Your cart is currently empty!
Doa orang Nasrani beriman dan menjadi saksi kebenaran
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ
Rabbanā āmannā faktubnā ma‘asy-syāhidīn(a).
“Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad ﷺ)”.
Surah Ali-Imran Ayat 83
ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ
Tafsir
Sambungan tentang sifat orang Nasara kepada Islam.
وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ ۖ يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ
“Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad ﷺ)”
وَإِذا سَمِعوا ما أُنزِلَ إِلَى الرَّسولِ
“Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul”
Ada dalam kalangan Nasara yang berhati baik, prihatin kepada kebenaran. Mereka juga belajar tentang Kitab Injil mereka. Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang sekumpulan 30 orang dari Habashah yang datang mengadap Nabi ﷺ dan dibacakan Al-Qur’an kepada mereka. Dan apa terjadi apabila mereka mendengar ayat-ayat Al-Qur’an dibacakan kepada mereka?
تَرىٰ أَعيُنَهُم تَفيضُ مِنَ الدَّمعِ
“kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata”
Apabila mereka dengar Al-Qur’an dibacakan kepada mereka dan mereka faham, kamu akan tengok mata mereka dicucuri air mata. Hati mereka telah tersentuh dan kesannya adalah mereka akan menangis.
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi ‘mata’ dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi ‘mata air’.
مِمّا عَرَفوا مِنَ الحَقِّ
“disebabkan kebenaran yang telah mereka ketahui”
Ini berlaku apabila memahami makna yang ada dalam Al-Qur’an kerana mereka faham makna yang disampaikan kepada mereka. Mereka nampak kebenaran Al-Qur’an yang sama dengan apa yang mereka tahu daripada kitab mereka sendiri. Antaranya, mereka lihat sifat Nabi Muhammad ﷺ itu sama sahaja seperti yang disebut dalam kitab tentang kedatangan Nabi akhir zaman.
Oleh kerana itu, yang akan mendapat reaksi ini adalah mereka yang kenal agama sahaja dan yang berhati lembut dan mahu kepada kebenaran. Ini kerana mereka nampak kebenaran dalam ayat-ayat Allah ﷻ. Kalau orang biasa dan tidak kisah tentang kebenaran, mereka mungkin tidak nampak.
Allah ﷻ menceritakan tentang air mata mereka kerana Allah ﷻ menilai tinggi perasaan mereka itu dan titisan air mata mereka. Mereka menangis kerana tersentuh dengan kebenaran dan ini adalah harga air mata yang mahal. Sampaikan Allah ﷻ memasukkan dalam Al-Qur’an tentang kejadian itu. Pernah Abu Bakr رضي الله عنه berkata tentang ayat ini: “Itulah yang kami biasa lakukan, sebelum hati kami menjadi keras!” (Ma sya Allah, ini amat menakutkan, kerana kita sendiri tidak menitis air mata apabila membaca ayat-ayat Allah ﷻ. Adakah kerana hati kita telah keras sampaikan tidak tersentuh dengan kebenaran?)
Daripada ayat ini, sepatutnya menggerakkan kita untuk menyampaikan ayat-ayat Allah ﷻ kepada mereka. Kerana mereka itu mempunyai hati yang lembut dan mudah untuk menerima kebenaran. Mereka sendiri bukannya orang jahat, malah mereka banyak menolong orang lain, tidak kira agama. Oleh itu, kena lakukan dakwah cara lembut kepada mereka.
يَقولونَ رَبَّنا ءآمَنّا فَاكتُبنا مَعَ الشّٰهِدينَ
“seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi”
Apabila hati mereka telah terbuka dan mata mereka telah mengalirkan air mata, maka lidah mereka pun berkata: “Kami juga telah beriman. Maka jadikanlah kami daripada golongan yang bersaksi atas keimanan.”
Sampai sekarang memang ada lagi jenis mereka yang sebegini. Semakin hari semakin ramai puak Kristian yang masuk Islam setelah mereka melihat kebenaran. Kita pun tahu daripada statistik yang menunjukkan negara barat semakin ramai penduduknya yang masuk Islam berduyun-duyun. Nanti tidak lama lagi mereka akan lebih ramai daripada kita, kerana orang kita tidak menjaga agama ini. Maka Allah ﷻ akan tukarkan kepada orang lain.
Leave a Reply