Your cart is currently empty!
Sihir itu meragut kebahagiaanku
Sebelum bercerita lebih jauh, cukuplah aku memperkenalkan diri sebagai N… seorang pemuda berasal dari negeri selatan tanah air, aku pemuda biasa yang mungkin mempunyai semangat yang luar biasa.
Aku seorang pemuda yang cukup aktif, berpersatuan, bermasyarakat, memegang beberapa jawatan penting bagi golongan belia di pelbagai peringkat dan aku juga mempunyai ijazah dari salah sebuah universiti tanahair.
Namun sehingga ke hari ini aku masih begini, tidak mampu bekerja, tidak mampu terbang bebas memburu impian yang aku impikan… walaupun ditawarkan jawatan yang bagus aku terpaksa menolak.
Keluargaku menjalankan sebuah perniagaan, hampir 5 tahun kami sekeluarga mengusahakan. Jatuh bangun kami tidak berputus asa. Berniaga sudah tentu ada pasang surutnya..
Namun kami ikhlas menjalankannya, lakukan yang terbaik dan sudah tentu menjadi pilihan pelanggan kerana mereka rasa berbaloi apabila berurusan dengan kami. Tapi sudah tentu apabila kita maju dan kehadapan ada yang berasa iri.
Sepanjang berniaga, ada sahaja dengki khianat yang kami terpaksa lalui. ‘Kedai tak buka ke hari ni?’ Itu perkara biasa yang kami dengar daripada pelanggan kami, sedangkan kami berniaga seperti biasa.
Sana sini kami berubat, alhamdullilah pulih dan kembali seperti biasa dan nanti adakala berulang lagi, namun kami tidak berputus asa.
Ibuku antara insan yang cukup kuat dalam situasi ini, sudah banyak kali diri nya menjadi sasaran individu berkiblatkan iblis ini . Jatuh bangun sakit secara tiba-tiba, ada sahaja yang dibuat oleh individu yang sakit hati itu.
Namun seperti yang aku katakan ibuku wanita hebat , ibuku wanita terpilih lindungan Tuhan, dia tidak pernah mengganggu orang lain.
HubunganNya dengan Tuhan dijaga baik, sesama manusia sentiasa dijaga sempurna sehingga ke hari ini ibuku masih mampu bertahan. Aku sangat bersyukur.
Abahku? Rasa tidak sanggup untuk aku ceritakan. Ketika luahan ini dikarang, emosiku sungguh tidak terkawal, rasanya seperti ada yang membentak jiwaku. Aku marah, sedih, kecewa dengan apa yang berlaku namun aku redha.
Semenjak awal januari 2020 kesihatan abahku merosot, selalu dia berkata abah sakit lah, bila kami tanya abah sakit apa entah la abah pun tak tahu nak terangkan. Sehingga la penghujung februari, dia seperti ada yang tidak kena.
Kemuncaknya sebelum kita semua dalam tempoh PKP boleh dikatakan seminggu hampir 3 hingga 4 kali aku membawanya ke klinik, berjumpa pakar namun masih sama dan Doktor menyatakan abahku tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Ahh ini tidak lain, terpaksa lah aku membawanya berubat secara alternatif. Namun abahku berkeras tidak mahu, marah apabila diajak berubat cara itu.
Masih aku ingat abahku mahu terjun dari kereta yang dipandu ketika dalam perjalanan ke tempat perubatan darul syifa.
Untuk rawatan alternatif ini aku rasa 3 tempat berbeza aku bawa dan jawapannya sama iaitu ayahku dikenakan oleh individu yang sakit hati dengan kami. Daripada pembayang yang diberikan semuanya memberikan bayangan yang sama.
Hari demi hari abah semakin teruk. Kami menjadi buntu, seolah tiada lagi penawar yang kami temui mampu untuk merawat penyakit misteri abahku. Ditambah pula dalam tempoh PKP pergerakan kami terbatas untuk membawanya kesana sini.
Sehingga lah abah terbaring merana tanpa makan dan minum langsung hampir dua bulan. Sebiji nasi tidak boleh ditelannya. Daripada badan yang berisi hinggalah menjadi tulang.
Rasanya sampai disini dulu, insyaallah aku akan sambung pada fasa 2 nanti. Aku tidak sanggup untuk teruskan.
– NN (Bukan nama sebenar)
Baiklah… aku sambung.. kesihatan ayahku sangat-sangat merosot. Bayangkan sebutir nasi pun tidak mampu ditelan, bila kami suapkan makan dia tolak. Katanya bukan abah tak nak makan tapi tak boleh nak telan.
Abah terbaring. Adakala dia menjerit memanggil kami, Bila ditanya abah nak apa tapi dia diam hanya terkebil kebil merenung. Kalau korang nak tahu sepanjang dia sakit tu kami semua sangat benci kepadanya.
Bayangkan kami pukul dia, marah, herdik dia. Seolah olah tidak ada perasaan belas ihsan pun. Ada satu malam tu dia menangis, kami tanya abah sakit ke jom lah kita pergi klinik, dia kata tak nak..
Tapi dalam masa yang sama dia mengadu sakit sehingga kami tidak boleh tidur, Kejadian ini menjadikan kami naik darah, saya tolak dia saya tarik tangan dia untk bawa ke klinik terjerit jerit kami satu rumah marah kan nya.
Jika diingatkan kembali memang rasa sangat bersalah dengan apa yang dilakukan tapi itu lah setiap kali berhadapan dengan nya kami jadi sangat marah.
Sampaikan aku berkata pada nya, abah nak apa sebenarnya kalau sakit jom lah kita pergi berubat, tolonglah jangan s3ksa kami kalau abah berterusan macam ini semua orang susah.
Dalam pada abah langsung tidak makan dan minum hanya sedikit sekali sekala tu dia masih mampu untuk bangun ke tandas tanpa perlu bantuan.
Itu menyebabkan kami pelik, dia mampu naik tangga ke rumah atas dan masih kami ingat dia tidur di sekeliling rumah semua sudut rumah dia tidur, dekat bilik aku pun dia tidur jika aku tiada dirumah.
Ada satu malam tu, emak nak pergi ke tandas, tengok dia tiada dan pintu belakang terbuka, tengok abah tengah duduk termenung sambil memegang cawan.
Emak tanya apa tu, rupanya dia tuangkan racun untuk diminum. Emak menangis semahunya, mak tanya kenapa awak jadi macam ni cuba cakap dia cuma diam seolah bingung,
kami memang buntu, sampaikan kami fikir perlu rujuk abah ke pakar psikiatri sebab abah seolah olah tidak mampu secara normal. Tapi kami fikir abah bukan gila, mana lah sanggup kami menghantar ketua keluarga yang banyak berjasa kepada kami ke tempat begitu.
PKP telah bertukar kepada PKPB inilah peluang yang aku tunggu, Aku dan emak pulang ke kampung disalah satu daerah di negeri ini juga, Khabarnya ada seseorang yang mampu mengubat dengan cara tradisional, Dengan syarat ada waris yang datang untuk meminta izinnya merawat dari jauh.
Aku dan emak pergi berdua ke tempat itu, dibekalkan telekung ibu kepada abah aku, setelah dibuat beberapa bacaan oleh orang itu kami diarahkan untuk memandikan abah dengan rendaman air telekung tersebut selama 3 hari dan orang tersebut melakukan Solat hajat dan lain cara ikhtiar selama 10 hari.
Orang yang mengubati tersebut memaklumkan bahawa individu yang telah menyihir abahku itu mahu membuat nya ters3ksa seperti mayat hidup dan telah meletakkan ilmu pembenci supaya kami sekeluarga tiada rasa ihsan kepadanya.
Ya Allah ketika diberitahu seperti itu memang benar2 luluh hati ini. Patutlah selama ini kami sangat benci pada abah, marah dia seolah olah tidak peduli padanya.
Masuk hari keempat setelah selesai dimandikan selama tiga hari dengan air telekung itu abahku terbaring dan tidak bangun- bangun lagi. Langsung tidak boleh bercakap dan dia sudah kencing disitu juga.
Air kencing nya merah seolah dan banyak sekali. Tapi yang peliknya selepas berubat di situ kami langsung tidak marah lagi kepadanya. Syukur sangat.
Kami menerima panggilan daripada orang yang mengubat abah, katanya mahkluk yang dihantar ke tubuh abah telah keluar, dan kebiasaannya selepas benda tidak baik itu keluar individu tersebut pun ada yang akan ikut pergi jua. Dia cuba bantu mana yang termampu selebihnya serah kepada yang maha Esa.
Kami sangat sedih ketika itu abah terbaring tak mampu bercakap apa2 lagi. Adakala jari nya diangkat seolah mengira sesuatu,
Kami sepakat untuk bacakan yassin selepas berbuka puasa selama 3 hari berturut turut. Kepala nya diusap air mataku tidak tertahan menangis memohon ampun padanya. Abah terbaring dia cuba menyampaikan sesuatu tapi suaranya tidak kedengaran.
26 ramadhan, pagi itu aku sibuk menguruskan beberapa perkara untuk satu program pada petang tersebut, seperti yang kukatakan aku sememangnya aktif dengan NGO dari persatuan setempat sehinggalah ke peringkat kebangsaan. Memang itu minat aku sejak zaman universiti lagi.
Tengahari tu sebelum aku keluar aku sempat lagi duduk disebelahnya dan berbual -bual dengan mak. kami bercakap sesama sendiri apa pun terjadi kita perlu redha dan terima sebagai takdir Allah.
Sebelum aku keluar, aku ke ruang tamu di tempat abah terbaring, mak disisinya masih lagi bertelekung kerana baru saja usai solat zuhur, Mak cakap dekat luar tu ingat2 dekat abah ni, mak rasa tak sedap hati. Aku kata baiklah habis program saya terus pulang.
Aku pun keluar seperti biasa tetapi fikiran ini bagaikan melayang. Sepanjang perjalanan aku terfikir mengapa ada orang yang sanggup melakukan semua ini. Kita tak kacau orang tetapi orang kacau kita. Mulut ku tidak henti2 berdoa supaya semuanya akan kembali normal seperti biasa.
Petang itu aku ada program si salah sebuah hospital di negeri ini, belum sampai di hospital aku menerima panggilan dari saudara ku menyatakan bahawa abah seperti tiada harapan lagi.
Saudaraku ini yang tinggal dikampung yang membantu kami pergi ke tempat berubat tersebut. Dia lah yang banyak membantuku sekeluarga dan terus berhubung dengan orang yang mengubati tersebut. Apa apa maklumat orang tersebut akan berhubung dengan saudaraku itu.
Aku tiba di hospital, rakan-rakanku menunggu. Seperti biasa aku akan lagak ceria seperti tidak ada masalah.
Aku paling tidak suka orang tahu aku ada masalah atau sedih tapi bila mana rakanku ada masalah pasti aku akan cuba bantu semampunya. Kerana aku yakin bila kita mempermudahkan urusan orang, Allah akan membantu kita pula.
Selepas selesai pendaftaran masuk di lobi hospital suhu badan diambil dan bersedia untuk melakukan program itu aku menerima panggilan dari adik aku.
Suaranya serak tidak seperti biasa, Aku tanya kenapa ni? Abang ngah kau kat mana… balik abah dah tak ada… ketika itu juga lah bunyi guruh yang tidak semena-mena berdentum begitu kuat sekali. Aku tidak tipu.
Aku terdiam seketika. Aku tanya lagi mahukan kepastian.. betul ke ni.. dia tidak menjawab hanya mampu meraung di hujung talian. Aku pun pulang dan dalam masa yang sama aku cuma memaklumkan bahawa abahku nazak kepada rakanku.
Hujan begitu lebat ketika itu sudah waktu orang pulang dari kerja. Aku menjerit menangis semahunya. Aku menelefon kakakku. Kami tidak bercakap apa2 selain sama-sama meraung ditalian. Dia pun ketika itu sedang bekerja dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.
Petang itu ketika aku sampai, orang sudah ramai di rumah ku, Di beranda rumah sudah digantung kain2 untuk urusan memandikan jenazah.
Aku masuk kerumah melalui pintu belakang aku lihat sudah ramai yang sedang membaca yassin. Aku memeluk emakku dan menangis semahunya, aku masih tidak mampu untuk mendekati sekujur tubuh yang terbaring ditutupi kain batik lepas itu.
Aku masuk kebilik, kami 3 beradik berpelukan menangis semahunya. Ya Allah sehingga begini orang menganiaya kami. Kami cuba menenangkan antara satu sama lain.
Akhirnya aku ke ruang tamu. Aku peluk seeratnya abahku. Aku buka penutup mukanya aku cium sepuasnya. Petang itu urusan memandikan dijalankan dan semuanya berjalan dengan lancar. Jenazah akan dikebumikan selepas solat tarawih iaitu selepas isyak,
Saudara mara mulai datang, adik beradik abah aku pun semua dapat berjumpanya buat kali terakhir, Masing -masing tidak mampu menahan kesedihan.
Manakan tidak dia tidak mempunyai sakit yang mampu direkodkan oleh hospital namun sakitnya itu berlarutan sehingga meragut nyawanya pergi.
Malam itu abahku dikebumikan, luluh hati seorang anak melihat abah nya dimasukkan keliang lahat, bukan aku tidak redha namun hati ini terlalu sedih sakit dan kecewa dengan apa yang berlaku kepadanya.
Setelah bacaan talkin selesai, air mawar disiram aku dan adik masih di situ, termenung seketika kerana aku masih lagi seperti terkedu dengab apa yang berlaku ini.
Sebelum pulang aku mengusap nisan kayu sementara itu dan berkata abah… abang ngah balik dulu ya.. abah berehatlah sekarang abah dah tenang disana.
Malam itu sepi saudara mara telah pun pulang. Aku tidur di ruang tamu bersama emak.
Aku tidak dapat tidur ketika itu, aku dapat intai daripada selimut melihat emakku duduk menangis, tetapi aku diam sahaja kerana bagiku biarlah dia menangis sepuas nya. Aku sangat faham perasaannya ketika itu. Aku hanya mampu menangis tanpa suara di balik selimut itu.
Siang keesokkan harinya pagi2 kami ke pusara abah, sehingga hari ke tujuh kami tidak pernah sekali pun tidak kepusara. Rasanya bila dibacakan yasin dihadapan pusara lebih puas rasanya.
Abah telah pergi sekarang akulah yang menggantikan tempatnya. Kerana kami 3 beradik aku yang kedua dan lelaki sulung. kakakku sudah berkahwin dan adikku baru saja menamatkan SPM.
Emakku menangis berpesan kepadaku, abang ngah jangan tinggalkan emak ya. Emak dah tiada sesiapa lagi . Aku hanya menjawab ya abang ngah tak kan kemana mana janganlah risau.
Setiap kali solat aku berdoa untuk kesejahteraan abahku disana dan aku berdoa orang yang menganiaya keluargaku ini diberi balasan yang maha dasyat.
Di bilik aku selalu termenung. Aku menangis sendirian dan bermonolog sendiri. Aku hanyalah insan biasa, seorang anak lelaki yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, cukup segala-galanya.
Aku seorang lelaki yang mempunyai cita-cita yang ingin terbang tinggi di awan, berbekalkan ilmu pengetahuan yang kupelajari sehingga ke menara gading dan memiliki soft sk1ll yang diperlukan seorang graduan untuk ditempatkan dipasaran kerja.
Namun aku sedar percaturan Allah lebih indah, aku perlu redha dan ikhlaskan hati untuk ujian ini.
Sekarang semuanya dibahuku, perniagaan ini pun telah diwariskan sepenuhnya kepadaku.
Patut lah selepas sahaja aku tamat intern, abahku telah menyerahkan hampir kesemua urusan perniagaan ini, rupanya dia akan meninggalkan aku. Dapatlah aku belajar darinya dan aku pasti akan teruskan perniagaan ini. aku tidak akan mengalah.
Namun jauh di sudut hati, orang muda seperti aku ini mempunyai impian sendiri. Memang teringin untuk aku berkhidmat di bidang profesional yang telah aku pelajari selama empat tahun tersebut.
Dan sehingga ke hari ini aku telah menolak beberapa tawaran yang cukup baik untuk aku memulakan kerjaya.
Tak mengapalah aku sentiasa berdoa agar ada rezeki untuk aku bekerja di kawasan berdekatan rumah yang memboleh kan aku pulang setiap hari untuk menjaga emakku disamping menguruskan perniagaan yang diwariskan ini.
Namun semangat dan impian ini tidak akan pernah padam impian aku untuk bekerja dibidang yang kuminati ini pasti akan tercapai jua nanti. mohon pembaca semua mendoakan agar impianku tercapai jua
Sedikit makluman ingin aku kongsikan individu yang telah menyihir abah ku itu melalui semua tempat yang aku berubat. Dapat lah aku mengagak siapa dia. Ini bukan tuduhan, sememangnya mangsa – mangsa sebelum aku telah bertemu dan bercerita mengenai ini.
Mereka pun telah dikerjakan oleh orang yang sama. Setiap kali berubat mereka pun diberikan gambaran orang yang sama. Dan bukan dibuat secara halus sahaja, orang tersebut turut datang menyerang bagi sesiapa yang berniaga.
Rupanya kami bukan mangsa pertama cuma nya abah aku adalah korban pertama, mungkin ini percaturan Allah, sudah masa dia pergi cuma ini menjadi asbabnya.
Abah tenanglah disana, abah pergi dibulan baik, Raya tahun ini kami sambut biasa- biasa saja aku masih kekok tidak berbapa. Semoga Abah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Urusan dunia abah telah selesai, abang ngah berjanji tidak akan meninggalkan emak dan akan menjaga peninggalan abah sebaiknnya.
Soal aku, impian aku, kemahuan aku nanti lah dulu biarlah aku membahagiakan emakku dan sekarang menjadi tanggungjawab aku memelihara adikku yang akak menyambung pelajaran tidak lama lagi. Aku akan membahagiakan dan melindungi mereka semua.
Doakan aku diberikan kekuatan dan keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab ini.
Terima kasih semua yang sudi membaca ya. Saya juga doakan kalian dilindungi Tuhan.
– Nazren (Bukan nama sebenar)
Confessions
Leave a Reply