Ayat Keagungan

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ ۚ لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ ۚ لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ ۚ يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم ۖ وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِّن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ ۚ وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ ۖ وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما ۚ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

Allāhu lā ilāha illā huw(a), al-ḥayyul-qayyūm(u), lā ta’khużuhū sinatuw wa lā naum(un), lahū mā fis-samāwāti wa mā fil-arḍ(i), man żal-lażī yasyfa‘u ‘indahū illā bi’iżnih(ī), ya‘lamu mā baina aidīhim wa mā khalfahum, wa lā yuḥīṭūna bisyai’im min ‘ilmihī illā bimā syā'(a), wasi‘a kursiyyuhus-samāwāti wal-arḍ(a), wa lā ya’ūduhū ḥifẓuhumā, wa huwal-‘aliyyul-‘aẓīm(u).

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).”

Surah al-Baqarah Ayat 255

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

Ini adalah ayat yang terkenal sebagai Ayat Kursi. Memang ramai yang hafal ayat ini dan diamalkan dalam berbagai-bagai keadaan dan keperluan.

Dalam ayat ini diulangi semula tajuk Tauhid atau Dakwa Surah dalam ayat ini untuk kali yang ketiga. Cuma di dalam ayat ini diberikan Dakwa dahulu kemudian disertakan dalilnya sekali.

Dakwa ayat ini adalah: Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh diminta pertolongan untuk masalah kecil ataupun besar. Dalilnya adalah Sifat-Sifat-Nya yang sempurna yang Allah ‎ﷻ akan sebut satu persatu.

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah, dicintai, ditaati dan diibadati) melainkan Dia,”

Kita selalu terjemah ayat ini sebagai tidak ada yang layak ‘disembah’ melainkan Allah ‎ﷻ tetapi bukan itu sahaja. Ini kerana ada orang yang beribadah kepada Allah ‎ﷻ tetapi tidak taat kepada-Nya. Tidak lengkap apa yang mereka lakukan.

Sebagai contoh, mereka tidak pernah tinggal salat, mereka pergi mengerjakan ibadah Haji, tetapi mereka tidak taat dalam hal perniagaan berlandaskan riba. Maknanya mereka tidak taat sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak sebenar-benarnya menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ.

Potongan ayat ini hendak mengingatkan kita kembali kepada kalimah syahadah kita yang menjadi pegangan kita seumur hidup. Kita telah menerangkan dengan panjang lebar sebelum ini apakah maksud ‘ilah‘ itu dan tidak perlu diulangi lagi di sini.

Selepas memberitahu Dakwa ayat, Allah ‎ﷻ meneruskan dengan memberikan dalil-dalil kenapa Dia sahaja ilah iaitu sekarang Allah ‎ﷻ akan menceritakan Sifat-sifat-Nya.

الحَيُّ القَيّومُ

“Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan”

Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Hidup. Selain daripada Allah ‎ﷻ akan mati belaka. Maka, oleh kerana semua selain Allah ‎ﷻ akan mati, kenapa hendak meminta kepada yang akan mati? Itu adalah sia-sia sahaja kerana kalau kita minta pertolongan kepada yang mati, apakah yang dia boleh bantu kita?

Maka hendaklah kita meminta kepada Allah ‎ﷻ yang Maha Hidup dan tidak akan mati-mati, sampai bila-bila pun dan kena tahu bahawa Allah ‎ﷻ sahaja yang sebenar-benar hidup. Walaupun kita lihat makhluk itu hidup, tetapi segala kehidupan yang lain itu adalah kerana Dia sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan makhluk itu hidup, maka makhluk itu akan mati.

Maka bergantunglah kepada Allah ‎ﷻ sahaja, Dzat yang sebenar hidup. Kenapa kita hendak bergantung kepada entiti yang kehidupan dia sendiri pun bergantung kepada Allah ‎ﷻ?

Allah ‎ﷻlah sahaja yang bersedia dan mampu untuk mengurus dan mentadbir untuk segala hamba. Dia sentiasa menjaga segala makhluk supaya makhluk itu dapat terus berdiri. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beri sokongan, maka tentu alam ini terus roboh dan berantakan. Maknanya, Allah ‎ﷻ yang jadikan alam dan kemudian Dia meneruskan kewujudan alam ini.

Maknanya Allah ‎ﷻ sentiasa mentadbir alam ini tanpa henti. Bukanlah Allah ‎ﷻ cipta dan jadikan alam ini dan tinggalkan begitu sahaja. Maka kalau ada apa-apa keperluan, kena minta kepada Allah ‎ﷻ kerana Dia juga yang sediakan segala keperluan makhluk.

لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ

“Yang tidak ada permulaan rasa mengantuk, dan tidak tidur.”

Allah ‎ﷻ tidak ada rasa mengantuk pun. Jangan kata hendak mengantuk, mula hendak mengantuk pun tidak ada. Ini adalah kerana perkataan yang digunakan bukan ‘mengantuk’ tetapi ‘permulaan untuk mengantuk’.

Yang dimaksudkan dengan سِنَةٌ adalah mula-mula rasa mengantuk, kerana kalau ‘mengantuk’, ada perkataan lain yang digunakan dalam Al-Qur’an. Apabila kita mengantuk, orang yang ada di depan kita pun kita sudah tidak berapa cam lagi tetapi sebelum betul-betul mengantuk itu, akan ada rasa hendak mengantuk dan itulah yang dinamak سِنَةٌ. Mengantuk dan mula-mula rasa mengantuk pun tidak ada pada Allah ‎ﷻ.

Ada Ilmu Balaghah dalam ayat ini iaitu tentang takdim (diawalkan) dan ta’khir (diakhirkan). Ada perkataan yang dimulakan dan ada yang dikemudiankan. Allah ‎ﷻ sebut mengantuk dahulu sebab mengantuk datang sebelum tidur.

Allah ‎ﷻ juga tidak pernah tidur. Tidur pun banyak peringkat juga kerana ada tidur-tidur ayam, ada yang tidur nyenyak, dan ada yang ‘tidur mati’. Tidur mati itu sampai kalau kena sepak pun tidak bangun kerana sudah tidur nyenyak sangat. Ada tidur yang lebih lagi hebat iaitu seperti tidur Ashabul Kahfi yang tidur selama lebih 300 tahun.

Semua jenis tidur ini tidak ada langsung pada Allah ‎ﷻ. Bandingkan dengan pengawal keselamatan yang menjaga sesuatu bangunan. Walaupun mereka sepatutnya menjaga bangunan itu tetapi selalunya kita pun tahu yang mereka itu sama ada tidur ataupun mengantuk dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya.

Allah ‎ﷻ tidak begitu, Dia tetap menjaga alam ini kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah tidur-tidur. Maka kerana itu kita boleh berharap kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ sentiasa beri perhatian.

لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

“Yang memiliki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi.”

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa alam ini adalah kepunyaan Dia. Kalau kita ada barang, agaknya cara penjagaan kita kepada barang itu berbeza jikalau barang itu kita punya ataupun orang lain punya?

Tentu ada beza kalau kita menjaga barang orang lain dengan menjaga barang kita. Tentunya kita lebih sayang barang kita dan akan memberi perhatian yang lebih kepadanya. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang alam ini kepunyaan Dia dan dari situ, kita dapat tahu bahawa Allah ‎ﷻ akan menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya.

مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ

“Sesiapakah yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izinNya?”

Soalan ini adalah soalan retorik. Macam kita cakap kepada orang: “kalau aku tak tolong dia, siapa lagi yang boleh tolong dia?” Allah ‎ﷻ beri soalan ini kerana memang tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi syafaat tanpa izin daripada Allah ‎ﷻ.

Tidak ada, walaupun yang diharapkan syafaat itu adalah daripada Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun kita tahu yang baginda akan meminta syafaat untuk manusia tetapi baginda pun tidak berani membuka mulut baginda melainkan setelah diizinkan oleh Allah ‎ﷻ dan baginda pun hanya akan mengatakan perkara-perkara yang dibenarkan oleh Allah ‎ﷻ sahaja.

Kena faham yang keputusan beri syafaat itu bukan hak Nabi ﷺ. Ini kita dapat faham daripada ayat ini. Semua umat Islam baca ayat ini tetapi mereka tidak faham maksudnya. Apakah salah faham mereka? Mereka tidak faham kerana jahil wahyu.

Ramai tidak sedar yang Nabi Muhammad ﷺ hanya boleh memberi syafaat kepada mereka yang dibenarkan menerima syafaat sahaja. Maknanya, Allah ‎ﷻ sahaja yang menentukan siapakah yang boleh terima syafaat itu, bukannya Nabi ﷺ. Maka golongan sesat yang minta syafaat daripada Nabi ﷺ sekarang ini adalah sia-sia sahaja.

Ini kerana baginda bukan dengar pun permintaan kita dan kalau baginda dengar pun, baginda bukan boleh bagi. Maka sia-sia sahajalah nyanyian Ya Hanana golongan Habib yang sentiasa meminta syafaat kepada Rasulullah. Ini termasuk juga dengan permintaan mana-mana golongan pun yang berharap sangat syafaat daripada baginda.

Kenapa baginda tidak dapat beri syafaat kepada kita? Kerana sebelum kita membantu (atau beri syafaat) seseorang dengan meminta pertolongan untuk mereka hendaklah kita tahu kedudukan seseorang itu. Kita bawakan satu contoh di sini untuk mudah faham.

Katakanlah seorang ketua syarikat telah marah kepada seorang pekerja dan dia telah memecat pekerja itu. Mungkin kerana pada pengetahuan ketua itu, pekerja itu telah melakukan satu kesalahan berat. Katakanlah kita tahu keadaan sebenar, yang pekerja itu tidak lakukan pun kesalahan yang dituduh itu, dan kita hendak membantu pekerja yang telah dipecat itu.

Maka kita pun pergilah berjumpa dengan ketua syarikat itu untuk tidak memecat pekerja itu kerana kita kata ada perkara yang ketua syarikat itu tidak tahu. Maka kita pun menjelaskan kepada beliau kedudukan perkara yang sebenar. Maknanya ketua syarikat itu telah membuat keputusan kerana ada perkara yang dia tidak tahu dan kita telah membantu pekerja yang telah dipecat itu dengan menjelaskan kedudukan yang sebenar kerana kita ada maklumat itu.

Tetapi bagaimana kita hendak memberitahu Allah ‎ﷻ kedudukan seseorang yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ sendiri tahu perkara yang sedang berlaku dan yang telah berlaku. Semua perkara tentang seseorang itu Allah ‎ﷻ ketahui, lalu bagaimana kita hendak hendak rekomen orang itu kepada Allah ‎ﷻ?

يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم

“yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka,”

Allah ‎ﷻ Maha Tahu dengan apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Tidak ada yang mengetahui apa yang sedang berlaku dan yang telah berlaku seperti yang ilmu yang ada pada Allah ‎ﷻ. Melainkan sekadar apa yang Allah ‎ﷻ beritahu kepada mereka.

Maka kita tidak dapat hendak rekomen (beri syafaat) untuk sesiapa kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ lebih tahu. Ilmu Allah ‎ﷻ lebih luar daripada kita. Allah ‎ﷻ tahu segala-gala tentang apa-apa perkara pun.

وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِّن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ

“sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki”

Ilmu yang ada pada Allah ‎ﷻ tidak dapat diliputi atau difahami oleh manusia. Apa yang Allah ‎ﷻ beri adalah sedikit sahaja kepada manusia. Sebagai contoh, ilmu tentang roh. Allah ‎ﷻ kata Dia beri pengetahuan sedikit sahaja. Begitu juga dengan ilmu-ilmu lain.

Maka banyak sangat benda yang kita tidak faham. Kadang-kadang manusia mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan dan lakukan. Mereka kata kenapa jadi begini dan kenapa jadi begitu? Macamlah Allah ‎ﷻ salah buat keputusan. Kita tidak layak untuk mempersoalkan tindakan Allah ‎ﷻ. Kita tidak tahu kenapa Allah ‎ﷻ buat sesuatu perkara maka hendaklah kita redha sahaja.

وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

“Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi;”

Maha luas kekuasaan-Nya meliputi langit dan bumi. Bila sebut ‘kursi’, mungkin akal kita tertanya, apa maksudnya? Bagaimana rupanya? Kalau besar, berapa besar? Apakah hakikatnya dan macam-macam lagi soalan yang bermain dalam akal fikiran kita.

Jawapannya dalam potongan ayat sebelum ini: iaitu kita tidak dapat menjangkau ilmu itu. Kita tidak akan dapat faham. Bukan dalam jangkauan akal kita yang cetek ini.

وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما

“dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.”

Sebelum Allah ‎ﷻ beritahu yang alam ini semua milik-Nya dan dengan begitu hebat alam ini, tetapi Allah ‎ﷻ tidak rasa berat pun untuk menguruskan segalanya. Qudrat Allah ‎ﷻ tidak dapat dibayangkan oleh akal kita.

Mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ mentadbir alam ini. Maka segala apa yang terjadi adalah dalam jangkauan ilmu Allah ‎ﷻ. Maka tidak ada apa pun tentang kita yang Allah ‎ﷻ tidak tahu. Sebagai contoh, setiap helai daun yang jatuh adalah dalam pengetahuan-Nya dan dalam urusan-Nya. Bukanlah daun itu terjatuh sendiri melainkan dengan izin-Nya juga.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ mudah sahaja untuk mentadbir alam ini, maka jangan malu untuk minta kepada Allah ‎ﷻ apa-apa sahaja. Jangan rasa kita memberatkan Allah ‎ﷻ untuk beri apa yang kita minta. Kalau Allah ‎ﷻ berkenan hendak kabulkan permintaan kita itu, mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk beri.

وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

“Dan Dia lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Agung.”

Kalau langit itu tinggi dan Arash itu lebih tinggi dari langit, Allah ‎ﷻ lebih tinggi daripada Arash itu. Keagungan Allah ‎ﷻ tidak ada tolok bandingnya.

Dalam sebuah hadis riwayat daripada Ubai ibn Ka’ab, bahawa beliau mempunyai tempat pengeringan kurma yang di dalamnya berisi kurma yang sedang dijaganya. Beliau kemudian mendapati kurma tersebut berkurangan. Tiba-tiba terdapat seekor binatang sebesar anak yang baru baligh. Dia berkata padanya: “Apakah engkau jin atau manusia?” Dia menjawab: “Aku adalah jin”.

Dalam riwayat ini jin tersebut mengatakan padanya: “Telah sampai berita kepada kami bahawa engkau suka bersedekah. Maka aku ingin mendapat sebahagian daripada makanan yang engkau hendak sedekahkan itu.” Lalu Ubai bin Ka’ab bertanya:

فَمَا الَّذِي يُجِيرُنَا مِنْكُمْ؟ قَالَ : هَذِهِ الآيَةُ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ، ثُمَّ غَدَا أُبَيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَدَقَ الْخَبِيثُ

“Apakah yang dapat melindungi kami daripada gangguanmu?” Jin tersebut berkata: “Ayat ini, iaitu Ayat Kursi.” Keesokan harinya, Ubai menceritakan apa yang dikatakan oleh jin tersebut kepada Nabi ﷺ, maka Nabi ﷺ bersabda: “Jin itu benar.”

Riwayat al-Nasa’ie 10796

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir