Salah membaca Al-Qur’an di dalam telefon bimbit tanpa wudhuk?

Saya seorang pegawai perubatan yang menjaga kaunter dibahagian hadapan. Bagi mengelak terkena jangkitan Covid-19, kami disuruh untuk yang memakai pakaian PPE. Persoalan saya sewaktu menunggu di kaunter itu saya membaca Al-Qur’an menggunakan hendset saya dan bolehkah saya memegang henset itu sekiranya tidak mempunyai wuduk. Mohon penjelasan.

Jawapan

Membaca Al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca Al-Qur’an sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud berkata, Sabda Nabi ﷺ:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Qur’an) maka baginya satu kebaikan.”

Riwayat al-Tirmizi 2910

Selain itu, di antara kelebihan membaca Al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadis yang diriwayatkan ole Abu Umamah bahawa ia mendengar Nabi ﷺ bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Bacalah Al-Qur’an, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.”

Riwayat Muslim 804

Membaca Al-Qur’an tanpa wuduk

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, dalam hal membaca Al-Qur’an terdapat adab-adab yang disarankan oleh para fuqaha’ di antaranya adalah membersihkan mulut dengan bersiwak atau selainnya. Begitu juga disunatkan bagi seseorang yang hendak membaca Al-Qur’an itu menyucikan dirinya (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quawaitiyyah 33/34-35).

Imam Nawawi menyebut, disunatkan membaca Al-Qur’an ketika ia dalam keadaan suci dan sesiapa yang membaca Al-Qur’an dalam keadaan ianya berhadas maka diharuskan, dan ini merupakan ijma’ para ulama. Imam Nawawi menukilkan pandangan Imam Haramain menyebut bahawa membaca Al-Qur’an ketika berhadas bukan perkara yang makruh akan tetapi ia meninggalkan perkara yang afdhal. Imam Nawawi menyebut lagi, dan bagi orang yang berjunub (berhadas besar) dan haid maka haram bagi mereka membaca Al-Qur’an (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran 1/73; al-Itqan fi Ulum al-Quran 1/363).

Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali menyebut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا

Sesungguhnya Rasulullah ﷺ membacakan kepada kami Al-Qur’an dalam setiap keadaan, melainkan dalam keadaan berjunub.”

Riwayat al-Tirmizi 146

Hukum menyentuh Al-Qur’an ketika berhadas

Dalam membincangkan perihal menyentuh Al-Qur’an tanpa bersuci, sebahagian para ulama bersepakat bahawa menyentuh Al-Qur’an atau mushaf adalah haram melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah 37/276).

Ini bertepatan dengan Firman Allah ﷻ:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;”

Surah al-Waqiah 79

Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali, Ibnu Masud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’e (Lihat Tafsir al-Qurtubi 17/226).

Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan, diharamkan seseorang yang berhadas menyentuh mushaf dan membawanya sama ada membawanya secara tidak langsung atau secara langsung. Imam al-Nawawi menyebutnya lagi, sekiranya ditulis Al-Qur’an pada kayu maka hukumnya adalah seperti hukum mushaf sama ada tulisan itu sedikit atau banyak, sehingga sekiranya sebahagian ayat ditulis untuk belajar maka haram menyentuh kayu atau lembaran yang ditulis tersebut (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran 1/192).

Apakan yang dimaksudkan dengan mushaf

Bagi menentukan apakah menyentuh Al-Qur’an yang terdapat di dalam aplikasi telefon bimbit diwajibkan untuk berwuduk atau tidak, maka sebaiknya diperhalusi adakah ia juga dikategorikan sebagai Mushaf atau tidak.

Oleh itu, dalam memahami maksud mushaf Syeikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani menyebut:

وَالْمرَاد بالمصحف كل مَا كتب فِيهِ شَيْء من الْقُرْآن بِقصد الدراسة كلوح أَو عَمُود أَو جِدَار

Dan dimaksudkan dengan Mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada Al-Qur’an dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding.” (Lihat Nihayah al-Zain 32)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Mushaf adalah nama yang ditulis padanya kalam Allah ﷻ di antara dua kulit. Dan mushaf adalah apa yang terkandung di dalamnya keseluruhan ayat Al-Qur’an atau apa yang disebut sebagai mushaf secara uruf atau ditulis padanya sedikit ayat A-Qur’an seperti hizib (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 38/5).

Ini jelas, sifat mushaf itu adalah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat Al-Qur’an. Justeru, bagi memahami apa yang dimaksudkan dengan tulisan, Syeikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi menyebut di dalam Hasyiahnya, bahawa tulisan (كِتَابَةً) bemaksud yang tertulis di atasnya, iaitu apa yang terdapat padanya tulisan, seperti lembaran dan kain sama ada ditulis padanya dengan menggunakan dakwat atau selainnya, dan begitu juga ukiran berbentuk huruf pada batu, kayu atau pada tanah dipermukaan bumi. Jika sekiranya melukis bentuk huruf di udara atau air maka ia bukanlah sebagai tulisan mengikut pandangan mazhab seperti yang disebut al-Ziadi (Lihat Hasyiah al-Bujairimi al-Khatib 3/498).

Justeru, dapat difahamai bahawa Al-Qur’an yang dibuka di dalam telefon pintar tidak termasuk di dalam kategori mushaf seperti mana yang ditakrifkan oleh ulama.

Begitu juga sepertimana yang disebut oleh Syeikh Ali Jumaah mantan mufti Mesir yang lalu, menyatakan bahawa menyentuh telefon bimbit bertujuan untuk membaca Al-Qur’an tanpa berwuduk adalah diharuskan kerana ia bukan mushaf seperti yang disebut oleh para ulama, dan tidak diharuskan menyentuh mushaf yang hakiki melainkan dalam keadaan suci.

Selain itu, di dalam Buku Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Qur’an menyebut: Bagi menyentuh dan membawa mashaf Al-Qur’an yang lengkap, pengendali hendaklah mempunyai air sembahyang serta tidak berhadas besar kecuali Al-Quran dalam format cakera optik seperti CD, Brail dan paparan skrin telefon bimbit (Lihat, Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan Dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran JAKIM 7).

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan penelitian perbahasan yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa harus membaca Al-Qur’an melalui telefon bimbit tanpa berwuduk, ini kerana aplikasi Al-Quran tidak boleh dihukum sebagai mushaf Al-Qur’an kerana ianya hanya tulisan yang dipapar melalui skrin dan kemudiannya hilang, bahkan tidak kekal, berbeza seperti yang ditakrifkan oleh para ulama dengan mushaf Al-Qur’an yang hakiki.

Namun, sebaiknya disunatkan untuk berwuduk ketika membaca Al-Qur’an serta menjaga adab-adab ketika membaca Al-Qur’an sepertimana yang digariskan oleh para ulama seperti menutup aurat, mengadap kiblat dan membersihkat mulut.

Semoga Allah ﷻ memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.

Irsyad Hukum 496

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir