Your cart is currently empty!
Berdosa tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain?
Saya ada seorang kawan baik, tapi tanpa saya sedari kawan saya ni sering tikam belakang saya, menjaja keburukan dan aib saya kepada orang lain. Apabila saya tahu, saya terus menjauhkan diri daripadanya dan sejurus selepas itu dia memohon maaf kepada saya. Berdosakah saya jika tidak mahu memaafkan dan kalau saya marah kepada dia? Selepas segala aib peribadi saya dia ceritakan kepada orang yang tidak sepatutnya? Saya mohon penjelasan untuk isu ini. Terima kasih sangat-sangat.
Ringkasan Jawapan
Secara umumnya, Islam menggalakkan agar memaafkan kesalahan orang lain. Tetapi seseorang diharuskan untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya. Walaupun begitu, lebih utama untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita والله أعلمُ
Huraian
Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain merupakan perkara yang dituntut di dalam Islam, bahkan orang yang pemaaf termasuk daripada kalangan yang dijanjikan syurga Allah ﷻ kelak seperti menurut firman-Nya:
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ . ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; . Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Surah Ali-Imran 133 – 134
Menurut Imam al-Qurtubi, perbuatan memaafkan orang lain adalah kebaikan yang paling mulia dan terpuji. Sebagai contoh, manusia diharuskan untuk memberi kemaafan atau menuntut kembali haknya yang diambil, ataupun memberi kemaafan kepada orang yang menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukannya (Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran 2010 Kaherah).
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan ayat ini tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya manusia-manusia yang memaafkan orang lain yang berbuat jahat terhadap mereka walaupun mereka sebenarnya boleh sahaja untuk membalas kembali perbuatan jahat tersebut. Keadaan ini menunjukkan kedudukan seseorang yang mempunyai akal yang cerdas, fikiran yang jitu, dan kekuatan mengawal emosi. Perbuatan ini juga lebih hebat daripada sekadar menahan marah, kerana orang yang menahan marah itu boleh jadi masih menyimpan perasaan dendam (Tafsir al-Munir 1991 Beirut).
Berdasarkan tafsir di atas, seseorang manusia mempunyai hak untuk menuntut kembali apa sahaja perkara buruk yang dilakukan terhadapnya seperti kecurian, kehilangan harta benda, ejekan, dan lain-lain. Namun, Allah ﷻ memuji manusia yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain walaupun dia sebenarnya boleh sahaja tidak mahu memaafkan.
Sebagai contoh, Allah ﷻ tidak menyukai perbuatan mahupun perkataan buruk serta sifat marah yang ditujukan kepada orang lain. Namun berbeza isunya jika perbuatan dan perkataan tersebut ditujukan kepada orang yang menzalimi manusia lain. Firman Allah ﷻ:
لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلْجَهْرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلْقَوْلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Surah al-Nisa 148
Imam al-Maturidi menjelaskan bahawa dalil di atas merupakan larangan untuk menghina dan mencaci seseorang. Tetapi jika seseorang itu dizalimi atau dihina terlebih dahulu, maka tidak mengapa untuk menghina kembali atau mendoakan keburukan kepada pelaku perbuatan buruk tersebut. Namun sebaik-baiknya lebih afdal jika memaafkan kesalahan tersebut (Tafsir al-Maturidi: Ta’wilat Ahlus Sunnah Beirut 2005).
Oleh yang demikian, jelas bahawa tidak mengapa seseorang untuk membalas perbuatan keburukan yang dilakukan terhadap kita, tetapi dengan syarat haruslah setimpal dan tidak melebihi batasan.
Walaupun begitu, Imam al-Ghazali mengingatkan kepada umat Islam untuk menjaga hati dari sifat yang keji dengan cara memaafkan kesalahan orang lain, terutama sekali jika membabitkan hubungan persaudaraan. Jika seorang memohon maaf kepada saudaranya atas kesalahan yang dilakukan, maka yang lebih utama adalah memaafkannya (Ihya Ulumuddin).
Kesimpulan
Justeru, Islam menggalakkan agar memaafkan kesalahan orang lain. Tetapi diharuskan bagi seseorang untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya. Walaupun begitu, lebih utama untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita والله أعلمُ
Irsyad Hukum 748
Leave a Reply