Your cart is currently empty!
Doa pengampunan daripada Nabi Adam
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Rabbanā ẓalamnā anfusanā wa illam tagfir lanā wa tarḥamnā lanakūnanna minal-khāsirīn(a).
“Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.
Surah al-A’raf Ayat 23
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Nabi Adam عليه السلام beralah dan terus meminta ampun kerana baginda sedar yang baginda telah berbuat salah. Inilah yang Allah ﷻ hendak daripada hamba-Nya. Allah ﷻ hendak kita mengaku dan memohon ampun sahaja, jangan melawan. Jika tahu yang kita sudah membuat salah, cepat-cepat minta maaf.
Namun ramai yang apabila diberitahu mereka membuat salah, mereka bukan mahu terima, tetapi mereka melawan lagi, dengan memberi hujah-hujah yang bathil untuk membenarkan juga kesalahan yang mereka telah lakukan. Ramai yang akan beri alasan, padahal Allah ﷻ bukan hendak dengar alasan, tetapi Allah ﷻ hendak dengar taubat daripada kita.
قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
“Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.”
قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا
“Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri,”
Doa meminta ampun ini diajar sendiri oleh Allah ﷻ kepada mereka berdua kerana jika Allah ﷻ tidak ajar mereka, mereka pun tidak tahu bagaimana hendak meminta ampun. Oleh itu, doa ini adalah doa yang baik untuk diamalkan.
Mereka mengaku yang mereka telah menzalimi diri mereka kerana mereka tidak berhati-hati dan tidak mengikut nasihat Tuhan. Mereka mengaku kekurangan mereka. Inilah cara hendak meminta ampun yang terbaik iaitu mengakui kesalahan yang kita lakukan. Apakah kesalahan mereka? Tidak berwaspada dengan tipu daya syaitan. Kita kenalah sentiasa berwaspada, jangan terlalu cepat membuat keputusan. Kena fikir dahulu sebelum membuat sesuatu kerana takut kita buat silap.
Maka Nabi Adam عليه السلام telah melakukan kesilapan. Allah ﷻ telah mengampunkan semua dosa para Nabi. Akan tetapi yang lebih penting ditekankan di sini adalah permintaan pengampunan. Ini yang lebih penting.
Nabi Adam عليه السلام buat satu kesilapan sahaja pun sudah begitu hebat baginda meminta ampun. Maka ini mengajar kita untuk lebih meminta ampun daripada Allah ﷻ kerana kita lebih banyak dosa. Maka selalulah minta ampun kepada Allah ﷻ dan boleh amalkan doa ini yang diminta oleh Abu Bakr رضي الله عنه
عَلِّمْنِى دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِى صَلاَتِى قَالَ قُلِ :اللَّهُمَّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِى مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku panjatkan ketika salat!” Maka baginda pun berkata, “Bacalah:(Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang).”
Riwayat Bukhari 834 dan Muslim 2705
Apakah maksud zalim? Jika menzalimi orang lain, mudah untuk kita fahami. Akan tetapi kalau menzalimi diri sendiri, mungkin agak susah. Menzalimi diri sendiri adalah apabila tidak taat kepada Allah ﷻ, menyebabkan kita yang susah nanti. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan kesalahan dosa kita di akhirat kelak. Malangnya kita tidak nampak bagaimana kita menzalimi diri sendiri jika tidak salat, tidak puasa, dan sebagainya, bukan?
Maka Adam عليه السلام dan Hawwa’ telah mengakui kesilapan mereka. Ini amat berlainan sekali dengan iblis yang tidak mengaku dia bersalah. Malah dia berhujah pula dengan Allah ﷻ kenapa dia melanggar arahan Allah ﷻ – dia gunakan alasan yang menggunakan logik akal sahaja, iaitu dia lebih tinggi kedudukan daripada Nabi Adam عليه السلام. Maka tidaklah patut kalau menggunakan logik akal untuk berhujah dengan Allah ﷻ. Kena sedarlah Allah ﷻ siapa dan kita ini siapa. Berapa ramai yang menggunakan logik akal mereka sampaikan terkeluar daripada Islam.
Mereka sangka akal mereka sudah cukup pandai untuk memikirkan kejadian Allah ﷻ, kerja-kerja Allah ﷻ dan undang-undang Allah ﷻ. Ketahuilah yang itu adalah cara syaitan. Ramai yang sangka semua hukum Allah ﷻ itu boleh dijelaskan dengan logik akal, dan kalau mereka tidak dapat jelaskan dengan logik akal, mereka tidak mahu terima. Mereka sangka Islam perlu menjelaskan semua perkara kepada mereka.
Ini adalah berbeza dengan sunnah dalam agama. Nabi kita semuanya taat kepada Allah ﷻ tanpa soal; lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah ikut segala arahan Allah ﷻ, walaupun dari segi logik akalnya, tidak masuk akal. Sebagai contoh, kenapa pula baginda harus menyembelih anaknya Nabi Ismail عليه السلام? Kenapa kena tinggalkan anak dan isterinya di padang pasir Mekah yang tidak ada apa-apa pun pada waktu itu? Memang kalau difikirkan, perbuatan itu tidak masuk akal, tetapi baginda taat juga dan lakukan juga kerana itu pasti arahan daripada Allah ﷻ.
Namun begitu, ini bukanlah larangan untuk menggunakan akal. Jangan salah anggap pula dengan pemahaman ini. Agama Islam kita ini adalah mesra akal dan memang agama menyuruh kita menggunakan akal kita. Kita memang digalakkan menggunakan akal untuk melihat apakah hikmah sesuatu perkara itu diwajibkan kepada kita, atau diharamkan kepada kita. Akan tetapi itu adalah untuk mencari hikmah dan melihat apakah kebaikan yang ada dalam hukum itu, supaya kita menjadi semakin mantap dalam melaksanakannya.
Oleh hal yang demikian, janganlah digunakan akal untuk mempersoalkan arahan Allah ﷻ pula. Disebabkan silap menggunakan akallah yang mengakibatkan ada manusia yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Itu sudah melawan hukum yang telah ditetapkan, itu adalah derhaka.
Ada kadangkalanya kita tidak dapat menemui hikmah sesuatu arahan hukum itu. Jika kita jumpa pun, tidak semestinya ia adalah benar, kerana itu adalah kesimpulan daripada akal kita sahaja, dan akal kita tidak akan dapat mencapai tahap sempurna untuk mengetahui segala sesuatu dengan benar. Maka, kalau kita tidak dapat menemui hikmah sesuatu arahan Allah ﷻ, kita tetap kena ikut juga.
Kita kena faham bahawa agama kita bukanlah memerlukan kita untuk faham sebab atau hikmah sesuatu perkara dalam agama itu, barulah diikuti. Tidak semestinya kita akan faham semua arahan Allah ﷻ, tetapi yang pasti kita tetap kena taat. Sebelum masuk Islam, memang kita digalakkan untuk mempersoalkan segala perkara tentang agama Islam, tetapi apabila kita telah membuat keputusan untuk masuk Islam dan kita telah faham siapa diri kita dan siapa Allah ﷻ, maka kita tidak ada hak untuk mempersoalkan hukum yang Allah ﷻ telah berikan.
Dalam Al-Qur’an banyak diajar kita memulakan doa dengan kalimah ‘Rabbana’. Maka, ini adalah antara sunnah dimakbulkan doa kerana kita mengaku yang Allah ﷻ itu adalah Rabb kita. Maksud Rabb adalah ‘pencipta, pemelihara dan penjaga’ kita. Maknanya kita mengaku kekuasaan Allah ﷻ iaitu kita memulakan doa dengan mengagungkan Allah ﷻ.
وَإِن لَّم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
“dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.”
Dalam ayat ini, Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ memohon keampunan daripada Allah ﷻ dan juga memohon rahmat. Kenapakah dua perkara ini yang diperlukan? Kenapakah tidak meminta ampun sahaja? Kerana dua-ada perkara ini amat penting. Jika kita sudah membuat salah, kenalah kita meminta ampun dan maaf di atas kesalahan kita. Jikalau permohonan kita sudah dimakbulkan, maka kita sudah selamat.
Namun tidak semestinya selamat itu sesuatu yang bagus sangat. Memang sudah selamat tetapi itu sebenarnya tidaklah hebat sangat. Sebagai contoh, kita selamat daripada memasuki penjara, tetapi itu tidak semestinya kita mendapat kelebihan-kelebihan lain, tidak semestinya dapat hidup baik dan mewah, contohnya. Maka kerana itu kita kena juga meinta rahmat daripada Allah ﷻ. Walau bagaimanapun kenalah dimulakan dengan permintaan keampunan kerana itu yang lebih penting.
Ini juga mengajar kita yang kita tidak dihalang daripada meminta rahmat daripada Allah ﷻ walaupun baru sahaja membuat dosa. Lihatlah bagaimana Nabi Adam عليه السلام terus meminta rahmat daripada Allah ﷻ selepas meminta ampun. Ini kerana baginda kenal akan Allah ﷻ, dan tidak hilang harapannya terhadap Allah ﷻ. Jika bukan berharap rahmat daripada Allah ﷻ, dengan siapa lagi kita boleh berharap?
Di dalam potongan ayat ini juga, Adam عليه السلام dan Hawwa’ mengakui dan mengiktiraf yang Allah ﷻ sahaja yang boleh mengampunkan dosa mereka. Dan hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh memberi rahmat. Tidak ada selain Allah ﷻ. Ini adalah kata-kata pujian kepada Allah ﷻ kerana dalam doa perlu disertakan dengan pujian kepada Allah ﷻ.
Bilakah doa Nabi Adam عليه السلام dan Hawwa’ ini diucapkan? Jika kita lihat kepada kronologi, maka kita dapat lihat yang ia terus disebut apabila mereka tahu yang mereka telah melakukan kesilapan. Maknanya mereka terus meminta ampun. Begitulah permintaan keampunan hendaklah terus dilakukan.
Oleh sebab itu, ini adalah salah satu doa yang amat bagus untuk kita amalkan, terutama kalau kita ada buat kesalahan. Ini adalah antara doa yang diambil daripada Al-Qur’an, maka tentu ia lebih baik daripada doa yang lain. Kalau tidak ada di dalam Al-Qur’an, maka boleh cari dalam hadith pula. Kalau tidak ada, baru boleh disusun doa mengikut keperluan kita. Asalkan jika maknanya baik, maka tidak ada masalah dengan doa itu kerana fiqh doa adalah luas. Cuma pastikan ia di dalam ruang lingkup doa yang dibenarkan.
Leave a Reply