Kaedah terapi Al-Qur’an

Apakah yang dimaksudkan dengan kaedah terapi Al-Qur’an? Apakah hukumnya?

Jawapan

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4, terapi membawa maksud rawatan sesuatu penyakit fizikal atau mental secara proses pemulihan tanpa menggunakan ubat atau pembedahan. Terapi Al-Qur’an pula bermaksud merawat penyakit secara proses pemulihan dengan menggunakan Al-Qur’an.

Secara asasnya, Al-Qur’an adalah penyembuh, doa dan zikir yang paling mustajab. Firman Allah ﷻ:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

Surah al-Isra’ 82

Kata Imam al-Baidawi berkenaan ayat ini:

“Iaitu yang boleh menguatkan agama mereka dan juga memberi kebaikan seperti ubat penyembuh bagi orang yang sakit.” (Rujuk Tafsir al-Baidawi 3/445)

Begitu juga firman Allah ﷻ:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Surah Yunus 57

Terapi Al-Quran lebih kurang sama dengan ruqyah Syar’iyyah. Iaitu membaca Al-Qur’an sebagai usaha penyembuhan. Bezanya ialah terapi Al-Qur’an lebih kepada pesakit untuk membacanya sendiri berbanding mencari orang untuk membacakan ruqyah kepadanya.

Perlakuan ini tidak ada masalahnya selagi mana tidak melakukan perkara-perkara yang syirik. Ini berdasarkan sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh ‘Auf Bin Malik al-‘Asyja’ie. Sabda Nabi ﷺ:

اعْرِضُوا عَلَىَّ رُقَاكُمْ لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ

“Bentangkan kepadaku ayat ruqyah kalian. Tidak mengapa untuk beruqyah selagi mana tidak ada syirik.”

Riwayat Muslim 5862

Kata Sheikh ‘Azim al-Abadi:

“Hadis ini menjadi dalil keharusan untuk beruqyah dan berubat menggunakan apa yang tidak ada kemudaratan dan juga dengan sesuatu yang tidak bercanggah dengan syara’.” (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud 10/266)

Oleh itu, kami melihat terapi menggunakan Al-Qur’an tidak menjadi kesalahan. Bahkan ia juga adalah salah satu cara untuk menenangkan jiwa dan hati. Firman Allah ﷻ:

أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّـهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ

“Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Surah al-Ra’du 28

Kesimpulannya, harus dan tidak mengapa untuk berterapi dengan Al-Qur’an kerana ia adalah salah satu cara penyembuhan dan juga penyebab tenangnya hati. Di samping itu kami mengesyorkan beberapa perkara berkenaan kaedah terapi ini:

  1. Berusaha untuk memperbetulkan bacaan ayat Al-Qur’an
  2. Cuba untuk memahami setiap ayat Al-Qur’an yang digunakan sebagai terapi.

Al-Kafi 775

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir