷻ juga.
Golongan yang selamat adalah golongan yang dengar dan taat. Jika susah untuk taat kepada arahan, maka akan ada masalah. Antaranya, golongan Ateis yang susah untuk terima ada kuasa di atas mereka yang mereka kena taat.
غُفرانَكَ رَبَّنا
“keampunan-Mu wahai Tuhan kami,”
Kita minta ampun kepada Allah ﷻ kerana kita banyak dosa. Lihatlah bagaimana doa ini tentang mereka yang telah mendengar dan telah kata mereka akan taat tetapi kenapa kita kena meminta ampun lagi?
Kerana kalau kita sudah taat pun, kita kena sedar yang entah-entah kewajipan yang kita perlu lakukan itu tidak seperti yang Allah ﷻ harapkan. Maka, kita minta ampun kalau-kalau ada salah dan kurang dalam amalan kita. Beginilah halusnya mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, langsung tidak kisah tentang perkara ini.
وَإِلَيكَ المَصيرُ
dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.
Kita sedar bahawa kita semua akan mati akhirnya dan akan bertemu dengan Allah ﷻ. Maka kita kenalah sentiasa ingat hal ini dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.
لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت ۗ رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا أَو أَخطَأنا ۚ رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا ۚ رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ ۖ وَاعفُ عَنّا وَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۚ أَنتَ مَولَٮٰنَا فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
Lā yukallifullāhu nafsan illā wus‘ahā, lahā mā kasabat wa ‘alaihā maktasabat, rabbanā lā tu’ākhiżnā in nasīnā au akhṭa’nā, rabbanā wa lā taḥmil ‘alainā iṣran kamā ḥamaltahū ‘alal-lażīna min qablinā, rabbanā wa lā tuḥammilnā mā lā ṭāqata lanā bih(ī), wa‘fu ‘annā, wagfir lanā, warḥamnā, anta maulānā fanṣurnā ‘alal qaumil-kāfirīn(a).
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.
Surah Baqarah Ayat 286
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Ini adalah huraian bahawa Allah ﷻ tidak mengenakan azab kerana lintasan hati yang buruk kerana lintasan hati bukan perkara mukallaf – yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Namun akidah dan sifat mazmumah tidak boleh ada walaupun dalam hati.
لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
Allah ﷻ tidak membebani manusia dengan apa yang mereka tidak sanggup. Semua manusia mempunyai kapasiti untuk menanggung beban yang berbeza. Ada orang yang boleh terima banyak beban dan ada orang yang tidak mampu.
Oleh itu, kita kena lihat kemampuan diri kita. Kita kena tanya diri kita, apakah usaha kita cukup dengan kebolehan kita? Kita kena lakukan sebaik mungkin untuk berkhidmat dalam dunia ini. Kemampuan itu kenalah mengikut peredaran zaman dan suasana. Juga kena ikut kemampuan diri kita.
Ayat ini juga bermakna yang syari’at yang Allah ﷻ berikan kepada kita adalah yang mampu ditanggung oleh manusia. Tidaklah Allah ﷻ berikan syariat yang manusia tidak mampu tanggung. Allah ﷻ maha tahu kemampuan diri kita. Maka, Allah ﷻ berikan kepada kita syari’at agama yang praktikal.
Maka ini bermakna tidak ada amalan agama yang tidak boleh dilakukan. Malah, sekiranya kita dalam keadaan susah untuk mengamalkan sesuatu syari’at, ia akan dimudahkan untuk kita. Sebagai contoh, kalau kita sakit, kita dibolehkan untuk salat duduk atau berbaring; zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu; haji kepada mereka yang boleh sampai sahaja; dan macam-macam lagi kemudahan dalam ibadat yang Allah ﷻ telah berikan. Tidak diberati kepada mereka yang tidak mampu.
Ini juga bermakna yang kita boleh menanggung segala arahan yang dimasukkan oleh Allah ﷻ ke dalam Al-Qur’an ini dan hadith daripada Nabi ﷺ. Kita boleh bawa Al-Qur’an dan amalkan ajarannya dalam kehidupan kita. Jangan kita rasa ia berat sangat kerana ia adalah sesuai dengan diri kita. Ini adalah kerana Allah ﷻ sendiri yang cakap kita boleh.
Yang tidak rasa berat adalah orang yang beriman. Kalau tidak beriman, memang semua arahan agama mereka akan rasa berat.
لَها ما كَسَبَت
“Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,”
Kita akan dapat pahala daripada segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Dari segi bahasa yang digunakan, kalimah كَسَبَت menunjukkan yang amalan kebaikan itu mudah untuk dibuat. Maknanya, Allah ﷻ mudahkan untuk kita mengerjakan pahala.
وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت
“dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”
Manusia akan menanggung dosa daripada amalan keburukan yang dia lakukan. Daripada penggunaan bahasa, perkataan اكتَسَبَت memberi isyarat bahawa dosa itu susah untuk dibuat.
Mungkin ada yang rasa hairan. Sebenarnya, dosa itu susah untuk dilakukan sebab ia bertentangan dengan naluri diri kita sebagai manusia. Manusia memang tahu (dalam dirinya) yang perkara itu salah dan mereka yang melakukan dosa, sebenarnya melawan naluri fitrah manusia. Sebagai contoh, kalau menipu, bukankah hati kita akan berasa gundah gulana dan berdebar-debar?
Satu lagi, ia bermaksud susah, kerana jika kita membuat dosa, Allah ﷻ akan beri peringatan kepada kita dengan diberikan musibah. Maka, kalau ada musibah yang dikenakan kepada kita, maka fikirkanlah mungkin ada kesalahan yang kita telah lakukan.
رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa”
Dalam ayat ini, Allah ﷻ ajar doa kepada kita. Hamba yang mendapat taufiq, akan berdoa dan dia akan diberikan dengan apa yang dia minta. Doa amat penting kerana semua amalan agama dimulakan dengan doa.
Untuk buat segala amal agama dan taat dalam agama, mesti ada usaha. Sudah banyak hukum kita pelajari dalam Surah Baqarah ini dan sekarang kita tentunya sudah mula berasa berat. Maka Allah ﷻ ajarkan tentang doa di hujung surah untuk memberi ‘kunci’ bagi mengamalkan hukum yang telah diberikan-Nya. Untuk memudahkan segalanya adalah dengan doa.
Inilah doa yang kita selalu baca: Jangan kira lagi dosa kami kalau kami buat dengan sengaja (sebab dalam hadis, Nabi ﷺ terjemah perkataan نَسينا dengan maksud ‘sengaja’) atau ia juga boleh mengambil maksud daripada lafaz terjemah ayat ini: terlupa.
Ini kerana kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita terlupa. Iaitu yang benar-benar terlupa, bukan buat-buat lupa! Sebagai contoh, salat empat raka’at tetapi terbuat tiga raka’at sahaja.
أَو أَخطَأنا
“atau kami tersalah.”
Begitu juga, kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita tersalah. Tidak sengaja kita hendak menentang Allah ﷻ, tetapi kerana tersalah sahaja.
Jangan jadikan ini sebagai alasan tidak berdosa kerana ‘tidak tahu’ hukum kerana kita kena belajar agama dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak tersalah. Kalau kita tidak belajar, nanti takut kita dipersalahkan kerana tidak belajar pula.
رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.”
Jangan pikulkan kepada kami bebanan beragama – mudahkanlah agama kepada kami dengan beri tauhid kepada kami.
Maksud ayat ini, kita minta supaya agama tidak disusahkan untuk kita. Daripada sejarah kita dapat tahu yang syari’at yang diberikan kepada bangsa Bani Israel itu adalah amat berat dan terbeban sekali. Kita doa kepada Allah ﷻ supaya jangan jadikan kita seperti mereka, kerana mereka tidak mampu hendak menanggung bebanan syariat itu.
Syari’at kepada Bani Israel itu amat berat. Antaranya, mereka langsung tidak boleh bekerja pada hari Sabtu – hari kita adalah Hari Jumaat, tetapi tidaklah kita sampai langsung tidak boleh bekerja. Allah ﷻ suruh berhenti kerja waktu salat Jumaat sahaja.
Kita juga telah belajar dalam surah ini bagaimana hukuman kerana mengerjakan amalan syirik menyembah lembu adalah hukuman bunuh, sedangkan syari’at Nabi Muhammad ﷺ tidaklah sampai begitu; mereka telah diharamkan daripada memakan banyak jenis makanan; dan macam-macam lagi syari’at yang berat-berat dikenakan kepada mereka.
Allah ﷻ telah mengabulkan doa orang Islam sebenarnya kerana Allah ﷻ telah sebut yang Allah ﷻ tidak memberati manusia melainkan yang dia sanggup sahaja.
رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya.”
Sebelum ini tentang bebanan dalam syari’at agama. Kali ini kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya jangan bebankan ujian dalam kehidupan yang kita tidak mampu untuk tanggung. Ini dalam hal takwini seperti sakit, hutang, anak yang degil dan macam-macam lagi.
وَاعفُ عَنّا
“Dan maafkanlah kesalahan kami,”
Lafaz وَاعْفُ عَنَّا adalah jawapan bagi ayat لَا تُؤَاخِذْنَا. Janganlah hukum kita dalam bebanan agama. Afwun adalah memaafkan seseorang kerana rasa sayang pada seseorang itu. Kita kata kepada Allah ﷻ: Kerana sayang Kau kepada kami, maafkanlah kami kalau ada syari’at agama yang kami tidak dapat penuhi.
وَاغفِر لَنا
“serta ampunkanlah dosa kami,”
Lafaz وَاغْفِرْ لَنَا untuk ayat وَلَا تُحَمِّلْنَا. Ampunlah kami kalau ada hukum kami tidak mampu buat dan larangan kami tidak mampu tinggalkan. Tutuplah kesalahan kami itu supaya orang lain tidak nampak.
وَارحَمنا
“dan berilah rahmat kepada kami.”
Berilah rahmat kepada kami dengan beri kami taufiq untuk menjalankan segala suruhan Engkau dan meninggalkan segala larangan Engkau, ya Allah.
Kasihanilah kami, ya Allah. Jangan beri ujian yang kami tidak mampu tanggung. Maka ini ada hubungan dengan وَلَا تُحَمِّلْنَا. Dibawa semula dalam potongan ayat ini.
أَنتَ مَولَٮٰنَا
“Engkaulah Penolong kami;”
Kita telah pernah sebut sebelum ini yang wali beza dengan mawla. Wali adalah mereka yang mahu menolong kita dan tidak semestinya boleh menolong tetapi mawla adalah yang memang boleh menolong. Maksudnya, hanya Allah ﷻ sahaja yang mampu melindungi kita, membantu kita dan menyelesaikan masalah kita.
فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
“tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.”
Bantulah kami menegakkan agama Engkau, ya Allah kerana kadang-kadang dalam menjalankan tugas dakwah, ada orang yang tidak suka, sampaikan mungkin ke tahap kita terpaksa lawan berperang dengan orang kafir. Maka kita memerlukan nasrun daripada Allah ﷻ.
Nasrun adalah pertolongan yang besar. Maka, apabila berhadapan dengan orang kafir, maka kita hanya dapat mengharapkan bantuan daripada Allah ﷻ sahaja. Kita telah belajar, beginilah doa tentera Talut semasa hendak melawan tentera Jalut.
Surah Baqarah Ayat 285 – 286
Apakah maksud hadith ini?
Daripada Abu Mas’ud bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
“Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.”
Riwayat al-Bukhari 5009
Jawapan
Al-Qur’an merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ melalui perantaraan Jibril. Di samping itu, di dalam Al-Qur’an juga terkandung seribu satu rahsia bagi sesiapa yang mentadabburnya dan sentiasa melaziminya dengan membacanya. Selain itu, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci Al-Qur’an berdasarkan kepada nas yang sahih sama ada daripada Al-Qur’an dan juga hadith Nabi ﷺ.
Berdasarkan soalan di atas, antara makna telah cukup baginya di dalam hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini terbahagi kepada beberapa makna:
- Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah)
- Telah cukup baginya untuk membaca Al-Qur’an sama ada di dalam atau di luar solat.
- Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
- Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
- Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan
- Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
- Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.
Melihat kepada makna-makna di atas, Imam Ibn Hajar mengatakan boleh jadi yang dimaksudkan oleh hadith adalah semua yang telah disebutkan (Lihat Fath al-Bari 9/56). Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna cukup baginya di dalam hadith di atas adalah cukup baginya mendirikan malam pada malam tersebut, cukup baginya (terpelihara) daripada keburukan syaitan serta daripada kebinasaan-kebinasaan dan boleh jadi ia membawa makna kesemuanya sekali (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim 6/91-92).
Penutup
Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang membaca di waktu malam dua ayat yang terakhir dari surah al-Baqarah ini serta memahaminya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan ini adalah bersumberkan daripada hadith yang sahih iaitu daripada kitab Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab paling sahih selepas Al-Qur’an. Akhirnya, semoga Allah ﷻ menjadikan kita dalam kalangan ahli Al-Qur’an dan orang-orang yang sentiasa mencintai serta mengamalkan apa yang terdapat di dalam Al-Quran. Aamiin.
Irsyad Al-Hadith 419
Leave a Reply