Your cart is currently empty!
Terlupa? Apa yang patut dibaca?
Apakah yang sepatutnya dibaca oleh seseorang itu apabila dia terlupa akan sesuatu?
Jawapan
Tidak dinafikan bahawa setiap manusia itu tidak dapat lari dari sifat pelupa. Sehinggakan disebut dalam sebuah ungkapan yang masyhur:
وَمَا سُمِّيَ الإنسَانُ إِلَّا لِنَسيِهِ
“Dan tidaklah dinamakan manusia itu melainkan kerana sifat pelupanya.”
Sebahagian ulama menyebutkan berkenaan dua perkara yang bermanfaat untuk dibaca oleh seseorang itu apabila dia terlupa. Kami kongsikan kedua cara tersebut seperti berikut:
Pertama: Menyebut Nama Allah ﷻ.
Seseorang yang terlupa akan sesuatu perkara dituntut untuk memperbanyakkan mengingati Allah supaya Allah ﷻ membantu dirinya mengingati semula perkara tersebut.
Hal ini adalah berdasarkan firman Allah ﷻ:
وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ
“Dan sebutlah nama Tuhan kamu apabila kamu terlupa.”
Surah al-Kahf Ayat 24
Syeikh Muhammad bin Al-Amin al-Syanqithi dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan: Para ulama tafsir mempunyai dua pendapat yang makruf terhadap ayat ini. Iaitu:
Ayat ini berkaitan dengan ayat sebelumnya. Makna ayatnya: Sekiranya kamu mengatakan bahawa kamu akan melakukan sesuatu perkara pada esok hari, kemudian kamu terlupa untuk mengucapkan “Insya-Allah” kemudian kamu mengingatnya semula maka ucapkanlah Insya-Allah.
Ini adalah pendapat yang zahir dan ia juga merupakan pandangan jumhur ulama. Antara yang menyebutkan tentangnya adalah Ibn Abbas, Hasan al-Basri, Abu al-‘Aaliyah, dan selain mereka.
Pandangan kedua pula menyatakan bahawa ayat ini tidak berkaitan dengan ayat sebelumnya. Makna ayat menjadi: “Apabila terjadi pada diri kamu terlupa akan sesuatu perkara maka sebutlah nama Allah. Ini kerana kelupaan itu disebabkan oleh syaitan dan zikrullah akan dapat menolak syaitan” (Rujuk Adhwa’ al-Bayan, al-Syanqithi 4/61 – 62).
Manakala Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di dalam tafsirannya ke atas ayat ini berkata: “Dan diambil dari keumuman firman Allah ini, perintah untuk zikrullah ketika terlupa. Ini kerana ia dapat menghilangkan kelupaan serta akan mengingatkan seorang hamba itu perkara yang dia terlupa” (Rujuk Taisir al-Karim al-Rahman, Al-Sa’di 5/956).
Kedua: Berselawat ke Atas Nabi ﷺ
Sebahagian ulama menyatakan bahawa antara cara yang dilakukan oleh seseorang itu apabila dia terlupa akan sesuatu adalah dengan berselawat ke atas Nabi ﷺ. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Sakhawi dengan katanya:
وأما الصلاة عليه لمن نسي شيئاً وأراد تذكره وكذا لمن خاف النسيان
“Adapun selawat ke atas baginda ﷺ bagi mereka yang terlupa akan sesuatu atau hendak mengingatinya semula dan demikian juga bagi mereka yang takut terlupa.”
Ini adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Anas beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إذا نسيتم شيئاً فصلوا علي تذكروه إن شاء الله تعالى
“Apabila kamu terlupa akan sesuatu maka berselawatlah ke atas ku nescaya kamu akan mengingati perkara tersebut, insya-Allah.”
Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Musa al-Madini dengan sanad yang dhaif. Manakala daripada Utsman bin Abi Harb al-Bahili beliau meriwayatkan bahawa Nabi ﷺ bersabda:
من أراد أن يحدث بحديث فنسيه فليصل علي فإن في صلاته علي خلفاً من حديثه وعسى أن يذكره
“Sesiapa yang hendak membacakan suatu hadis lalu dia terlupa akannya maka hendaklah dia berselawat ke atasku. Sesungguhnya selawatnya ke atasku adalah sebagai ganti dari hadisnya dan mudah-mudahan (dengan berselawat) dia akan mengingatinya semula.”
Hadis ini dikeluarkan oleh Al-Dailami sebegini dengan sanad yang dhaif. Demikian juga daripada Abu Hurairah beliau berkata:
من خاف على نفسه النسيان فليكثر الصلاة على النبي – صلى الله عليه وسلم
“Sesiapa yang takutkan ke atas dirinya sifat pelupa maka hendaklah dia berselawat ke atas Nabi ﷺ.”
Riwayat ini juga datang dengan sanad yang terputus (Rujuk Al-Qaul al-Badi’, Al-Sakhawi (1/227).
Demikian juga Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah ada menyebutkan bahawa antara tempat yang dianjurkan untuk berselawat ke atas Nabi ﷺ adalah apabila seseorang itu terlupa akan sesuatu perkara atau dia mahu untuk mengingati suatu perkara. Beliau menyatakan bahawa perkara ini disebutkan oleh Abu Musa al-Madini dalam sebuah riwayat daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إذا نسيتم شيئا فصلوا علي تذكروه إن شاء الله
“Apabila kamu terlupa akan sesuatu maka berselawatlah ke atas ku nescaya kamu akan mengingati perkara tersebut, insya-Allah (Rujuk Jala’ al-Afham, Ibn Al-Qayyim (1/429).
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa pada asasnya seseorang yang terlupa itu hendaklah memperbanyakkan zikrullah berdasarkan keumuman ayat yang ke 24 dari surah al-Kahfi di atas. Ini seperti dia membaca doa:
اللهم ذكرني ما نسيت وعلمني ما جهلت
“Ya Allah, ingatkanlah aku terhadap apa yang aku lupa dan ajarkanlah aku apa yang aku jahil.”
Demikian juga boleh untuk seseorang yang lupa itu berselawat ke atas Nabi ﷺ disebabkan terdapatnya hadis yang menunjukkan kepada hal tersebut sekalipun ia merupakan hadis dhaif. Sebagaimana yang masyhur menjadi pegangan jumhur, hadis-hadis dhaif boleh diamalkan di dalam bab fadhilat-fadhilat amalan dengan beberapa syarat yang telah disebutkan oleh beberapa ulama seperti Ibn Hajar al-Asqalani dan selainnya.
Akhir kalam, semoga Allah ﷻ memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama.
Al-Kafi li al-Fatawi1205
Leave a Reply