Ayat pembatal sihir

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

فَلَمّا أَلقَوا قالَ موسىٰ ما جِئتُم بِهِ السِّحرُ ۖ إِنَّ اللَّهَ سَيُبطِلُهُ ۖ إِنَّ اللَّهَ لا يُصلِحُ عَمَلَ المُفسِدينَ

Falammā alqau qāla mūsā mā ji’tum bihis-siḥr(u), innallāha sayubṭiluh(ū), innallāha lā yuṣliḥu ‘amalal-mufsidīn(a).

“Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.”

Surah Yunus Ayat 81

Tafsir

فَلَمَّا أَلْقَوْا

“Setelah mereka campakkan (benda-benda itu),”

Dalam Surah Taha Ayat 66 telah disebut yang mereka mencampakkan tongkat dan tali. Ada dibincangkan kenapa Nabi Musa suruh mereka dahulu yang campakkan. Strategi itu dipilih supaya orang ramai boleh nampak perbezaan antara sihir tukang ahli sihir itu dan mukjizat yang akan ditunjukkan oleh baginda. Barulah nampak kehebatan mukjizat kerana telah lihat perbuatan sihir dahulu.

قالَ موسىٰ ما جِئتُم بِهِ السِّحرُ

“Nabi Musa berkata: “Apa yang kamu datangkan itu adalah sihir;”

Nabi Musa tahu apa yang berlaku, maka baginda telah kata kepada mereka. Baginda beritahu kepada mereka: “Yang kamu bawakan inilah sihir, bukan apa yang aku bawa”. Yang Nabi Musa bawa adalah mukjizat, tidak sama dengan sihir. Ini kerana sihir itu hanya menjadikan nampak sahaja tongkat dan tali itu jadi ular, tapi bukan ular yang sebenar. Sihir hanya mengelabui mata sahaja.

Belajar dan mengamalkan sihir adalah berdosa besar. Tidak dibenarkan untuk kita mempelajarinya dan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah al-Baqarah Ayat 102.

إِنَّ اللَّهَ سَيُبْطِلُهُ

“sesungguhnya Allah akan menghapuskannya”

Kalimah سَيُبْطِلُهُ dari katadasar ب ط ل yang bermaksud ‘membatalkan’. Apa yang mereka buat itu, Allah akan batalkan, maksudnya Allah ﷻ akan lemahkan sampai ia tidak akan jadi apa-apa. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bukan mereka yang ada kuasa sihir itu. Sihir itu menjadi kerana Allah ﷻ benarkan ia berlaku. Bukan juga Nabi Musa ada kuasa maka kerana itu baginda kata Allah ﷻ yang akan hapuskan sihir mereka.

Kita nak melawan sihir, kita tidak ada mukjizat seperti tongkat Nabi Musa itu. Tapi kita ada mukjizat Al-Qur’an pada kita. Maka, kalau ada yang menggunakan sihir kepada kita, maka bacakan ayat-ayat Al-Qur’an. Kerana apabila kita membacakan ayat-ayat seperti ayat ini, mengingatkan kita kepada Allah ﷻ yang menguasai sihir itu. Jadi kita berdoa supaya Allah ﷻ menghilangkan kesan sihir itu.

Bukannya pergi berjumpa dengan bomoh-bomoh dan ustaz-ustaz yang mengamalkan sihir juga. Masalah zaman sekarang, tukang-tukang bomoh dan pawang menggelar diri mereka dengan ‘ustaz’. Tetapi sebenarnya mereka adalah uskun (ustaz dukun). Mereka sahaja sangka mereka menggunakan cara Islam, tapi sebenarnya mereka menggunakan jin juga dalam amalan mereka tanpa mereka sedar. Ini adalah kerana mereka mengamalkan amalan yang bid’ah dan mungkin syirik yang menyebabkan jin-jin telah berdamping dengan mereka. Jadi kalau nampak mereka boleh buat macam-macam, itu adalah kerana bantuan dari golongan jin, kawan mereka.

إِنَّ اللَّهَ لَا يُصْلِحُ عَمَلَ الْمُفْسِدِينَ

“sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.”

Kenapa tadi menceritakan sihir dan sekarang menyebut tentang ‘kerosakan’ pula? Ini adalah kerana kadangkala ada manusia yang benci kepada seseorang sampai menggunakan sihir. Dia pergi jumpa bomoh dan suruh bomoh itu buat macam-macam: bagi sakit, bagi jadi gila, bagi tiada nafsu dan macam-macam lagi.

Itu semua adalah termasuk ‘melakukan kerosakan’. Dan memang sihir itu melakukan kerosakan. Allah ﷻ tidak akan memberikan kejayaan kepada mereka. Ianya tidak akan membawa kepada kebaikan. Mereka sangka mereka berjaya dan beruntung, tapi sebenarnya tidak. Mereka akan dibalas di akhirat kelak dengan balasan azab yang amat hebat.

Ini juga mengajar kepada kita yang jikalau perbuatan kita itu membawa kepada kerosakan, ia tidak berguna kepada kita. ‘Kerosakan’ itu bukan sahaja di dalam bentuk sihir. Kerosakan itu merangkumi semua perkara, sama ada dalam perkara yang besar atau pun yang kecil. Sebagai contoh, dalam kita hendak mendisiplinkan kanak-kanak, kita tidak patut memaki mereka ataupun menipu kepada mereka. Itu akan membawa kepada kerosakan juga. Jadi kita kena fikirkan kesan dari perbuatan kita. Niat kena baik, tapi tindakan pun kena baik juga.

وَيُحِقُّ اللَّهُ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ

Wa yuḥiqqullāhul-ḥaqqa bikalimātihī wa lau karihal-mujrimūn(a).

“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa.”

Surah Yunus Ayat 82

ﺻﺪﻕ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﻌﻈﻴﻢ

Tafsir

وَيُحِقُّ اللَّهُ الْحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ

“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya,

Allah ﷻ tetap akan menegakkan kebenaran. Kerana Allah ﷻ telah berjanji dengan kalimahNya untuk menegakkan kebenaran dan itu pasti akan terjadi. Jadi maksud ‘kalimat’ di dalam ayat ini bermaksud ketetapan kauniah iaitu takdir yang Allah ﷻ tetapkan. Iaitu Allah ﷻ bantu memenangkan NabiNya dengan memberi mukjizat kepada baginda untuk mengalahkan musuh.

Yang kedua, kalimah yang dimaksudkan adalah wahyuNya. Pada kita sekarang, ianya adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Maknanya, dengan Al-Qur’an, Allah ﷻ akan menegakkan kebenaran. Kebathilan akan dikalahkan dengan hujah-hujah Al-Qur’an. Maka kita kena belajar tafsir Al-Qur’an sampai kita dapat gunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk mematahkan hujah-hujah bathil.

Yang ketiga, kalimah Allah ﷻ yang dimaksudkan adalah janji-janji Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berjanji untuk memberi kemenangan kepada golongan mukmin dan mengalahkan orang kafir. Allah ﷻ pasti akan bantu mereka yang hendak menegakkan agamaNya. Sebagai contoh, dalam kisah Nabi Musa ini, Allah ﷻ telah memenangkan baginda dengan menjadikan tongkat baginda menjadi ular yang sebenar dan memakan semua jelmaan ular-ular sihir itu.

Tapi ia tetap memerlukan strategi. Dakwah juga memerlukan strategi supaya kebarangkalian berjaya lebih tinggi. Nabi Musa pun tidaklah terus berlawan dengan golongan tukang sihir itu tapi baginda menggunakan cabaran itu untuk berdakwah. Lihat Surah Taha Ayat 59.

قالَ مَوعِدُكُم يَومُ الزّينَةِ وَأَن يُحشَرَ النّاسُ ضُحًى

Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang ditetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”.

Baginda memilih hari perayaan supaya peristiwa itu boleh disaksikan oleh ramai orang. Kenapa waktu dhuha? Kerana waktu itu sejuk selesa dan ramai orang boleh datang dan duduk lama untuk menyaksikan peristiwa itu. Malah Nabi Musa telah mengambil peluang untuk berdakwah kepada golongan tukang sihir itu seperti disebut dalam Surah Taha Ayat 61 – 62.

قالَ لَهُم موسىٰ وَيلَكُم لا تَفتَروا عَلَى اللَّهِ كَذِبًا فَيُسحِتَكُم بِعَذابٍ ۖ وَقَد خابَ مَنِ افتَرىٰ

Nabi Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Dia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa”.

Dakwah Nabi Musa itu telah menggoyangkan mereka, sampaikan mereka berbincang sesama sendiri,

فَتَنازَعوا أَمرَهُم بَينَهُم وَأَسَرُّوا النَّجوىٰ

“Maka mereka pun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.”

Tapi mereka telah terkesan dengan kata-kata Nabi Musa itu, jadi mereka telah mudah untuk beriman dengan baginda apabila mereka kalah.

وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ

“walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa.”

Orang yang berdosa tidak suka dengan kebenaran. Tapi Allah ﷻ tak kira sama ada mereka suka atau tidak. Walaupun mereka tak suka, Allah ﷻ akan memenangkan kebenaran juga. Kalimah الْمُجْرِمُونَ di dalam ayat ini bermaksud orang kafir. Allah ﷻ tidak akan memberi kemenangan kepada mereka. Di dalam Surah Saf Ayat 8 juga Allah ﷻ telah menyebut perkara yang sama.

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya.”

Maka ini memberi kekuatan kepada kita untuk bertawakal kepada Allah ﷻ. Apabila kita yakin yang Allah ﷻ akan pasti memenangkan agamaNya, maka kita senang untuk berharap dengan Allah ﷻ.

Habis Ruku’ 8 dari 11 surah ini.

Surah Yunus Ayat 81 – 82

“Kita nak melawan sihir, kita tidak ada mukjizat seperti tongkat Nabi Musa itu. Tapi kita ada mukjizat Al-Qur’an pada kita. Maka, kalau ada yang menggunakan sihir kepada kita, maka bacakan ayat-ayat Al-Qur’an. Kerana apabila kita membacakan ayat-ayat seperti ayat ini, mengingatkan kita kepada Allah ﷻ yang menguasai sihir itu. Jadi kita berdoa supaya Allah ﷻ menghilangkan kesan sihir itu.”

Lihat juga:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Doa     Syifa     Manzil     Ruqyah     Zikir