Gangguan makhluk halus di rumah

Sehari dua ini heboh di Kubang Kerian, rumah dipecah masuk toyol. Ada cadangan bagaimana untuk melindungi rumah daripada gangguan makhluk halus?

Jawapan

Kemungkinan ia perbuatan pencuri. Kemungkinan juga perbuatan makhluk halus. Apa jua nama makhluk halus dalam dunia Melayu, semuanya merujuk kepada jin dan syaitan. Jin adalah sebahagian daripada makhluk Allah ﷻ. Ia diciptakan sebelum daripada penciptaan Nabi Adam. Allah ﷻ berfirman:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ . وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”

Surah al-Hijr 26 – 27

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan jenis Jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam. Ia dicipta daripada api, angin yang sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang mengalaminya.” (Tafsir al-Maraghi 14/20)

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, Rasulullah ﷺ bersabda:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ عَلَيْهِ السَّلَامُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ

“Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api dan Adam diciptakan dari apa yang disifatkan (diceritakan) bagi kamu”.

Riwayat Muslim 2996; Ahmad 25194 dan Ibn Hibban 6155

Menurut Ibnu Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan dan lainnya, berkenaan penciptaan jin daripada “مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ”, maksudnya ialah hujung api membara (طرف اللهب) dan dalam riwayat yang lain bermaksud daripada api yang tulen (من خالصه) (Al-Bidayah wa al-Nihayah 1/59).

Jin terbahagi kepada tiga golongan. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abi Tsa’labah al-Khusyaniy, Rasulullah ﷺ bersabda:

الْجِنُّ ثَلاَثَةُ أَصْنَافٍ صِنْفٌ لَهُمْ أَجْنِحَةٌ يَطِيرُونَ فِي الْهَوَاءِ ، وَصِنْفٌ حَيَّاتٌ وَكِلاَبٌ ، وَصِنْفٌ يَحِلُّونَ وَيَظْعَنُونَ

“Jin terdiri daripada tiga golongan. Satu golongan mempunyai sayap dan terbang di udara, satu golongan berbentuk ular dan anjing, manakala satu golongan lagi mendiami sesuatu tempat dan berpindah-randah seperti Arab Badwi.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak 3702

Beberapa saranan saya bagi mengelakkan rumah diceroboh daripada sebaran perkara yang tidak diingini adalah:

1. Melazimkan bacaan Al-Qur’an terutamanya Surah al-Baqarah dan Ayat al-Kursi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

“Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.”

Riwayat Muslim 780 dan al-Nasa’ie 10735

Menurut Ibnu Mas’ud pula, katanya:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ

“Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.”

Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir 8642 dan al-Darimi 3422

2. Membanyakkan zikrullah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah, Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ

“Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia berzikir kepadanya ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kamu memperoleh tempat menginap’.”

Riwayat Muslim 2018 dan Abu Daud 3765

3. Membaca doa ketika hendak masuk ke dalam rumah dan kemudian memberi salam kepada mereka yang berada di dalam rumah. Doanya adalah:

اللَّهُمَّ ‌إِنِّي ‌أَسْأَلُكَ ‌خَيْرَ ‌الْمَوْلَجِ، ‌وَخَيْرَ ‌الْمَخْرَجِ، ‌بِسْمِ ‌اللَّهِ ‌وَلَجْنَا، ‌وَبِسْمِ ‌اللَّهِ ‌خَرَجْنَا، ‌وَعَلَى ‌اللَّهِ ‌رَبِّنَا ‌تَوَكَّلْنَا

Ya, Allah sesungguhnya aku memohon kepada Mu kebaikan ketika masuk dan kebaikan ketika keluar. Dengan menyebut nama Allah kami masuk dan kami keluar. Dan hanya kepada Rabb kami, kami bertawakal”

Riwayat Abu Daud 5096

Insya-Allah dengan panduan sunnah Rasulullah ﷺ saat ingin masuk ke rumah, kita akan dilindungi daripada gangguan jin, manusia dan sebarang musibah dengan izin-Nya. Selain meletakkan kebergantungan kepada Allah ﷻ, ikhtiar seperti mengaktifkan kawalan Rukun Tetangga, memasang CCTV, menggajikan pengawal atau meletakkan alat penggera juga perlu dilakukan.

Al-Bakri 40

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir