Your cart is currently empty!
Doa Nabi Sulaiman setelah mendengar percakapan semut
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ وَأَدخِلني بِرَحمَتِكَ في عِبادِكَ الصّٰلِحينَ
Rabbi auzi‘nī an asykura ni‘matakal-latī an‘amta ‘alayya wa ‘alā wālidayya wa an a‘mala ṣāliḥan tarḍāhu wa adkhilnī biraḥmatika fī ‘ibādikaṣ-ṣāliḥīn(a).
“Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh.”
Surah An-Naml Ayat 19
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Apakah respons Nabi Sulaiman terhadap kata Permaisuri Semut itu? Suara semut itu sudahlah kecil, dalam bahasa lain pula. Bayangkan kelebihan yang diberikan kepada Nabi Sulaiman yang dapat mendengar perkataan semut itu walaupun waktu itu baginda bersama dengan tenteranya yang ramai yang tentunya bunyi bising tetapi baginda masih tetap dapat mendengar percakapan semut itu.
فَتَبَسَّمَ ضاحِكًا مِّن قَولِها وَقالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ وَأَدخِلني بِرَحمَتِكَ في عِبادِكَ الصّٰلِحينَ
“Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh”.
Surah Naml 19
فَتَبَسَّمَ ضاحِكًا مِّن قَولِها
“maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu.”
Nabi Sulaiman suka mendengar kata-kata Permaisuri Semut itu kerana Permaisuri Semut itu mengatakan yang Nabi Sulaiman dan tenteranya tidak sengaja jikalau mereka melanggar dan memijak semut-semut itu.
Kalimah فَتَبَسَّمَ bermaksud ‘menahan ketawa’. Maknanya baginda tersenyum.
Kalimah ضاحِكًا bermaksud ketawa itu terkeluar kerana tidak dapat menahannya.
Allah ﷻ menceritakan kata-kata semut itu kerana perbuatannya itu baik kerana ia memberi nasihat kepada kaumnya untuk menyelamatkan diri mereka. Maka jikalau kita juga memberi nasihat yang sama kepada kaum dan masyarakat kita untuk menyelamatkan mereka dari mara bahaya, maka itu molek sekali.
Dan yang lebih molek adalah menyelamatkan kaum kita dari neraka. Ini adalah terbaik sekali dan kerana itu kita sampaikan ajaran tafsir Al-Qur’an ini.
وَقالَ رَبِّ أَوزِعني أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلىٰ وٰلِدَيَّ
“Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku”
Awza’a bermaksud ‘beri ilham’. Nabi Sulaiman berdoa: Masukkan ke dalam diriku motivasi, semangat kepada diriku. Baginda minta supaya Allah ﷻ ilhamkan baginda supaya sentiasa bersyukur, dan ini menunjukkan betapa baiknya baginda. Baginda telah mendapat berbagai-bagai kurnia yang besar daripada Allah ﷻ dan tidaklah baginda rasa lemas dan kalah dengan segala pemberian itu sebaliknya baginda rasa bersyukur.
Apabila kita ada rasa syukur dalam hati, maka tentu kita akan lebih menghargai apa yang Allah ﷻ berikan.
Dan syukur itu bukan perasaan dalam diri sahaja tapi kena ditunjukkan dengan amalan. Iaitu kalau bersyukur dengan pemberian Allah ﷻ, maka kenalah taat kepada suruhan dan kehendak Allah ﷻ. Bukan cukup dengan cakap alhamdulillah…. alhamdulillah ….. sahaja.
Dan baginda minta Allah ﷻ masukkan sifat bersyukur dalam diri baginda, kerana rasa itu pun dari Allah ﷻ juga. Kalau Allah ﷻ tak masukkan, maka kita pun tidak akan bersyukur. Maka kena minta supaya Allah ﷻ beri sifat syukur kepada diri kita. Maka doa ini amat bagus untuk diamalkan.
وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضٰهُ
“dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai;”
Dan baginda juga minta supaya baginda diberikan dengan taufik untuk melakukan amalan sebagaimana cara yang Allah ﷻ sukai. Ini penting kerana kadang-kadang kita pun solat juga tetapi adakah solat kita itu sebagaimana dengan cara yang Allah ﷻ suka cara kita solat?
Taufik itu maksudnya kekuatan untuk mengerjakan amal ibadat. Kerana kita mungkin tahu kena beramal, tapi kadangkala kekuatan tidak ada. Maka kekuatan itu juga perlu diminta dari Allah ﷻ kerana kita mengharapkannya. Bukannya kekuatan itu dari diri kita sendiri tapi anugerah dari Allah ﷻ. Kerana itu selalu kita doa minta taufik.
Doa ini juga bagus untuk kita baca. Dan ini juga mengingatkan kita untuk buat amalan sunnah. Kerana amalan sunnahlah yang diredhai oleh Allah ﷻ. Malangnya ramai tidak faham perkara ini kerana ramai yang buat amalan bidaah. Mereka tidak kisah sama ada Allah ﷻ redhai atau tidak.
Dan ada yang buat sangkaan sahaja yang Allah ﷻ redha (“alaah… kalau kita buat amalan itu ikhlas, Allah ﷻ mesti terima punya…!”) Masalahnya, siapa kata begitu? Amalan kena ikhlas dan amalan itu kena ‘amalan soleh’ untuk diterima oleh Allah ﷻ. Kalau amalan bidaah, bukannya amalan soleh.
Maka kalau kita amati dan amalkan doa ini, semoga ia mengingatkan kita untuk hanya beramal dengan amalan sunnah sahaja.
وَأَدخِلني بِرَحمَتِكَ في عِبادِكَ الصّٰلِحينَ
“dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh”.”
Baginda sedar dan tidak pernah lupa yang baginda akan mati juga akhirnya dan tidaklah baginda menjadi seperti orang-orang yang kaya dan juga orang yang berkuasa yang seolah-olah mereka rasa mereka tidak akan mati.
Kerana itu kita banyak melihat dari dulu lagi bagaimana ada raja-raja dan juga para pemimpin yang memegang kuasa pemerintahan mereka itu seolah-olah mereka tak mahu mati dan kerana itu mereka tidak lepaskan kuasa mereka itu.
Mereka juga tidak buat persediaan untuk menghadapi akhirat. Mereka nak bina dan bina kekayaan dan kuasa mereka.
Ini tidak terjadi kepada Nabi Sulaiman yang ada kekayaan dan kekuasaan yang paling hebat dalam dunia. Oleh kerana baginda tahu yang baginda akan mati, maka baginda telah meminta supaya apabila baginda mati nanti baginda dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh.
Dan kita boleh lihat yang baginda tambah kalimah بِرَحمَتِكَ (dengan rahmatMu). Ini kerana memang kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ dan bukan dari amalan kita. Kerana itu kita kena berharap kepada rahmat Allah ﷻ .
Leave a Reply