Your cart is currently empty!
Bagaimana nak lawan gangguan syaitan? Jumpa ustaz hilang, lepas tu datang balik.
Bagaimana untuk menghindari gangguan jin? Saya telah mengalami gangguan ini terlalu lama. Apabila mendapat rawatan ia hilang seketika selepas itu kembali semula. Hal ini sikit sebanyak mengganggu perjalanan hidup dan pekerjaan saya. Mohon bantuan.
Jawapan
Semoga Allah ﷻ permudahkan urusan. Perubahan ini sebenarnya perlu bermula daripada diri sendiri. Kami mencadangkan agar memperbanyakkan isti’adzah, doa dan mohon kesembuhan daripada Allah ﷻ kerana hanya Dia sahaja yang memberikan kesembuhan. Allah ﷻ merakamkan doa Nabi Ibrahim:
وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ
“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.”
Surah al-Syu`ara’ 80
Hendaklah seseorang itu menjalani kehidupan dan melaksanakan perintah agama ikhlas semata-mata kerana Allah ﷻ, tanpa diselaputi syirik selain dari-Nya. Ini dirakamkan Al-Qur’an:
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
“Iblis berkata, “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas (dibersihkan dari sebarang syirik)”.
Hendaklah juga perbanyakkan zikrullah kerana syaitan lari daripada orang yang berzikir. Daripada al-Harith al-Asy’ari bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
وَآمُرُكُمْ أَنْ تَذْكُرُوا اللَّهَ فَإِنَّ مَثَلَ ذَلِكَ كَمَثَلِ رَجُلٍ خَرَجَ العَدُوُّ فِي أَثَرِهِ سِرَاعًا حَتَّى إِذَا أَتَى عَلَى حِصْنٍ حَصِينٍ فَأَحْرَزَ نَفْسَهُ مِنْهُمْ، كَذَلِكَ العَبْدُ لَا يُحْرِزُ نَفْسَهُ مِنَ الشَّيْطَانِ إِلَّا بِذِكْرِ اللَّهِ
“Dan aku menyuruh kalian agar berzikir kepada Allah kerana sesungguhnya itu seumpama seorang lelaki yang dikejar musuh-musuh melalui jejaknya dengan laju sampailah lelaki itu mendapatkan kubu pertahanan yang kukuh dan berjaya mempertahankan dirinya daripada musuh-musuhnya. Begitulah seseorang hamba Allah, tidak akan mendapat perlindungan diri daripada syaitan kecuali dengan zikir kepada Allah.”
Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi 2863. Beliau berkata hadis ini hasan sahih gharib.
Seterusnya, hendaklah seseorang jangan takut kepada syaitan, sebaliknya takut kepada Allah dengan berhenti terus daripada berbuat sebarang dosa, besar mahu pun kecil, beristighfar dan bertaubat kepada Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ:
إِنَّمَا ذَٰلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلَا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
“Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu jika betul kamu orang-orang yang beriman.”
Surah Ali-Imran 175
Firman-Nya lagi:
إِنَّهُ لَيْسَ لَهُ سُلْطَانٌ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakkal (berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.)”
Surah al-Nahl 99
Sebaliknya, syaitan hanya dapat mempengaruhi seseorang yang mengikut bisikan-bisikannya yang mengajak kepada keburukan. Firman Allah ﷻ:
إِنَّمَا سُلْطَانُهُ عَلَى الَّذِينَ يَتَوَلَّوْنَهُ وَالَّذِينَ هُم بِهِ مُشْرِكُونَ
“Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang mengikut pimpinannya, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.”
Surah al-Nahl 100
Banyakkan usaha untuk menambah ilmu pengetahuan berkenaan agama, dan sebaiknya ini dilakukan bersama jemaah kaum muslimin supaya lebih mantap keyakinan agama, saling menolong dan memperbaiki diri. Daripada `Arfajah bin Syuraih al-Asyja`ie bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْتَكِضُ.
“Sesungguhnya pertolongan Allah bersama al-Jama‘ah dan sesungguhnya syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jama‘ah.”
Riwayat Imam Ibn Hibban 4577. Dinilai sahih oleh Syeikh Syubaib al-Arnaut.
Semoga Allah ﷻ memberikan kesembuhan dan menggolongkan kita dalam golongan yang selamat daripada gangguan dan godaan syaitan.
Al-Kafi 378
Leave a Reply