Doa Rasulullah ﷺ meminta kebaikan di dunia dan di akhirat

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ

Rabbanā ātinā fid-dun-yā ḥasanataw wa fil-ākhirati ḥasanataw wa qinā ‘ażāban-nār(i).

“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah Ayat 201

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

Allah ‎ﷻ tegur cara berdoa yang salah dalam ayat sebelum ini dan mengajar cara doa yang betul di dalam ayat ini:

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ

“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

Ini adalah cara berdoa yang betul. Doa ini pun kita selalu sangat baca.

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً

“Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dunia ini, kebaikan;”

Orang yang beriman dan mukmin, cara berdoa pun mereka pandai. Lihatlah apakah perkataan yang digunakan: dia tidak minta ‘dunia’, tetapi ‘kebaikan di dunia’. Ada beza antara keduanya.

Kebaikan apakah yang paling baik sekali? Hasanah di sini adalah: Al-Qur’an dan Hadith. Iaitu ilmu kefahaman Al-Qur’an dan Hadith. Kerana dengan ilmu yang dua itu, akan selesai segala perkara agama kepada kita. Itulah hasanah yang terbaik. Ia bermula dari situ.

Dengan memahami Al-Qur’an dan Hadith, kita akan faham agama keseluruhannya. Tetapi ramai yang apabila mereka doa begini, mereka sangka mereka meminta harta dan kesenangan dunia. Jadi kena betulkan semula niat dalam hati kita semasa berdoa, supaya kita niatkan bahawa apa yang kita hendak minta itu adalah ilmu Al-Qur’an dan Hadith. Kerana ramai yang berdoa menggunakan ayat ini, tetapi mereka salah faham tentang makna doa ini.

Ada lagi tafsir lain bagi maksud ayat ini: Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kebaikan dunia’? Ia adalah perkara yang kita boleh buat dan boleh mendapat pahala yang berpanjangan walaupun kita sudah mati. Ada yang mengatakan yang ia bermaksud isteri yang solehah kerana isteri yang solehah boleh mengasuh anak mereka sampai boleh menjadi anak yang soleh yang akan mendoakan untuk mereka dan beramal dengan apa yang diajar sehingga si ayah dan si ibu akan mendapat pahala yang berpanjangan walaupun mereka sudah tiada.

Isteri yang solehah pula mudah untuk diajar kefahaman agama kepada mereka sampaikan boleh memberi kebaikan yang banyak. Kerana ilmu agama yang awal hendaklah diberikan kepada anak-anak semasa di rumah lagi dan untuk itu memerlukan ibu yang solehah yang boleh membimbing anaknya itu. Sebelum mereka mendapat yang ajaran yang tidak benar di luar, ibu mereka telah menanamkan ilmu agama yang benar ke dalam jiwa mereka.

Namun kenalah ingat bahawa ibu yang solehah itu mendapat ajaran agama dari bapa yang soleh juga, maka hendaklah kita sebagai orang lelaki memberi pengajaran agama kepada keluarga kita.

Ada sahabat yang kata kebaikan dunia yang dimaksudkan adalah anak yang soleh yang dapat menyambung kerja dan perjuangan ayahnya dalam agama.

Dan boleh juga bermaksud sedekah jariah dan ilmu yang diajarkan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi ilmu tafsir Al-Qur’an yang sepatutnya diajar kepada orang lain untuk dimanfaatkan. Kemudian ilmu diajar pula kepada orang lain dan yang mula mengajar itu pun akan mendapat pahala itu juga. Oleh itu, walaupun dia sudah mati tetapi ilmu itu boleh disambungkan kepada orang lain dan dia akan mendapat pahala yang berpanjangan.

Sedekah jariah pula adalah sedekah yang berpanjangan. Sebagai contoh, kita infak duit untuk dibuat masjid. Setiap kali masjid itu digunakan, kita akan mendapat pahala.

وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً

“dan kebaikan di akhirat;”

Kebaikan yang paling baik, iaitu Syurga. Kena minta dimasukkan ke dalam syurga.

وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“dan selamatkanlah kami dari azab api Neraka;”

Kenapa kita minta diselamatkan daripada api neraka sedangkan kita sudah minta dimasukkan ke dalam syurga? Kerana tidak sama kalau minta masuk syurga sahaja. Ada orang yang masuk syurga, tetapi mereka kena masuk neraka terlebih dahulu untuk membersihkan dosa-dosa mereka.

Jadi, doa ini dilengkapkan dengan permintaan ketiga – diselamatkan daripada api neraka. Kita berharap semoga kita tidak langsung dimasukkan ke dalam neraka walau sesaat pun. Tidaklah kita mahu lihat, dengar dan hidu bau neraka itu langsung.

Nabi ﷺ tidak pernah lupa untuk membaca doa ini, maka kita pun kenalah selalu amalkan doa ini. Tetapi janganlah kita sangka hendakkan kemewahan kesenangan di dunia sahaja. Bukan tidak boleh minta, tetapi doalah selepas itu. Jangan sentiasa doa berkenaan dunia sahaja kerana itu adalah doa orang kafir. Mereka hanya minta berkenaan dunia sahaja. Janganlah doa kita hanya berindukkan dunia sahaja.

Kita kena ingat bahawa doa itu hanya diterima jikalau kita tidak melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Inilah sahaja doa yang tsabit dari Nabi ﷺ yang dibaca oleh baginda semasa melakukan tawaf. Tidak ada doa yang lain. Semasa kita tawaf di Kaabah, kita boleh senyap sahaja, atau kita boleh membaca doa-doa yang lain. Tetapi kalau kita mahu doa yang tsabit dari Nabi ﷺ, inilah doa yang baginda baca.

Jadi, disunatkan untuk membaca doa ini semasa kita tawaf antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Atau boleh juga baca doa ini sepanjang kita tawaf. Tidak perlu buka buka buku yang agensi bagi sampai berjenis-jenis doa yang hendak dibaca.

Antara doa yang kerap dibaca oleh Baginda Rasulullah ﷺ ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Anas, beliau berkata:

كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Doa Nabi ﷺ yang paling sering diucapkan ialah: (اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) – “Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”

Riwayat al-Bukhari 6389 dan Muslim 7016

Imam Muslim menambah dalam riwayatnya:

وَكَانَ أَنَسٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدَعْوَةٍ دَعَا بِهَا، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدُعَاءٍ دَعَا بِهَا فِيهِ

“Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan banyak doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya.”

Al-Kafi 856

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir